Jemu makan nasi ayam atau nasi jagung, apa kata kita cuba pula nasi daging bersama air asam kerisik. Asing nama resipi ini tetapi ia adalah antara sajian popular di negeri belah Utara tanahair.
Set lengkap nasi daging beserta air asam kerisik ini boleh dimakan beramai-ramai bersama keluarga tersayang. Boleh juga dibuat niaga bagi mereka yang ingin mencari pendapatan sampingan.
Kesedapan resipi nasi daging ini terletak pada nasi yang dimasak dengan sempurna dan air asam pencicahnya. Nasi ditumis dengan bahan-bahan yang membangkitkan aroma dan dicampur dengan air rebusan itu daging. Air rebusan itu boleh juga dijadikan sup untuk dimakan bersama nasi.
Air asam pelengkap sajian. Sekali daging dicicah air asam ini, pasti membuatkan anda makan bertambah.
Nasi daging dan air asam kerisik
(Anggaran 10 orang makan)
Bahan-bahan untuk air rebusan daging dan sup:
2 inci halia*
4 ulas bawang putih*
1 sudu besar lada hitam*
1 kilogram (kg) daging lembu
1 sup bunjut
2 sudu besar rempah sup
4 liter air
Garam secukup rasa
Hirisan daun bawang dan bawang goreng
Cara membuat sup
1-Kisar bahan-bahan yang bertanda (*).
2-Masukkan bahan kisar dan bahan lain ke dalam periuk. Masak sehingga daging empuk. Tambahkan lagi air sekiranya perlu.
3-Tapiskan air rebusan. Asingkan daging dan air rebusan untuk memasak nasi.
4-Potong daging kepada ketulan kiub dan ketepikan.
5-Panaskan semula baki air rebusan daging. Perasakan dengan garam secukupnya.
6-Taburkan dengan hirisan daun bawang dan bawang goreng.
Nota: Daging juga boleh direbus dengan menggunakan periuk tekanan.
Bahan-bahan nasi daging
4 sudu besar mentega
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
4 helai daun pandan
1 biji bawang besar (hiris)
4 ulas bawang putih (hiris)
2 sudu besar rempah sup
1 biji tomato (cincang kasar)
4 cawan beras
Daging rebus yang telah dipotong
5 cawan air rebusan daging
1 cawan susu cair
1 sudu besar pati ayam/1 ketul kiub pati ayam
2 pokok daun ketumbar
Segenggam kismis
Segenggam bawang goreng
Cara membuat nasi daging:
1-Cairkan mentega di dalam periuk. Masukkan kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga daun pandan, hirisan bawang besar dan hirisan bawang putih. Tumis seketika.
2-Masukkan pula rempah sup dan tomato. Gaul rata.
3-Masukkan beras, daging rebus yang telah dipotong, air rebusan daging, susu cair dan pati ayam. Kacau rata.
4-Tutup periuk. Masak nasi dengan api kecil sehingga masak (20-30 minit).
5-Pada ketika nasi ¾ masak, masukkan daun ketumbar, kismis dan bawang goreng.
Nota:
– Boleh tambahkan sedikit minyak sapi ketika menumis.
– Boleh gantikan/ tambahkan rempah sup dengan rempah kurma.
– Nasi ini boleh dimasak di dalam periuk nasi seperti biasa.
Bahan-bahan air asam kerisik:
3 biji bawang besar*
30 biji cili padi*
3 biji tomato*
3 sudu besar asam jawa
1 cawan air
1 sudu besar belacan
2 sudu besar kerisik
2 biji limau nipis
2 sudu besar gula pasir
1 sudu besar budu/sos ikan
Cara membuat air asam kerisik:
1-Hiris bahan-bahan yang bertanda (*).
2-Bancuh asam jawa dengan air. Tapis dan ambil airnya sahaja.
3-Sediakan bekas/ mangkuk. Masukkan bahan yang telah dihiris, air asam jawa, belacan, kerisik, jus limau nipis, gula pasir dan budu. Ramas-ramaskan dan sedia untuk dihidangkan bersama nasi daging.
Nota: Boleh gantikan budu/sos ikan dengan garam.
Terima kasih: Noor Ashikin Saerah
Facebook: Noor Ashikin Saerah/ https://www.facebook.com/groups/MasakApaHariNiMAHN.my/permalink/3722124088110880










