Penyampaiannya bersahaja dan celotehnya mudah difahami. Tidak hairanlah setiap kali Dr. Malar Santhi Santherasegapan memuat naik hantaran maklumat atau video di akaun sosial media miliknya, ramai yang suka.
Ramai yang kenal Dr. Malar melalui perkongsian hantaran video yang tular dalam akaun Facebook dan Tik Tok. Banyak video berkaitan isu kesihatan semasa yang dimuatnaiknya.
Majoriti suka mendengar video tersebut kerana beliau bercakap secara santai menggunakan bahasa Melayu yang mudah difahami.
Bagaimana Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma sebuah hospital swasta di Lembah Klang ini boleh terlibat sebagai influencer di media sosial?
Jelas Dr. Malar, segala-galanya bermula dengan penulisan yang dibuat di akaun Facebook.
“Saya suka menulis di Facebook berkaitan fakta-fakta kesihatan. Tetapi follower saya tidak begitu ramai.
“Apabila saya menulis ada yang tidak faham dengan penulisan panjang saya itu. Saya sedar perkara itu apabila emak saya yang beritahu saya.
“Setiap kali emak saya baca apa yang saya tulis itu, saya perlu terangkan semula pada dia sebab dia tidak faham.
“Walaupun anak dia doktor, tetapi emak saya hanya percaya pada video lain yang dia lihat dalam Whatsapp,” katanya.
Sejak itu, Dr. Malar mengubah cara penyampaian maklumat kesihatannya. Beliau cuba bersembang santai secara live di Facebook.
Walaupun teruja untuk mencuba sesuatu perkara yang baru, beliau berasa agak gentar ketika pertama kali memulakan sesi live di Facebook.
“Kekangan masa itulah masalah saya. Pada awalnya saya buat sesi live pada awal pagi. Saya mencari-cari nama yang sesuai untuk digunakan sebagai hashtag. Akhirnya saya pilih #celotehdrmalar kerana tertarik dengan perkataan celoteh.
“Topik-topik yang saya bincangkan adalah topik-topik kesihatan biasa. Tidak ada sambutan sangat terhadap topik-topik yang saya bincangkan itu. Paling ramai 1,000 orang sahaja yang melihat sesi live saya itu,” jelasnya.
Dr. Malar mula dikenali ramai apabila beliau mula mengulas topik kesihatan yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia.
“Antaranya topik-topik berkaitan Covid-19 dan vaksin. Saya tidak sangka bebel saya jadi viral.
“Orang kenal celoteh saya secara percakapan. Dari situ saya sedar ada golongan yang dahagakan penerangan dari sesi video dan bukannya penulisan.
“Saya sedar bercakap dalam intonasi memberi penerangan barulah mesej itu sampai jika dibandingkan dengan penulisan,” katanya.
Pada mulanya Dr. Malar hanya aktif memuat naik video di Facebook. Namun apabila orang ramai mula repost video-video celotehnya itu di platform berbeza, beliau mengambil keputusan memuat naik video itu ke semua platform media sosialnya juga.

Pada April 2021 beliau mula memuat naik video #celotehdrmalar di semua akaun platform media sosial termasuklah Tik Tok dan Instagram. Masa untuk sesi live juga ditukar pada waktu malam.
“Saya buat live pada 10 malam kerana ketika itu anak-anak sudah tidur. Pemilihan tajuk pula biasanya adalah isu kesihatan semasa yang sedang hangat diperkatakan di Malaysia.
“Selain itu ada juga follower tegar yang mesej saya untuk mengupas sesuatu tajuk. Jika rasa sesuai saya akan kupas tajuk dan isu tersebut,” katanya.
Hidup dalam persekitaran orang Melayu menjadikan kepetahan berbahasa Melayu pula menjadi nilai tambah dalam diri Dr. Malar.
Wanita berusia 38 tahun ini fasih berbahasa Melayu kerana dibesarkan di persekitaran yang majoritinya dikelilingi orang Melayu di Kuantan, Pahang.
“Keluarga saya rapat dengan jiran-jiran Melayu di situ. Semangat kejiranan kami sangat baik.
“Saya juga sering keluar masuk dan makan minum di rumah jiran Melayu bernama pak cik Abas.
“Selepas balik sekolah saya selalu juga ke rumahnya. Hubungan kami memang rapat. Sebab itu jugalah saya fasih berbahasa Melayu,” katanya.

Suka masak, aktif sukan
Kerjaya yang memerlukan dirinya berhadapan dengan pelbagai kerenah pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma pasti memenatkan. Namun Dr. Malar seronok dengan apa yang menjadi pilihannya itu.
“Sebenarnya sebelum jadi doktor, saya ditawarkan belajar dalam bidang perakaunan. Sebabnya selepas SPM saya dapat masuk Tingkatan Enam dan ditawarkan belajar bidang perakaunan. Habis STPM, saya ditawarkan bidang yang sama di Universiti Sains Malaysia.
“Tetapi saya tidak minat bidang perakaunan. Saya hanya sempat belajar tiga minggu sahaja di universiti tersebut. Saya ambil keputusan berhenti dan beritahu pada keluarga yang saya mahu belajar bidang perubatan,” katanya.
Hasrat itu tercapai apabila permohonan belajar bidang perubatan di sebuah universiti di Ukraine diterima. Setelah tamat, beliau berkhidmat di beberapa hospital kerajaan. Kini beliau bertugas di Hospital Columbia Asia Cheras.
Kerjaya profesionalnya tidak membataskan beliau untuk melakukan perkara yang disukai pada masa lapang.
Sebelum pandemik Covid-19, Dr. Malar gemar mengikuti aktiviti bersenam di pusat senaman dan kecergasan.
“Saya suka bersenam sebab semasa sekolah dahulu saya aktif aktiviti bersukan seperti lari jarak jauh dan bermain bola keranjang. Disebabkan PKP saya tidak dapat ke pusat senaman dan kecergasan.
“Hobi saya adalah memasak dan saya suka cuba resipi baru. Tetapi apabila sudah sibuk dengan kerjaya dan media sosial ini masa saya sangat terhad untuk melakukannya,” katanya yang suka membaca novel bahasa Melayu.
Mengamalkan gaya hidup sihat sudah pasti amat penting buat Dr. Malar. Beliau berkongsi tips kesihatan kepada semua.
“Pertamai, jaga kesihatan mental. Kesihatan mental menentukan kesihatan tubuh secara keseluruhan. Kesihatan mental paling penting. Jaga kesihatan mental.
“Cari apa yang beri kebahagiaan dalam diri kita. Cari masa untuk manjakan diri atau me time. Paling kurang setengah jam masa yang perlu kita berikan kepada diri sendiri untuk manjakan diri.
“Perkara kedua adalah cari circle yang buat kita gembira. Circle ini penting kerana apabila kita sakit dan tak sihat ada tempat untuk kita bergantung terutamanya ketika pandemik Covid-19 ini,” katanya.










