Rekaan busana bagi meraikan tarikh bersejarah seperti sambutan hari kemerdekaan bagaikan sudah menjadi budaya dalam masyarakat negara ini. Tidak terkecuali, pereka Ayiey Zikry.
Pereka yang menumpukan pada rekaan busana kanak-kanak ini mengangkat inspirasi burung kakak tua untuk kanak-kanak.
Keceriaan warna unggas itu, katanya, bagaikan sama indahnya dengan jalur gemilang. Inspirasi peplum pula diambil daripada busana Allahyarhamah Puan Sri Saloma, salah seorang ikonik dalam bidang fesyen.
“Bezanya kali ini, pilihan kain terhad. Saya menggunakan picisan kain lama sebab kedai kain tutup akibat perintah kawalan. Namun tidak berkompromi soal kualiti,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pemilik butik Ayiey Zikry Wedding Home ini dilihat masih mengekalkan potongan peplum yang menjadi identitinya sejak tiga tahun lalu.
KEUNIKAN
Ayiey Zikry atau nama penuh Mohd. Noor Zikry Abdul Muin, 30, berkata, selain menampakkan ciri keunikannya, setiap rekaan memberi keutamaan kepada aspek keselesaan supaya si kecil ceria sepanjang masa.

“Setiap rekaan dihasilkan mengikut peredaran zaman dan popular buat masa kini. Gaun, peplum, kebaya dan semua jenis rekaan berpotongan tradisional antara yang menjadi pilihan ibu bapa,” katanya.
Pembabitan Ayiey Zikry dalam rekaan busana merdeka bermula sejak 2019, apabila pelanggannya memintanya mereka baju Kemerdekaan untuk kanak-kanak.
Hingga kini sudah lebih 30 persalinan merdeka dihasilkan. Koleksi ditawarkan bermula RM300 hingga ribuan tinggi.
Harga berbeza mengikut tahap rumit sesuatu pembuatan. Ia tersedia untuk kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun.
CANTIK DAN SELESA
Menyempurnakan persalinan sedemikian, rumit dan mengambil masa sehingga seharian untuk disudahkan.
“Rumit sebab fabrik digunakan adalah licin dan nipis. Proses menjahit kena lebih teliti. Biasanya sebelum memotong, kain bendera akan disusun terlebih dahulu, bagi memudahkan susun atur corak bendera yang akan dihasilkan menjadi baju.
“Ini penting supaya susun atur bintang dan bulan terletak cantik dan bukanlah di bahagian kaki,” katanya.

Selain seronok menghasilkan pakaian berkenaan, usaha itu turut menyuntik perasaan dan semangat patriotik dalam diri Ayiey Zikry.
“Saya utamakan potongan sopan sebab ia melambangkan patriotik. Walaupun ada pendapat mengatakan memotong bendera adalah perbuatan salah tetapi bagi saya bergantung kepada tujuan menghasilkannya.
“Pada saya persalinan ini dipadankan sempena sambutan kemerdekaan justeru ia sebagai satu cara mendidik anak mengenai erti kemerdekaan, bukannya dipakai biasa,” katanya.










