12 pelajar cipta rangkaian alat pembersih udara - Utusan Malaysia

12 pelajar cipta rangkaian alat pembersih udara

Gambaran ‘tiga sekawan’ yang berfungsi secara serentak bagi membersihkan udara tercemar yang dihasilkan oleh 12 pelajar dalam 'First Global Challenge 2021'.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menyahut cabaran dalam pertandingan pentas robotik antarabangsa, First Global Challenge 2021, 12 pelajar sekolah tampil mengaplikasi ilmu sains dalam mencari solusi isu pencemaran udara di negara ini yang sehingga kini bagaikan tiada titik noktah.

Pelajar-pelajar berusia 15 hingga 17 tahun daripada tiga sekolah iaitu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Tun Fatimah (STF) dan SMK Bukit Bandaraya Bangsar mencipta rangkaian alat pembersih udara berasaskan mikroalga yang bekerjasama secara sinergi. Ia bagi mewujudkan udara lebih bersih dan selamat untuk masyarakat.

Seorang ahli kumpulan, Muhammad Faris Imran Yusri Izzudin, 17, berkata, ciptaan itu bagi memenuhi keperluan pertandingan dalam acara Solutions Challenge yang memerlukan peserta menghasilkan solusi untuk masalah yang dihadapi di negara sendiri.

Katanya, pasukan Malaysia memilih topik alam sekitar dan secara khususnya, isu pencemaran udara. Mereka memilih isu ini kerana ia bukan sesuatu yang asing di Malaysia.

MUHAMMAD FARIS IMRAN YUSRI IZZUDIN

Pada tahun 2019, Malaysia berada pada kedudukan teratas pencemaran udara tertinggi di dunia apabila mencatatkan bacaan IPU 266.

“Ini mengakibatkan pelbagai kesan buruk seperti masalah kesihatan dan kemusnahan ekosistem. Oleh itu, masalah ini perlu diatasi segera sebelum nasi menjadi bubur,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Faris, selama 12 minggu, ahli-ahli pasukan berjumpa secara maya setiap minggu untuk berbincang dan menyiapkan projek berkenaan.

Biarpun terdapat kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sehingga kini, namun ia tidak mematahkan semangat mereka menggembleng idea menghasilkan inovasi baharu.

Hasil perbincangan seterusnya mendapati kawasan-kawasan yang dipenuhi pokok mempunyai kualiti udara yang jauh lebih baik berbanding kawasan yang kekurangan pokok.

Hal ini kerana tumbuhan-tumbuhan hijau merupakan pembersih udara semula jadi.

“Selepas melakukan kajian, kami dapati terdapat sejenis mikroalga dikenali sebagai chlorella vulgaris yang mampu membersihkan udara dengan lebih efisien berbanding pokok biasa.

“Sebagai projek Fasa Pertama, pasukan Malaysia telah mencipta sebuah rangkaian alat pembersih udara berasaskan mikroalga yang bekerjasama secara sinergi untuk mewujudkan udara yang lebih bersih dan selamat untuk semua orang.

“Ekosistem pembersih udara ini dibahagikan kepada 3 buah produk yang dinamakan AL Hub, AL Skye dan AL Mini,” ujarnya sambil menjelaskan produk berkenaan masih di peringkat prototaip.

Berfungsi serentak

AL Hub adalah rumah hijau dilengkapi dengan pembersih udara mikroalga bersaiz besar yang menghasilkan udara bersih untuk kawasan sekitar bangunan.

Produk ini juga berfungsi sebagai ‘sarang’ untuk AL Skye, sebuah peranti dron pembersih udara yang menggunakan konsep lebah.

AL Skye akan bergerak ke kawasan Indeks Kualiti Udara (AQI) rendah untuk berkomunikasi dengan AL Hub dan AL Mini di sekitarnya bagi mengumpulkan data serta menentukan kawasan yang perlu dibersihkan.

Seterusnya, fungsi AL Mini pula adalah versi mini AL Hub dan pengguna boleh menggunakannya di dalam rumah untuk membersihkan udara secara berterusan.

Ketiga-tiga produk ini akan berfungsi dengan serentak untuk menghasilkan udara yang lebih nyaman dan bebas pencemar.

Ekosistem ‘tiga sekawan itu’ merupakan sistem bersepadu yang dapat mengurangkan tahap karbon dioksida (CO2) dengan berkesan di darat dan di udara.

“Selain meminimumkan kesan rumah hijau atau perubahan iklim, sistem ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat dengan memberikan mereka udara yang berkualiti dan meningkatkan kesedaran yang lebih baik terhadap impak tahap karbon dioksida di atmosfera.

“Ahli-ahli pasukan berharap projek ini dapat direalisasikan secara besar-besaran kerana yakin ia dapat mengurangkan isu pencemaran udara di Malaysia mahu pun di negara-negara lain,” tambah Faris.

Ahli kumpulan, Nurin Hannah menyiapkan robot bagi acara Robotics Challenge.

Kumpulan itu juga berhasrat menambahbaik produk itu pada masa hadapan dengan mengurangkan kos pembinaan, mengintegrasikan teknologi Artificial Intelligence (AI) dan menyempurnakan keberkesanan produk sendiri.

Pertandingan robotik dan Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) atau lebih dikenali sebagai ‘olimpik robotik’ itu disertai lebih 160 negara pada edisi kali kelima tahun ini.

Selain Solutions Challenge, dua lagi cabaran yang perlu diselesaikan oleh para peserta adalah CubeSat Prototype Challenge dan Robotics Challenge.

Pertandingan yang berlangsung dari 27 Jun sehingga 28 September ini menyaksikan pasukan Malaysia konsisten berada di tangga 10 ke atas mengatasi negara-negara lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN