Mungkin ada yang masih tidak tahu, kini botol kaca juga sudah boleh dikitar semula bersama barangan kitar semula yang lain.
Ia bukan sahaja boleh mengurangkan lambakan sisa pepejal di tapak pelupusan, malah turut memberikan pulangan wang tunai kepada individu yang prihatin terhadap kelestarian alam.
Inisiatif itu merupakan program KITARecycle oleh SWM Environment Sdn. Bhd. dalam usaha menggalakkan aktiviti kitar semula.
Dimulakan di negeri Melaka, program itu membolehkan penduduk mengumpul botol kaca terpakai seperti botol kicap, sos atau minuman seterusnya berpeluang memperoleh pulangan dalam bentuk mata ganjaran KITARecycle.
Mata ganjaran itu kemudiannya boleh ditebus kepada wang tunai.
Namun, botol kaca yang hendak dikitar semula harus dalam keadaan sempurna dan tidak pecah. Ia juga perlu dilekatkan kod QR KITARecycle sebelum diletakkan ke dalam sangkar yang disediakan di lokasi yang telah ditetapkan.
Selain dari sangkar KITARecycle, botol kaca yang telah ditampal kod itu juga boleh diletakkan di tepi tong sampah beroda di kediaman masing-masing pada hari kutipan seminggu sekali mengikut jadual kutipan bagi barangan kitar semula, sisa kebun dan sisa pukal.
Maklumat lanjut boleh didapati di laman web www.KITARecycle.com.
Cara-cara kitar semula botol kaca:
1. Pastikan botol dalam keadaan bersih, sempurna dan tidak pecah
2. Asingkan penutup botol
3. Tampal kod QR KITARecycle
4. Letak dalam bekas yang bersesuaian
5. Masukkan ke dalam sangkar kitar semula KITARecycle kategori ‘Lain-lain’ di lokasi yang telah ditetapkan atau di tong sampah beroda kediaman masing-masing.










