Mukadimah
Esok, umat Islam menyambut tahun baharu hijrah 1443. Tema sambutan peringkat kebangsaan ialah ‘Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti’
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan titah perutusan khas secara hibrid sempena Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1443H/2021M di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (MTMZA), Putrajaya, malam ini.
Bagi mengupas signifikannya sambutan Maal Hijrah dalam kita berhadapan dengan pandemik Covid-19 dan juga keadaan polemik politik negara, wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Ketua, Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya, PROF. DR. MOHD. ROSLAN MOHD. NOR. Beliau juga adalah Presiden, Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR).

UTUSAN: NABI Muhammad SAW adalah contoh terbaik. Apabila sebut Manhaj Rabbani apakah aspek yg mesti diberi perhatian oleh umat Islam?
DR. ROSLAN: Nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah SWT sebagai seorang nabi dan rasul yang membawa risalah Islam sebagai agama yang syumul, yang menjadi panduan kehidupan.
Baginda menjadi contoh teladan terbaik buat seluruh umat Islam di atas muka bumi ini. Sifat baginda dalam menyebarkan dakwah Islam berasaskan kepada empat sifat utama baginda yang sering disebutkan iaitu siddiq (sentiasa bercakap benar), amanah (sentiasa menjaga amanah), tabligh (menyampaikan risalah Islam) dan fatanah (sentiasa cerdik dan berfikiran rasional).
Dalam kita menjadikan baginda contoh ikutan pastilah ada aspek yang mesti diberi perhatian oleh umat Islam. Dalam negara kita, pihak kerajaan telah merangka Manhaj Rabbani yang antara lain bertujuan mewujudkan umat Islam dan pentadbiran Islam yang baik dalam negara ini.
Jika ingin melihat apa perkara yang perlu ditekankan, saya menyarankan kita merenung kembali risalah Islam berasaskan wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW.
Surah al-Alaq ayat 1-5, memberi indikasi pentingnya umat untuk mendapatkan ilmu yang pastinya boleh menjamin untuk mewujudkan kesejahteraan dalam masyarakat. Perkataan Iqra’ yang bermaksud bacalah, boleh difahami dalam konteks ini sebagai penekanan terhadap ilmu di mana untuk mendapatkan ilmu seseorang itu mestilah melalui fasa membaca.
Apabila perkara ini datangnya daripada wahyu Ilahi, sudah tentulah ia membawa kita memahami bahawa pembinaan generasi berilmu ini mesti terus diberi keutamaan. Ilmu inilah yang akan membezakan golongan yang cerdik atau sebaliknya.
Ilmu juga akan membentuk adab seseorang dalam kehidupan dalam masyarakat. Adab ini penting dalam perbincangan dan kaedah untuk menjayakan Manhaj Rabbani ini kerana kita dapati sekarang ini seolah-olah manusia tidak meletakkan adab sebagai perkara penting dalam kehidupan.
Oleh sebab itu, segala tindakan yang kita lakukan hendaklah mementingkan adab dan ini akan terzahir apabila setiap perkara yang dilakukan itu berasaskan ilmu serta maklumat yang sahih.
Apakah kualiti yang diperlukan dalam membentuk negara cemerlang dan yang dapat mengharungi pandemik Covid-19?
Pandemik Covid-19 ini bukan hanya melanda negara kita. Ia turut tersebar ke seluruh dunia. Tidak ada penawar ajaib yang betul-betul mujarab yang kita lihat sekarang, melainkan dengan kita mengikuti nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui prosedur operasi standard (SOP) yang dikongsikan dengan seluruh rakyat Malaysia.
Sebagai rakyat yang menjunjung tinggi nilai-nilai murni, kita seharusnya dapat mengawal tindakan-tindakan yang tidak wajar seperti terlibat dalam kempen-kempen negatif terhadap kerajaan.
Umpamanya dengan terlibat dalam kempen tanda pagar lawan, kerajaan gagal dan sebagainya.
Kita mesti menjadi warganegara yang berjiwa besar yang meletakkan kemaslahatan umum sebagai parameter dalam pelaksanaan polisi-polisi yang dilakukan. Pastinya sebarang bentuk agenda peribadi untuk tujuan tertentu mestilah diketepikan dahulu.
Utamakan agenda membantu masyarakat yang terkesan dalam tempoh ini dan membantu menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang digariskan.
Dalam masa yang sama, kita harus bersabar seketika dalam tempoh genting ini bagi mengekang penularan covid-19. Seterusnya terus menyokong usaha vaksinasi yang sedang berjalan dengan giat.
