Pondok buku tampil konsep berkongsi ilmu - Utusan Malaysia

Pondok buku tampil konsep berkongsi ilmu

Datuk Seri Dr Zaini Ujang perkenal pondok buku depan rumahnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ideanya ingin berkongsi buku dan ilmu dengan orang ramai.

Sama ada buku lama atau buku baharu, naskhah-naskhah itu akan disusun rapi dan diletakkan dalam almari buku.

Bezanya ia diletakkan di luar rumah bagi memudahkan orang ramai mencapai buku diingini. Almari tidak berkunci itu dibuka untuk kunjungan. Orang ramai boleh membelek buku diingini seterusnya di bawa pulang ke rumah.

Kalau sudah namanya konsep berkongsi, buku-buku itu hanya boleh dipinjam, tetapi tidak boleh menjadi hak milik.

Ia bagi membolehkan konsep perkongsian ilmu itu dapat terus dinikmati bersama.

Pondok buku comel ini hasil idea Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Zaini Ujang yang diletakkan di depan rumahnya.

Katanya, kalau sebelum ini jiran tetangga boleh meminjam buku dengan datang ke rumahnya, namun disebabkan pandemik Covid-19, semuanya tergendala.

“Sayang kalau ilmu terhalang dek pandemik Covid-19, saya memutuskan untuk membina pondok buku di depan rumah,” katanya.

Idea itu diperoleh sewaktu belajar di luar negara, Universiti Newcastle, Amerika Syarikat (AS).

“Sewaktu saya menjadi Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), idea pondok buku itu saya kembangkan di universiti dengan memberi nama book stations. Ada banyak dibuka di UTM,” katanya.

Mengenai risiko pandemik Covid-19, Zaini berkata dia tidak pula terfikir ke arah itu kerana ia hanya membabitkan komuniti setempat, yang dihuni kira-kira 70 buah keluarga. Bukannya secara terbuka kepada umum.

“Operasi dan update buku dalam pondok buku ini boleh juga kita maklumkan dalam grup WhatsApp. Saya kira mana-mana individu yang ingin menjayakan idea ini boleh sahaja. Tidak perlu beli almari yang terlalu mahal, sebaliknya kita guna pakai idea kitar semula. Yang penting terlindung daripada hujan,” katanya.

Beliau menjelaskan buku-buku yang diletakkan di pondok buku juga seharusnya yang ilmiah sifatnya sejajar konsep berkongsi ilmu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×