Nama Abdul Rahman Hasan Habannakah masyhur kerana menghasilkan banyak kitab berkaitan ulum al-Quran, akidah, tipu daya Yahudi sepanjang zaman, kaedah berdebat, asas balaghah dan lain-lain.
Beliau dilahirkan di Damsyik pada 1927. Kelebihan tokoh ini adalah menerima pendidikan awal berkaitan ilmu syariah dan menghafaz al-Quran daripada ayahnya, Sheikh Hasan Habannakah.
Sheikh Hasan Habannakah adalah tokoh ulama yang dihormati ramai kerana keilmuanya yang luas dan perjuangannya menentang penjajahan Perancis ke atas Syria ketika itu.
Beliau dilahirkan pada 1908. Terkenal dengan kepandaian sejak usia remaja. Seorang yang sangat sayang kepada ilmu dan amat bersungguh menuntut ilmu.
Beliau menuntut ilmu daripada ulama di Damsyik yang mempunyai halaqah ilmu atau berguru dengan mengadakan halaqah khas untuknya sahaja. Kesemua masanya dikhususkan untuk menuntut ilmu dan mendalaminya dengan para ulama ketika itu.
Penulis biografi beliau memberi sifat yang amat baik kepada beliau. Antaranya berakhlak yang bersopan walaupun ketika marah. Memilki tubuh yang sasa, bergerak pantas, pelontar yang tepat, mahir menunggang kuda dan selalu melakukan riadah dengan berlawan pedang.
Beliau juga amat peka dengan tipu muslihat musuh Islam, amat teliti tentang sesuatu isu, benar dalam firasat dan tidak terpedaya dengan helah lawan.
Sheikh Hasan Habannakah kurang memberi perhatian menulis buku tetapi legasi ilmu beliau berjaya diteruskan melalui sekumpulan ulama yang lahir hasil didikan beliau dalam tempoh yang panjang.
Beliau berpendapat tarbiah kepada pelajar sehingga mereka menjadi ulama, faham tentang agama dan berdakwah pada jalan Allah dengan berhikmah adalah lebih bermanfaat kepada umat Islam.
Bagi mencapai keazamannya, beliau mengasas dan menubuhkan Maahad Taujih al-Islami.
Pusat pengajian ini berkembang dari semasa ke semasa sehingga bilangan pelajarnya meningkat kepada 500 pelajar pada 1967. Beliau juga menubuhkan pusat pengajian untuk perempuan.
Berkat didikannya, lahir para ulama yang terkenal seperti Sheikh Husien Khattab yang menjadi Sheikh Qurra Syam, Sheikh Kurayyim Rajeh, Prof. Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buthi, Sheikh Ali al-Syarbaji, Dr. Mustafa Bugha, anaknya Sheikh Abdurahman Hasan Habannakah dan ramai lagi.
Selepas berjaya dalam memahamkan masyarakat terhadap Islam dan legasi ilmunya diteruskan sekumpulan ulama, akhirnya beliau meninggal dunia pada 1978.
Berita kematiannya disiarkan oleh media ketika itu dan dianggarkan hampir 500,000 umat Islam yang solat jenazah dan hadiri pengebumiannya. Selepas itu, anaknya, Sheikh Abdurahman Habannakah menulis satu buku iaitu Ayah Seorang Pendakwah dan Murabbi: Syeikh Hasan Habannakah al-Maidani, Kisah seorang alim, pejuang yang bijaksana dan berani.
SHEIKH ABDURAHMAN HASAN HABANNAKAH
Setelah menuntut ilmu daripada para ulama di Syria termasuk ayahnya Sheikh Hasan Habannakah, Sheikh Abdurahman Habannakah melanjutkan pengajian di Universiti al-Azhar, Mesir.
Dalam kerjaya pula, beliau berkhidmat di Universiti Ummu al-Qura, Mekah selama hampir 30 tahun.
Darah pejuang ayahnya mengalir dalam tubuhnya. Sebelum berkhidmat di Mekah, beliau mengasaskan banyak pusat pengajian ilmu syariah di beberapa daerah di Syria.
Semasa di Mekah pula beliau dipilih sebagai anggota jawatankuasa mengasas Rabitah Alami Islam dan juga jawatankuasa Majlis Ighathah Islami Peringkat Antarabangsa.
Beliau juga aktif menghadiri seminar dan muktamar di dalam dan luar universiti Ummu al-Qura.
Selain itu, beliau sering dijemput menyertai rancangan televisyen dan radio dalam pentas forum dan soal jawab agama.
Banyak penulisan yang dihasilkan. Ramai penulis memberi ulasan karyanya mempunyai keistimewaan dengan curahan ilmu yang disampaikan dengan mendalam dan lengkap.
Kaedah penulisan beliau adalah mengumpulkan maklumat dalam kitab turath dan kitab moden. Selain itu mengintegrasi bidang agama dengan ilmu moden semasa. Beliau amat memberi perhatian terhadap fahaman dan politik khususnya tipu daya zionis.

QAWAID TADABBUR AL-AMTHAL
Sheikh Abdulrahman Hasan Habannakah menyatakan dalam kaedah yang ke-10 tadabbur al-Quran ialah mengkaji ayat-ayat al-Quran yang disebut dengan pendek untuk tujuan ringkas.
Satu kaedah al-Quran ialah menjelaskan ayat dengan secara ringkas. Ulama tafsir yang tadabbur secara mendalam ayat-ayat al-Quran memahami kaedah ini. Perkara ini sebenarnya berbeza antara pentadabbur mengikut kefahaman dan pengkajian yang lama.
Beliau berkata, perbandingan kefahaman antara pentadabbur terhadap ayat al-Quran sama seperti orang yang menaiki kapal terbang. Berada di paras 5,000 kaki di udara akan melihat pemandangan lebih luas berbanding pada paras 4,000 kaki di udara.
Begitulah jika berada lebih tinggi maka pandangannya terhadap alam akan menjadi lebih luas. Terdapat kaedah di mana sebahagian ayat tidak menyebut beberapa kalimah untuk tujuan kesimbangan ayat dan kesempurnaan kalimah dalam nas.
Contohnya, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 268: Syaitan itu menjanjikan iaitu menakutkan kamu dengan kemiskinan dan kepapaan jika kamu bersedekah atau berderma. Dan ia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji bersifat bakhil kedekut. Sedangkan Allah menjanjikan kamu dengan keampunan daripadanya serta kelebihan kurniaNya. Dan ingatlah Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya lagi sentiasa Meliputi Pengetahuan-Nya.
Beberapa kalimah tidak disebut dalam ayat di atas untuk tujuan keseimbangan dan kesempurnaan.
Tafsirannya: syaitan melarang kamu dari berinfak pada jalan Allah. Syaitan menjanjikan kepada kamu kefakiran jika berinfaq untuk menakutkan. Syaitan juga menyuruh kamu melakukan kejahatan dengan melakukan pemborosan dan pembaziran.
Allah melarang kamu melakukan kejahatan dan juga pembaziran. Dia menyuruh kamu menginfak pada jalan-Nya dan jalan kebaikan. Dia menjanjikan kepada kamu apabila kamu lakukan maksiat lantas kamu meminta ampun dan Dia akan mengampuni kamu.
Apabila kamu berinfak pada jalan-Nya, Dia akan memberi kepada kamu kelebihan daripada-Nya dan Allah adalah Maha Luas rahmat-Nya dan Meliputi pengetahuan-Nya.
Sheikh Abdurahman Habanakah meninggal dunia pada 11 Ogos 2004 di Damsyik, Syria.
- PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