Apa yang boleh kita lakukan adalah menjadi warganegara yang sentiasa prihatin di mana kita boleh membantu menggalakkan masyarakat mendapat vaksin sebagai langkah pencegahan untuk menangani pandemik ini.
Kita sepatutnya tidak perlu terpengaruh dengan sesetengah golongan anti-vaksin. Ini kerana pandangan alim-ulama termasuk para mufti telah dirujuk mengenai hal ini. Siapa lagi yang ingin kita jadikan panduan pada masa kini sekiranya bukan para alim-ulama?
Ingatlah apa yang dinyatakan oleh Nabi SAW iaitu: Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris kepada para nabi. (Hadis sahih)

Masjid Quba’ adalah yang pertama dibangunkan oleh Nabi SAW selain menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar. Apakah signifikannya institusi masjid dan perpaduan bagi negara berbilang kaum seperti Malaysia?
Dalam peristiwa Hijrah, kita dapati Nabi SAW tetap meneruskan agenda penyebaran risalah Islam. Baginda berhijrah bukan atas tujuan peribadi, untuk mendapatkan kuasa dan sebagainya. Ia adalah penerusan kepada agenda dakwah.
Oleh sebab itu, kita dapati bahawa peristiwa hijrah itu penuh dengan pengajaran. Antaranya, Nabi SAW memilih mendirikan masjid terlebih dahulu apabila sudah mendekati kawasan yang dituju, iaitu dengan membina Masjid Quba’.
Mengapakah baginda tidak membina binaan lain terlebih dahulu seperti membina pasar untuk membolehkan urusan perniagaan dijalankan? Ketahuilah pada zaman Nabi SAW masjid itu selain dijadikan tempat beribadah, ia juga dianggap pusat kegiatan masyarakat yang melibatkan sosio-ekonomi ummah.
Berdasarkan ini, bolehlah kita katakan bahawa dengan membina masjid sebagai pusat urusan akhirat, sebenarnya baginda turut menggerakkan urusan dunia dengan wujudnya masjid tersebut.
Begitu juga, apabila tiba di Madinah, baginda mempersaudarakan umat Islam dalam kalangan Muhajirin (mereka yang berhijrah) dan Ansar (penduduk tempatan) dan turut mempersaudarakan kembali dua kabilah yang bertelagah iaitu Aus dan Khazraj.
Ini adalah tunjang memperteguh umat dengan menyatukan mereka bagi mengelakkan berlakunya pergeseran yang boleh melemahkan umat. Kelompok yang sentiasa bergaduh di antara satu sama lain pastinya akan melemahkan kekuatan umat Islam itu sendiri.
Seperkara lagi, Nabi SAW bukan mempertaut umat Islam sahaja tetapi baginda turut mengajak golongan bukan Islam untuk sama menyokong perjuangan baginda.
Di Madinah inilah baginda membentuk satu Perlembagaan pertama negara Islam yang dikenali dengan nama Perlembagaan Madinah.
Apa yang menarik, Nabi SAW mengajak kelompok bukan Islam turut sama mempertahankan Madinah daripada diserang oleh musuh. Baginda juga menggelarkan seluruh mereka yang bersetuju dengan Perlembagaan tersebut sebagai ummah.
Ini menunjukkan betapa sistem pemerintahan Islam itu sebenarnya tidak pernah mengabaikan golongan bukan Islam untuk mendapatkan hak mereka. Jelas golongan bukan Islam terus dijamin di bawah pemerintahan Islam.
Aspek ini penting untuk dilihat berasaskan konteks negara kita yang tercinta ini. Malaysia terdiri daripada masyarakat majmuk, pelbagai bangsa dan agama yang menjadi rakyat negara ini.
Jika ditinjau dalam Perlembagaan negara, jelas bahawa negara kita juga turut menjamin hak-hak terhadap golongan bukan Islam. Dalam masa yang sama, penegasan kepada Islam sebagai agama Persekutuan turut termaktub. Ia mencerminkan Malaysia mendukung prinsip-prinsip Islam sebagai asas pembinaan negara.
Hijrah itu suatu pengorbanan. Sebagai manusia yang akal fikirannya terbatas, apakah panduan untuk berhijrah ke arah yang lebih baik?
Berpindah dari satu tempat ke tempat lain bukanlah mudah dilakukan. Apatah lagi untuk meninggalkan kampung halaman bagi membina kehidupan di tempat yang baharu. Ia sudah tentu datang dengan pengorbanan yang tidak sedikit.
Inilah hijrah, suatu peristiwa yang turut berlaku ke atas Nabi SAW yang berpindah dari Mekah ke Madinah. Dalam keadaan baginda diuji dengan sangat dahsyat di Mekah, maka tiada pilihan selain mencari jalan keluar mendapatkan tempat yang boleh menerima baginda bersama dengan risalah Islam yang dibawanya.
