Kempen #MYCadburyFlavours bantu peniaga gerai tingkatkan pendapatan - Utusan Malaysia

Kempen #MYCadburyFlavours bantu peniaga gerai tingkatkan pendapatan

Kempen menyokong perniagaan tempatan itu diadakan sejajar pelancaran produk baharu jenama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuih-muih tradisional seperti seri muka, ketayap dan onde-onde sememangnya sinonim dengan identiti kebangsaan kerana campuran pandan dan kelapa memberi rasa lemak manis asli yang digemari ramai.

Gabungan kehalusan coklat susu dengan pandan yang harum dan kelapa beraroma menghasilkan satu rasa ikonik warisan tempatan yang menjadi pilihan oleh rakyat Malaysia tanpa mengira generasi.

Dengan perisa Cadbury Dairy Milk Pandan Kelapa, Cadbury Malaysia menerusi inisiatif kempen bertemakan #MYCadburyFlavours akan membantu perniagaan penjaja kuih-muih tempatan yang terjejas dengan mempromosikan gerai mereka.

Ketua Pemasaran Mondelez International Malaysia dan Singapura, Arpan Sur berkata, pihaknya gembira kerana dapat melancarkan bukan sahaja produk baharu tetapi juga kempen yang berupaya membantu perniagaan para penjaja kuih-muih untuk terus bertahan ketika pandemik ini.

“Banyak perniagaan berskala kecil mengalami kerugian. Menerusi kempen di Instagram ini, kami ingin meningkatkan kesedaran semua pihak untuk membantu penjaja mengekalkan perniagaan dan meningkatkan sumber pendapatan mereka.

“Cadbury Malaysia meminta pengguna Instagram untuk sama-sama membantu mempromosikan perniagaan para penjaja di platform digital serta menerusi iklan berbayar di media sosial yang menggunakan tanda pagar #MYCadburyFlavours.

“Semoga kita semua dapat bersatu sebagai rakyat Malaysia yang prihatin untuk terus #SapotLokal dan membantu pemilik perniagaan tempatan mengharungi tempoh yang sangat mencabar ketika ini,” katanya.

Ujar Arpan, langkah-langkah untuk menyertai kempen ini sangat mudah hanya perlu berkongsikan maklumat dan gambar di Instagram.

“Pengguna Instagram hanya perlu kongsikan gambar gerai atau penjaja kuih kegemaran mereka dengan menggunakan tanda pagar #MYCadburyFlavours dan ‘tag’ @Cadbury_MY.

“Kemudian pinkan lokasi atau sertakan nama dan tempat gerai tersebut di dalam kapsyen. Selain daripada itu, mereka boleh menyemak tanda pagar #MyCadburyFlavours dan temui pelbagai lokasi gerai menarik seluruh Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, jenama itu turut memperkenalkan inovasi perisa ke dalam coklatnya iaitu pandan kelapa.

Cadbury Dairy Milk Pandan Kelapa boleh didapati secara eksklusif mulai Ogos di semua pasar raya di seluruh negara, juga secara dalam talian di Shopee dan Lazada pada harga runcit yang disyorkan, RM2.90 untuk 37gram (g) manakala RM8.50 bagi 160g.

Perisa pandan kelapa ini adalah varian edisi terhad ketiga, dihasilkan mengikut cita rasa penggemar coklat di Malaysia. Sebelum ini Cadbury Malaysia memperkenalkan perisa Cadbury Dairy Milk Kopi C dan Durian yang mula diperkenalkan sejak 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN