Ameerais selarikan karier, seni dan keluarga - Utusan Malaysia

Ameerais selarikan karier, seni dan keluarga

Ameerais bersama isteri, Siti Nurnaja’a dan dua cahaya mata mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada penggiat seni, khususnya daripada segi pendapatan anak seni. Mana tidaknya, kerana itu saja barangkali hasil cari makan mereka.

Kekangan menjalani aktiviti penggambaran dan persembahan pentas. Ada pun, mesti patuh dengan syarat yang terkandung dalam senarai prosedur operasi standard Majlis Keselamatan Negara.

Bagi penyanyi anggota kumpulan Forteen, Ameerais, dia menyahut cabaran getir yang “menutup pasar seni” itu dengan menjual makanan segera, iaitu Sosej Tongmo (gangrill.tongmo) dan pakaian muslimah jenama sendiri, Chemara (@chemara_my).

“Sejak negara dilanda pandemik ini, saya banyak meluangkan masa dengan berniaga secara atas talian seperti makanan dan juga jenama muslimah.

“Selain daripada itu, saya banyak meluangkan masa dengan isteri dan anak-anak. Sebab mereka (anak) lahir dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan. Justeru, kena bagi perhatian yang lebih khusus,” ujar Ameer membuka bicara perkhabarannya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mendalami kariernya sebagai usahawan kecil sederhana, Mohamad Arif Ameerais Azhar, 30, atau lebih mesra disapa Ameer, berkata, sebagai pengusaha yang baru menceburi dua perniagaan tersebut tidak dinafikan ada cabarannya tersendiri.

“Kedua-dua bisnes ini bermula masa awal PKP lagi, pejam celik sudah setahun lebih, Alhamdulillah.

“Untuk makanan saya buat sendiri, syukur setakat ini sambutan amat menggalakkan. Ada masa luang saya sendiri yang akan buat penghantaran. Kalau sebaliknya, memang akan menggunakan khidmat penghantar saja.

“Cakap fasal cabaran ini terutamanya adalah masa. Macam mana hendak bahagikan masa antara berniaga dan keluarga. Nasib baik buat dari rumah, malah isteri pun walaupun sibuk dia sangat membantu,” katanya yang akan melebarkan sayap perniagaan dengan mengeluarkan pakaian bayi pula.

Kebersihan
Menyedari dirinya yang selalu keluar rumah untuk membeli barangan keperluan. Penyanyi ini amat prihatin dengan kebersihan diri.

Khuatir daripada serangan hendap wabak berbahaya, Ameer akan pastikan dirinya bersih terlebih dahulu sebelum menyentuh ahli keluarganya.

“Saya sangat menitik beratkan kebersihan terutama selepas keluar mencari barang keperluan atau urusan-urusan penting.

“Setiap kali pulang memang saya akan mandi bersihkan badan dahulu, baru berjumpa dengan keluarga. Kalau lima kali keluar, lima kalilah saya mandi (tertawa kecil).

“Jadi, saya nak tekankan kepada semua, jagalah diri sebelum berjumpa dengan ahli keluarga anda,” tegasnya. Hasil perkongsian hidup dengan isteri, Siti Nurnaja’a Shamsul pada 1 Mac 2019, mereka dikurniakan dua orang putera, Noah Eusoff, setahun dan Nedim Eibrahim, enam bulan.

Karier seni
Bagi peminat setia Forteen, sang pria yang dianggotai One (Muhammad Ridzuan Sharifuddin), Ariz (Saiful Ridzuan Abdul Hamid) dan Ameer. Mereka sedang dalam proses merangka single terbaharu yang dijangka akan menemui peminat pada tahun hadapan.

“Buat masa sekarang ini, kami cuba berjinak untuk menulis lagu sendiri. Terdahulu kami sudah ada single Diam Saja di mana kami menulis untuk lirik lagu tersebut.

“Kalau untuk kerjasama dengan rapper atau penyanyi lain, Insya-Allah kami terbuka. Jika ada yang sudi, kami tidak menolak andai ada idea baharu dalam aspek muzik.

“Dalam masa sama, saya juga sedang fokus dalam proses pemilihan demo untuk lagu seterusnya,” kata penyanyi Pulangkan Cinta dan Sudahlah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×