Saya bersara awal demi keluarga - Mona Din - Utusan Malaysia

Saya bersara awal demi keluarga – Mona Din

Selepas menutup beberapa perniagaannya, Mona Din (duduk, kiri) kini banyak menghabiskan masa bersama keluarga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ketika ini tular kisah penderaan tragis seorang anak istimewa Sindrom Down bernama Bella.

Hingga kini, tanda pagar #JusticeForBella tular sebagai tanda sokongan agar pihak bertanggungjawab mendera Bella segera diheret ke muka pengadilan.

Segala-galanya bermula apabila kisah tersebut tular dalam Facebook Mona Din, 55, pada 5 Julai lalu untuk membela nasib anak syurga itu.

Mona sewaktu ditemui Utusan Malaysia menjelaskan, perjuangan beliau menyokong Bella sebagai suatu perjuangan kerana Allah SWT.

“Luluh hati saya melihat penderitaan yang dilakukan terhadap Bella. Anak istimewa ini amat dekat di hati saya. Saya pernah kehilangan anak kandung yang juga seorang anak Sindrom Down. Kini saya mempunyai seorang anak angkat bernama Nadira yang juga anak Sindrom Down. Sakitnya hati ini melihat penderitaan ke atas Bella, memberi kesan amat mendalam kepada saya dan seluruh ahli keluarga,” katanya.

Semenjak kisah tersebut tular, ramai yang tertanya-tanya. Siapa Mona Din? Pengasas jenama butik terkenal Hajaba, Women of Jannah, Umrah Hajj serta Leesa Formula dan Serenity Spa ini pernah popular sekitar pertengahan tahun 2000.

Jenama dibawakan dirinya, pernah mencetuskan fenomenanya tersendiri. Mona menjadi satu nama besar dalam industri fesyen Muslimah sekali gus menjadi pelopor di Malaysia.

Malah butik Hajaba pernah berada dalam pusat beli-belah terkenal seperti KLCC, Bangsar Village dan Pavilion.

Kala perniagaannya berada di kemuncak, Mona mengambil keputusan bersara awal untuk memberi perhatian terhadap keluarga dan ibadah. Ramai tertanya-tanya mengenai kehilangan dirinya dalam radar fesyen muslimah.

Mona begitupun, tidak pernah menganggap keputusannya itu sebagai detik kejatuhan empayar peniagaannya, kerana keputusan berkenaan diredai suami, Zulkefli Mohd Ali, 59.

BERSARA UMUR 50

“Saya memang memasang impian bersara pada usia 50 tahun. Paling penting saya ingin menebus kembali apa yang tak sempat saya lakukan dahulu. Di waktu saya membina empayar perniagaan,” katanya.

Enggan menoleh ke belakang, Mona kini gembira dengan kehidupan dikecapi hari ini.

“Saya bebas bercuti bersama keluarga dan dapat memberi lebih perhatian terhadap anak-anak. Bukankah itu kebahagiaan,” katanya.

Nadira, 13, dan cucu penyeri hidup Mona.

Jauh tak bererti hilang. Mona memanfaatkan media sosialnya untuk mendekati orang ramai, sebagai isyarat dirinya ada dan masih ingin berbakti kepada orang ramai.

“Saya suka meluangkan masa, menulis di Facebook. Ia umpama diari peribadi saya untuk berkongsi nasihat, tips dan kaunseling buat para pengikut khususnya hal-hal berkaitan keluarga dan anak.

“Saya kira ini adalah sebagai salah satu sumbangan kepada pengikut saya dan masyarakat. Tidak sekelumit rasa riak kerana apa yang saya kongsi itu saya kira amat memberi mesej yang positif,” katanya berterus terang.

SELALU BERSYUKUR

Walaupun ramai yang bertanya hala tujunya dirinya, Mona hanya berserah kepada Allah kerana yakin rezeki buatnya sentiasa ada.

Mengenai rutin hidupnya Mona berkata masanya banyak dihabiskan di rumah bersama suami dan anak-anak.

“Segala tugas rumahtangga saya uruskan sendiri. Jadual saya kini penuh dengan aktiviti keluarga. Sesibuk mana pun kami cuba untuk meluangkan masa bersama anak-anak khususnya pada waktu malam dan hujung minggu.

