KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti usahawan, Datuk Rosyam Nor, 54, menganggap para penternak, peladang dan nelayan juga merupakan golongan yang seharusnya diangkat sebagai wira negara sementelah turut menabur jasa dan bakti buat seluruh rakyat di negara ini.
Menurut Rosyam, tidak seperti pekerja di sektor lain, kedudukan golongan pekerja di sektor pertanian dan perikanan ini bagaikan hero yang tidak didendang.
“Penternak, peladang dan nelayan. Mereka ini juga adalah wira yang menyediakan bekalan makanan untuk 34 juta rakyat di negara ini.
“Sempena sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan yang ke-46 ini saya ucapkan tahniah dan semoga kematangan ke 46 tahun ini memberi anjakan buat pekerja di sektor ini.
“Tahniah juga buat Lembaga Pertubuhan Peladang dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI),” katanya.
Rosyam berkata demikian dalam satu ucapan yang dimuat naik di akaun Instagramnya bagi menghargai para penternak, peladang dan nelayan sempena sambutan Hari Peladang pada hari ini.
Hari Peladang diraikan pada setiap 6 Ogos dan sambutan pertama diadakan pada tahun 1975 di Perkarangan Bangunan Parlimen dengan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussin.










