Santan segar hasilkan kuih lapis sedap - Utusan Malaysia

Santan segar hasilkan kuih lapis sedap

Kuih lapis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuih lapis salah satu kuih tradisional yang masih digemari ramai. Rasanya yang manis dan berlemak cukup sedap. Tak cukup sepotong sekali makan.

Hendak buat kuih lapis sebenarnya agak renyah sebab perlu buat lapisan kuih yang berlapis-lapis. Tetapi kalau tahu teknik dan caranya, semua itu bukan satu masalah. Kuih yang sudah siap pasti akan nampak cantik dan licin berkilat.

Melalui perkongsian Suzana Othman di sebuah grup masakan di Facebook, beliau hanya belajar membuat kuih lapis melalui Youtube. Jika ada yang ingin belajar membuat kuih lapis bolehlah ikut resipi yang dikongsikan ini.

Petua hendak bagi lapisan atas kuih lapis nampak cantik dan licin adalah kena rajin mengelap tudung periuk bagi mereka yang menggunakan periuk dengan tudung kaca.

Kalau menggunakan periuk yang ada tudung besi, perlulah membalut terlebih dahulu tudung tersebut. Cara ini dilakukan bagi mengelakkan air menitis ke atas kuih yang sedap dikukus dan dimasak.

Penggunaan santan segar menjadikan rasanya lebih sedap. Kalau menggunakan santan kotak pun boleh tetapi rasa dan aromanya tidak sama. Ketika memasak pula, api dapur itu perlulah menggunakan api sederhana. Jika menggunakan api besar dikhuatiri permukaan kuih lapis akan jadi tidak cantik. Selamat mencuba.

Kuih lapis

Bahan-bahan:
2 cawan tepung beras
½ cawan tepung ubi
½ cawan tepung gandum
1 ¼ gula
4 ½ cawan santan segar
Sedikit sirap ros – kalau hendak terang boleh letak pewarna merah
Sedikit garam

Cara membuatnya:
1-Masukkan kesemua bahan di dalam bekas dan kacau hingga sebati.
2-Tapis bancuhan berkenaan.
3-Bahagi kepada dua bahagian. Satu bahagian berwarna putih dan satu bahagian lagi berwarna merah. (Anggaran 850 mililiter satu bahagian). Boleh guna cawan teh dan isi bancuhan tadi ke dalam loyang.
4-Ambil loyang bersaiz 8 inci. Sapu minyak pada loyang dan kukus terlebih dahulu. Guna api sederhana ketika mengukus.
5-Selepas loyang dikukus seketika, bolehlah tuang dahulu lapisan atas berwarna putih. Biarkan ia dikukus selama 4 minit.
6-Kemudian barulah tuang bancuhan lapisan warna merah ke atas lapisan putih tadi. Biarkan ia dikukus selama 4 minit. Ulang proses yang sama sehingga habis. Masa ini perlu rajin mengelap tutup tudung periuk.
7-Bahagian yang terakhir perlulah dikukus selama 15 minit.
8-Selepas 15 minit buka tudung periuk kukus. Buka api besar untuk mengeringkan air atas lapisan kuih lapis tadi selama 8 minit.
9-Kuih siap dimasak. Tunggu kuih lapis betul-betul sejuk barulah dipotong.
10-Guna pisau plastik dan sapu sedikit minyak pada pisau. Kemudian barulah potong kuih. Barulah kuih cantik.

Terima kasih : Suzana Othman
Facebook : Suzana Nurkasih / https://www.facebook.com/groups/940772822933012/user/100002306653332/

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN