Impiannya untuk mengangkat martabat orang Asal menjadi kenyataan apabila Shahar Koyok, 36, menerima 2017 Merdeka Award Grant for International Attachment.
Anugerah berprestij sebagai penghargaan usaha penyelidikan paling cemerlang negara itu disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah empat tahun lalu.
Shahar atau lebih dikenali sebagai Shaq Koyok juga adalah Orang Asli pertama menerima Anugerah Geran Merdeka serta penerima pertama bagi kategori Pendidikan dan Komuniti/Masyarakat.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, matlamat utama penyelidikannya ialah bagi angkat martabat budaya kaum Asal di Malaysia terutama hasil karya seninya.
“Penyelidikan tersebut turut bertujuan meneroka keunikan tempat seni asli di dalam konteks meraikan kepelbagaian etnik dan budaya Malaysia.
“Selain itu, ia mengkaji lebih lagi mengenai pemacu utama yang turut meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap budaya asli melalui hasil seni asli,” katanya dalam temu bual secara dalam talian, baru-baru ini.
Bercerita lanjut tentang penglibatannya dalam bidang seni, dia mula melukis potret ketika di sekolah menengah.
Ia apabila mendapat galakan daripada guru-guru yang memperakui bakatnya dan mengupahnya melukis potret peribadi masing-masing.
“Saya dibayar RM200 untuk satu potret yang dihasilkan, digunakan untuk menambah duit saku ketika itu.
“Dengan melukis potret jugalah saya dapat menyara hidup ketika bergelar pelajar jurusan seni halus di Universiti Teknologi Mara (UiTM),” jelasnya.
Semasa menyambung diploma di kampus UiTM Melaka, dia akan meletakkan hasil karyanya di sudut-sudut jalan pada hujung minggu dan melukis potret pelancong serta pengunjung yang lalu-lalang di situ.
Duit lebih yang diperolehinya, dapatlah dia gunakan untuk mengembangkan lagi cabang kreativitinya ke bidang muzik dan meluncur papan selaju, yang kemudiannya menjadi hobi sehingga kini.
“Saya juga aktif dalam kerja komuniti untuk membantu kanak-kanak Orang Asli.
“Saya mahu mewakili Orang Asli dalam karya saya agar orang dapat melihat kami, dan melihat bahawa Orang Asli bukan masyarakat terasing dan mampu ke depan,” katanya.
Shahar juga berkongsi bagaimana sesetengah galeri pada mulanya teragak-agak untuk mempamer atau menjual karyanya.
Ada yang menasihatkannya untuk melukis subjek yang lebih bersifat komersial.
Tetapi dia tetap dengan misinya. Akhirnya, pada 2017, karyanya terpilih sebagai sebahagian daripada pameran berkumpulan Manah: A Living Legacy di Galeri Petronas.

DIPAMER DI LONDON
Hasil kerja pemuda berasal dari Banting, Klang itu juga dipamerkan di seluruh negara serta di luar negara seperti Melbourne, London dan Miami.
Dalam masa yang sama, Shahar juga telah menerbitkan sebuah buku cerita kanak-kanak yang berjudul Tujal dan Angin.
“Idea saya buat penyelidikan ini datang daripada asal usul saya sebagai Orang Asli. Saya nampak muzium dan galeri seni di Malaysia tak banyak info mengenai Orang Asli.
“Sampai satu masa saya nampak saya perlu bawa seni Orang Asli ke peringkat lebih tinggi.
“Saya berasa sedih sebab di Malaysia banyak Orang Asli tapi kenapa tidak banyak tunjukkan tentang seni dan budaya kami.
“Pelajar Orang Asli pun sering merendah diri jika mereka di sekolah kerana rasa tersisih,”katanya.
Dengan kejayaan Shahar ini, dia dapat membuka minda dan mengubah pandangan sesetengah masyarakat mengenai kisah orang Asli di Malaysia.