“Perniagaan kini jatuh ke tangga nombor dua. Ia ibarat aktiviti sampingan tetapi saya tidak akan pernah terhenti,” katanya yang masih mempertahankan jenama Leesa Formula.

MONA yang BAHARU

“Saya bersyukur kerana Allah melimpahi rezeki buat saya selama ini. Lebih bermakna, saya dapat menjaga solat dengan baik. Kalau dulu saya pernah memandang ringan terhadap solat lima waktu.

“Alhamdulillah kini saya menjadi seorang yang lebih baik berbanding sebelumnya. Saya menjadi Mona Din yang baru. Mudah lembut hati dan emosi juga lebih tenang. Kalau dulu mudah nak marah dan mahu semuanya sempurna. Saya kita ia berlaku sebab saya istiqamah melakukan solat tahajud setiap malam.

“Masa untuk muhasabah dan memperbaiki diri. Saya disiplinkan diri dan turut berkongsi dalam Facebook bagaimana rutin saya bangun awal pagi setiap hari untuk bertahajud. Bukan niat untuk riak tetapi memberi inspirasi buat rakan-rakan pengikut saya untuk turut bersemangat untuk bertahajud,” katanya.

KEADILAN UNTUK ADIK BELLA

Bercerita lanjut tentang kisah penderaan Bella, ia bermula dalam kumpulan WhatsApp yang terdiri daripada ibu-ibu kepada anak Sindrom Down.

“Suatu malam tu ada seorang menghantar pesanan ringkas kepada saya memaklumkan di hospital ada satu kes anak Sindrom Down didera. Badannya dikatakan disiram air panas dengan kesan terbakar tahap tiga atau empat.

“Masa tu saya tak tau siapa dia. Kemudian saya dikongsi satu video dari sebuah rumah kebajikan yang menunjukkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengambil anak-anak di rumah tersebut yang di bawah JKM.

“Saya buat sedikit ulang kaji dan saya melihat seorang kanak-kanak dan dapat tahu dia daripada Seremban dan berumur 13 tahun. Saya sangat terkejut kerana Nadira (anak Mona Din) pun saya ambil dari Seremban. Selepas itu saya terima banyak gambar dan video tentang Bella. Saya tunjuk pada Nadira dan beritahu itu Bella.

“Kemudian saya dapat lagi gambar-gambar Bella yang sebelum didera. Saya tunjuk lagi pada Nadira dan dia terus kenal. Bila saya lihat Bella saya membayangkan itu adalah arwah Kak Mar dan Nadira. Saya rasa macam separuh nyawa ini dibawa pergi dan masa itu saya berkata ‘I am going to viral this,” katanya tegas.

Kempen untuk Bella. – FB Mona Din

Mona nekad mengambil risiko kerana Bella anak sebatang kara. Kalau bukan dirinya membantu, siapa lagi.

Puteri sulung Mona, Kak Mar dilahirkan bersama Sindrom Down. Meninggal dunia ketika berumur 12 tahun pada 2004. Kak Mar mengalami masalah jantung berlubang, dua di jantung dan dua di injap.

Antara kenangan paling memberi kesan yang mungkin boleh dikatakan manis bercampur pahit ialah sepanjang 12 tahun hidupnya dia bermalam di hospital lebih banyak bermalam di rumah sendiri.

Mona turut menasihati orang ramai yang ingin mengambil anak-anak istimewa sebagai anak angkat, perlu ikhlas menerimanya.

“Pastikan diri benar-benar mampu memberikan kasih sayang dan cukup kuat untuk menerima kekurangan itu. Buat sesiapa yang dikurniakan anak istimewa, anda telah pun memiliki seorang ahli syurga dalam keluarga.

“Kita belum tentu masuk syurga tetapi anak itu pasti menjadi ahli syurga. Itu adalah nikmat terbesar yang Allah SWT bagi, selalu ingat itu. Ciumlah anak syurga ini setiap saat. Kalau benar-benar tidak sanggup carilah bantuan kerana kita ada badan bukan kerajaan (NGO), JKM dan sebagainya. Banyak yang hendak membantu sebenarnya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×