Peristiwa Hijrah tersebut memberikan seribu erti dalam kehidupan semasa. Apakah kita juga memerlukan hijrah dalam kehidupan ini?
Pada hemat saya, ya kita perlukan hijrah ini namun tidak semestinya berpindah tempat. Kita boleh memahaminya dalam konteks berpindah daripada melakukan perkara yang kurang baik kepada melakukan perkara yang lebih baik.
Inilah tuntutan dalam memahami proses hijrah. Kita kena sentiasa bersedia untuk berubah kepada kebaikan. Kita tidak boleh berseronok dan selesa dengan apa yang ada tanpa mencari jalan untuk menambah baik apa yang boleh. Sekiranya ada ruang ke arah sesuatu yang lebih baik, maka eloklah kita lakukannya.
Di negara kita juga kita dapati ada contoh-contoh baik yang ditunjukkan oleh masyarakat dalam konteks hijrah kepada kebaikan ini.
Ada dalam kalangan mereka yang insaf dan bertekad untuk hijrah, ada yang melibatkan gangster, golongan artis dan lain-lain. Kita boleh jadikan mereka sebagai contoh dan kita turut doakan agar mereka terus istiqamah dan menjadi motivasi kepada yang lain untuk turut berhijrah.
Kita yakin mereka yang berhijrah ini dijamin kebaikan oleh Allah SWT. Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah, nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur… (al-Nisa’: 100)

Kuasa amat penting dalam politik sebagaimana kejayaan Nabi SAW membentuk Piagam Madinah. Di negara kita mutakhir ini, berlaku krisis politik. Apakah jalan keluar dalam hal ini?
Nabi SAW menunjukkan kepada kita betapa kuasa sebagai pemimpin yang baginda ada selepas berhijrah ke Madinah tersebut telah mencetuskan fenomena baru terhadap perkembangan Islam.
Baginda tidak menggunakan kuasa untuk tujuan mendapat kemegahan, tetapi baginda meneruskan agenda penyebaran Islam sehingga penyebaran Islam dapat berlaku dengan pesat.
Dalam pada itu, kita juga harus faham bahawa kuasa itu bukanlah matlamat utama baginda dalam melakukan hijrah. Kuasa itu datang dengan mesej Islam yang jelas. Ia seakan memberi gambaran kepada kita bahawa kuasa semata-mata tanpa agama akan membawa kepada kehancuran.
Apa yang ditunjukkan oleh baginda adalah memanfaatkan kuasa sebagai pemimpin di Madinah untuk menjamin kepentingan agama. Apa yang dibuat oleh baginda ini amat dihormati oleh para sahabat dan tidak dapat ditandingi oleh musuh Islam.
Oleh sebab itu, ada sarjana barat yang mengkaji manusia-manusia hebat dalam dunia ini dan mereka meletakkan Nabi SAW pada senarai teratas. Ia sepertimana yang dibuat oleh Michael H. Hart dalam bukunya100 Most Influential People In The World.
Mengambil contoh tauladan Nabi SAW , kita boleh melorek formula untuk meredakan krisis politik yang berlaku dalam negara ketika ini.
Pertama, perlu adanya satu dasar dan prinsip yang jelas dalam pentadbiran.
Kedua, setiap kumpulan yang terlibat boleh dijemput berunding bagi mendapatkan persetujuan terhadap perkara-perkara dasar.
Ketiga, sentiasa menjamin hak kebebasan kepada rakyat berasaskan kepada peraturan-peraturan yang sedia ada.
Kita tahu kerajaan sedang melakukan yang terbaik ketika ini bagi menghadapi pandemik covid-19 yang belum reda. Dalam masa yang sama merangka PPN sebagai satu strategi keluar daripada pandemik ini yang memberi kesan kepada aspek ekonomi rakyat dan negara.
Perkara-perkara baik ini perlu terus dilakukan tanpa menafikan hak rakyat boleh memberi pandangan-pandangan bernas bagi membantu kerajaan. Kita perlu berhati-hati dengan sesetengah golongan yang cuba menghasut dan melakukan perkara yang tidak elok untuk negara.
Yang kita tidak mahu adalah sikap sentiasa mencari kesalahan dan adakalanya mengkritik berdasarkan maklumat tidak tepat. Yang dikhuatiri lebih kepada menyebar fitnah semata-mata.
Oleh itu, dalam apa jua krisis, perundingan adalah jalan terbaik dapatkan persetujuan dalam urusan pentadbiran negara. Al-Quran menyebutnya sebagai syura.










