Taman Negara Kuala Tahan dan Hulu Tembeling, Pahang bukan sahaja terkenal dengan keindahan hutan tropika dan aliran Sungai Tembeling yang menyimpan spesies air tawar bermutu tinggi.
Sejak sedekad ini perhatian beralih kepada konflik antara manusia dengan haiwan liar yang berlaku di situ.
Konflik berlaku apabila gajah liar dari hutan yang semakin mengecil sudah menceroboh dan berkeliaran di kawasan tapak pertanian. Ia termasuk menghampiri kediaman penduduk pada waktu malam.
Haiwan liar yang kehilangan habitat asal itu masuk ke kampung mencari makanan dan merosakkan tanaman komersial seperti sayur-sayuran, kelapa pandan, sawit dan getah. Yang paling dibimbangi mengancam keselamatan penduduk.
Di Jerantut, lokasi yang sering jadi tumpuan kawanan gajah liar iaitu di Mukim Hulu Tembeling, Mukim Tembeling Tengah, Pulau Tawar. Ia juga pernah dilaporkan masuk ke kawasan tanaman sawit di Felda Kota Gelanggi di sini.
Di Hulu Tembeling, fenemona penerokaan hutan tebal dibangunkan untuk projek pembangunan ladang sawit, getah dan pembalakan sudah diketahui umum. Ia mengancam habitat haiwan liar terutamanya kawasan rayau mencari makanan.
Menurut sumber Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), bilangan gajah yang masih ada adalah antara 1,000 hingga 1,100 ekor di Semenanjung Malaysia. Taman Negara mempunyai populasi gajah terbesar dianggarkan antara 290 hingga 350 ekor gajah.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mengambil maklum tekanan yang dihadapi oleh penduduk Mukim Tembeling Tengah dan Mukim Hulu Tembeling berhubung ancaman gajah liar yang dilaporkan sejak kebelakangan ini.
Katanya, kerajaan menerusi Perhilitan terus mengambil tindakan proaktif apabila mendapat laporan Jawatankuasa Keselamatan Kemakmuran Kampung (JKKK) dan penduduk dengan menghalau haiwan liar ini semula ke hutan berdekatan.

“Sekiranya pencerobohan berulang dan merosakkan lebih banyak kawasan pertanian, operasi penangkapan akan dilakukan oleh Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kuala Gandah serta pemindahan ke Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir, Terengganu,” katanya.
Nazri yang juga Pengerusi Gajah Liar Pahang berkata, kebiasaannya gajah yang menceroboh semula ke kawasan pertanian dan penempatan penduduk membabitkan seekor atau dua sahaja.
Sehingga kini lima ekor sudah ditangkap dan dipindahkan ke Terengganu.
Katanya, kerajaan negeri masih di peringkat perancangan untuk menempatkan gajah liar di kawasan santuari di daerah ini. Kawasan Hulu Tembeling dan berdekatan Kuala Tahan antara pilihan utama pusat konservasi gajah kerana terletak berdekatan dengan tempat pelancongan.
“Bagi saya pemindahan gajah liar ke negeri lain juga tidak sesuai kerana ia menjadikan spesies gajah liar semakin berkurangan di hutan Pahang. Lebih baik kita merangka perancangan kawasan pemuliharaan (santuari) sebagai pemangkin sektor ekopelancongan pada masa akan datang,” katanya.
Nazri berkata, berasaskan kajian, haiwan liar itu mampu kembali semula ke habitat asal walaupun setelah dipindahkan ke negeri lain. Ini kerana gajah boleh menghabiskan perjalanan lebih 500 kilometer dalam tempoh berbulan-bulan untuk pulang ke tempat asalnya.
“Tidak mustahil, sekiranya gajah liar yang ditangkap di daerah ini dan dipindahkan ke Kenyir, Terengganu akan kembali semula ke Pahang melalui laluan hutan menyeberangi Banjaran Terengganu Tengah dan melepasi sempadan Pahang berdekatan Kampung Gusai, Hulu Tembeling,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar.

