Jangan angkat berat, nanti tombong.
Bagi wanita, pesanan ini melekat kemas dalam ingatan. Sejak dahulu lagi wanita sering diingatkan untuk menjaga mengenai kesihatan reproduktif.
Tombong kelapa atau cocos nucifera, struktur embrio terdapat dalam buah kelapa tua yang disimpan untuk proses percambahan. Ia tiada kena mengena dengan kesihatan reproduktif wanita.
Namun struktur tombong itu disamakan dengan situasi rahim jatuh atau prolaps organ pelvik (POP).
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Seri Suniza Sufian berkata, tombong atau POP bukan masalah terpencil tetapi ramai wanita mendiamkan diri daripada mendapatkan rawatan.
Katanya, POP boleh mengakibatkan inkontinens urinari atau sukar mengawal kencing, malah turut menjadikan hubungan kelamin tidak dapat berlangsung dengan baik.
“Ada kes saya rawat, pesakit secara sukarela mahu mencari isteri yang baharu untuk suaminya kerana kesukaran mengawal kencing semasa melakukan hubungan seks,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Rahim jatuh terjadi apabila lantai pelvis menjadi lemah dan tidak lagi dapat menyokong pundi kencing, rahim dan rektum. Ia menyebabkan organ berkenaan jatuh ke bawah lalu keluar melalui saluran faraj.
Penuaan jadi punca
Dr. Seri Suniza berkata, prolaps organ pelvik boleh berlaku disebabkan banyak punca namun paling lazim ialah akibat penuaan.
Dianggarkan 10 hingga 20 peratus wanita berumur 45 tahun dan ke atas (ketika bermulanya menopaus) akan mengalami keadaan ini.
Jumlah ini meningkat kepada 30 peratus bagi wanita berusia 80 tahun ke atas.
“Mempunyai berat badan yang berlebihan, memakai korset yang ketat dan mengangkat barang berat boleh meningkatkan kemungkinan POP. Ini berlaku kerana tekanan berlebihan dikenakan terhadap lantai pelvis.
“Mengalami sedikit prolaps akibat pengaruh graviti adalah normal. Tetapi dalam kes yang jarang berlaku, wanita mungkin mengalami rahim jatuh tahap kritikal selepas melahirkan anak,” katanya.
Tangani insiden
Usaha menangani rahim jatuh boleh dilakukan menerusi senaman lantai pelvis yang juga dikenali sebagai kegel.
“Senaman ini boleh membantu menguatkan otot lantai pelvis. Namun saya menyarankan wanita untuk berjumpa dengan ahli fisioterapi yang akan membantu pesakit memastikan pergerakan senaman dilakukan dengan betul,” katanya.
Jenis rawat prolaps organ pelvik
Rahim jatuh pada peringkat yang teruk perlu melalui kaedah pembedahan di mana organ yang turun akan dimasukkan semula ke dalam pelvis. Otot lantai pelvis yang lemah pula akan dijahit untuk menguatkan lagi struktur.
Walau bagaimanapun, Dr. Seri Suniza mengingatkan, kadar berlakunya semula masalah pelvis adalah sangat tinggi terutamanya dalam kalangan wanita yang berusia dengan kadar relaps adalah 30 peratus dalam masa setahun.
Bagi kes kronik, bahan pengukuhan seperti jaring mungkin digunakan untuk mengukuhkan lantai pelvis.
Pilihan selain pembedahan ialah memasang pesari (sejenis cincin dalam pelbagai saiz) yang dimasukkan ke dalam faraj untuk menyokong semua organ.
Bagaimanapun, katanya, pesari perlu diganti setiap tiga hingga empat tahun. Pesari yang dibiarkan berada lama dalam dalam faraj boleh menimbulkan risiko jangkitan dan pendarahan.
EMPAT TAHAP POP
Tahap 1
Organ dalam, turun sedikit tetapi tiada ketidakselesaan yang dirasai atau tanda-tanda visual yang kelihatan. Ini menjadikan diagnosis sukar dilakukan.
Tahap 2
Individu akan dapat rasa dan melihat bonjolan ketara pada bahagian faraj, disertai dengan tekanan atau rasa berat pada celah kangkang. Waktu ini melakukan hubungan kelamin sudah mulai rasa tidak selesa.
Tahap 3
Organ menonjol dapat dilihat melalui pembukaan faraj. Untuk prolaps pundi kencing, anda mungkin mengalami kebocoran air kencing dan untuk prolaps rektum pula, sembelit mungkin dialami.
Tahap 4
Rahim sudah terkeluar daripada faraj.
ELAK RISIKO PROLAPS
Kurangkan masa yang diambil di dalam tandas, terutamanya apabila sembelit. Elakkan meneran.
Utamakan perancangan keluarga. Pastikan jarak selama dua hingga tiga tahun bagi setiap kehamilan supaya tubuh anda mempunyai masa untuk pulih. Lantai pelvis berisiko menjadi lebih lemah jika memiliki anak ramai.
Kekalkan berat badan ideal. Berat badan yang berlebihan memberikan tekanan tambahan pada lantai pelvis.
Lakukan pap smear. Ujian ini dapat mengesan rahim jatuh. Pengesanan awal membolehkan rawatan awal dilakukan.
Senaman lantai pelvis secara konsisten. Lakukan senaman kegel, bagaimanapun untuk dapatkan yang sesuai, cuba minta panduan daripada ahli fisioterapi kesihatan wanita.