Dalam pada itu, ADUN Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin berkata, berdasarkan aduan penduduk sejak 2019 dan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu, sudah 50 kali pencerobohan gajah liar di Mukim Tembeling Tengah dan Penempatan Orang Asli Sungai Tiang di kawasan kediaman dan tanaman mereka.
“Kawanan gajah liar antara lima hingga enam ekor ini menceroboh kebun sawit, kelapa pandan dan tanaman nangka madu di penempatan Melayu pesisir Sungai Tembeling iaitu Kampung Labu, Kampung Lubuk Payung, Kampung Hulu Retang, Kampung Rebus, Kampung Batu Balak, Ladang Felda Padang Piol dan Stesen Penyelidikan Malaysian Palm Oil Board.
“Tetapi, sejak awal tahun ini cuma berlaku dua kes gangguan liar di Tembeling Tengah dan telahpun ditangkap oleh Unit Tindakan Gajah, Kuala Gandah lalu dipindahkan ke Terengganu,” katanya.
Mohd. Zakhwan yang juga Ketua Dewan Pemuda Pas negeri berkata, renjer Perhilitan melakukan operasi penangkapan memandangkan pencerobohan gajah liar banyak merosakkan tanaman komersial.
“Ini menjejaskan pendapatan penduduk dalam tempoh PKP selain dibimbangi mengancam keselamatan manusia,” katanya.
Segerakan bina pusat konservasi gajah
Penduduk daerah Jerantut termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar dan pentadbir kampung menggesa Kerajaan Pusat dan negeri memberhentikan pembangunan hutan di kawasan Hulu Tembeling. Ia bagi mengekalkan habitat haiwan liar sedia ada termasuk membina sebuah pusat konservasi atau santuari gajah.
Sukarelawan Bird Group Taman Negara (BGTN), Sabri Abdullah berkata, kerajaan perlu mewujudkan sebuah pusat konservasi gajah di luar kawasan Taman Negara seperti di kawasan hutan Hulu Tembeling.
“Sudah sampai masanya setelah lebih sedekad lalu berdepan konflik ini, kerajaan perlu mewujudkan habitat baharu dan kawasan sumber makanan gajah liar bagi mengelakkan haiwan ini terus menceroboh kampung.
“Kerajaan perlu mencontohi serta mempelajari kepakaran Thailand tentang projek konservasi gajah kerana mereka sentiasa bekerjasama dengan NGO seperti Nature and Wildlife Association yang berjaya mengurangkan konflik manusia dan gajah.
“Usaha ini bukan sahaja di bidang pemuliharaan sebagai pelantar menjana sektor pelancongan, tetapi keseriusan kebanyakan penduduk luar bandar yang mempunyai aplikasi dalam talian untuk berhubung dengan pihak berkuasa dan NGO jika menjumpai gajah termasuk menjaga keselamatan dan kebajikan haiwan ini,” katanya di Kuala Tahan.
Pengerusi JKKK Gol, Abu Jamil Awang Mahmud pula berkata, JKKK juga bersetuju dengan saranan NGO supaya diwujudkan kawasan pemuliharaan gajah di Kuala Tahan atau Hulu Tembeling bagi menyelamatkan populasi haiwan liar ini selain kerap dipindahkan ke tempat lain.
“Kami kerap berdepan masalah ini sejak PKP tahun lalu walaupun dihalau oleh renjer Perhilitan ke hutan, tetapi haiwan ini datang semula merosakkan tanaman dan secara langsung merugikan penduduk lebih lagi bergantung pendapatan dengan hasil pertanian.
“JKKK di sini pernah memohon kerajaan supaya membina pagar elektrik antara pinggir hutan berdekatan dengan kampung ini sepanjang 10 kilometer tetapi sehingga ini belum direalisasikan dan kami bimbang ancaman ini akan berulang,” katanya.
Rakannya, Pengerusi JKKK Kuala Sat, Abdul Jabar Dolah berkata, mengikut laporan penduduk, kawanan gajah liar ini cuma ‘bersembunyi’ di hutan berdekatan kampung ini kerana sebelum ini habitat haiwan ini sudah dibangunkan dengan projek pembangunan ladang yang luas pihak tertentu.
“Bagi penduduk di sini ancaman gajah liar terhadap tanaman getah dan sawit serta melihat kelibat haiwan ini di pinggir hutan merupakan ‘alah bisa tegal biasa’ tetapi kami menanggung kerugian berpanjangan apabila tanaman dirosakkan,” katanya.

Abdul Jabar berharap, kerajaan segera mewujudkan pusat pemuliharaan gajah di Hulu Tembeling selain secara langsung memberi pengetahuan kepada generasi muda mengenai hidupan liar yang semakin pupus.










