Kalau dahulu, menjerang air panas menggunakan cerek sudah menjadi rutin bagi suri rumah. Setelah itu muncul pula beberapa siri produk penapis air yang menawarkan air panas secara lebih mudah.
Kini, hasil inovasi sebuah syarikat teknologi hidro dan termal, Intrix memperkenalkan teknologi air panas yang lebih hebat iaitu terus daripada pili air rumah!
Inovasi pili air tulen panas segera pertama di Malaysia ini dikenali sebagai Intrix Reinz Plus yang direka dan diperbuat sepenuhnya di negara ini dengan penggunaan teras dalaman titanium yang dipatenkan.
Pengarah Urusan Kumpulan, Tee Tone Vei berkata, teknologi itu mengambil kira keperluan dapur moden dengan peralatan canggih yang mempunyai lebih banyak fungsi berbanding peralatan konvensional.
“Kami mengembangkan produk dengan mempertimbangkan penggunaan kami sendiri. Untuk Intrix Reinz Plus, kami mengambil masa tiga tahun untuk penyelidikan dan pengembangan (R&D) bagi menghasilkan sebuah produk yang kelihatan cantik, menjimatkan tenaga, mesra alam, mudah diselenggara serta mematuhi piawaian keselamatan tertinggi.
“Perkara yang memberi kami kelebihan kompetitif di antara pesaing di seluruh dunia adalah tahap penulenan air yang kami tawarkan bersama dengan langkah-langkah keselamatan utama.
“Salah satunya adalah penggunaan teras dalaman titanium (elemen pemanasan) yang dipatenkan. Ia menghalang logam berat daripada melarut resap ke dalam air minuman dan menghilangkan sebarang kekhuatiran berkaitan pembentukan karat atau kapur,” katanya.
Selain itu, produk terbaharu itu juga dikatakan mampu menghapuskan 99.9 peratus bakteria, alga dan virus sambil mengekalkan kandungan mineral semula jadi air dengan penukaran penapis tahunan.
PENJIMATAN TENAGA
Selain memudahkan kerja-kerja memasak dengan mendapatkan air panas terus daripada pili air, produk ini juga lebih cekap tenaga bagi menyokong teknologi hijau.
Dengan mod Ecoterbina dalamnya, pengguna dapat menjimatkan penggunaan tenaga sehingga 70%.
Lazimnya, seseorang akan memanaskan satu cerek penuh walaupun mereka hanya akan menggunakan satu cawan air panas dan aktiviti berkenaan agak membuang masa dan tidak cekap tenaga.
Sebaliknya, IntrixReinz Plus membantu menjimat dan mengekalkan air mendidih untuk penggunaan berterusan dan hanya memerlukan tenaga minimum. Air suhu ambien pula tidak memerlukan sebarang tenaga.
Ciri yang menambah kecekapan tenaga adalah ciri mod Eco Pintar, yang membolehkan pengguna memprogramkan unit agar berada pada ‘mod tidur’ setiap malam dan juga mudah untuk ‘diaktifkan’ bagi penggunaan air panas dan secara automatik ia akan kembali ke ‘mod tidur’.
Mengenai ciri keselamatan pula, Intrix memberi jaminan tidak akan ada air panas yang akan memercik keluar daripada pili. Ia disebabkan penentu ukuran suhu serta altitud secara automatik.
Selain itu, pili ini juga kalis haba,boleh disentuh, dan sistem keselamatan tekan bagi mengaktifkan yang canggih untuk menghalang kanak-kanak daripada mengakses air mendidih tanpa pengawasan orang dewasa.
Ia juga telah melepasi piawaian SIRIM bagi memastikan mematuhi syarat-syarat keselamatan air dan elektrik.

Produk ini tersedia dengan reka bentuk pili berwarna hitam atau krom. Ia boleh dipasang di sisi pili dapur utama dan membekalkan aliran air tulen panas atau suhu ambien.
Pili dwi fungsi (Duo Tap) ini boleh ditingkatkan dengan saliran air (font) bagi menghasilkan stesen minuman yang sesuai untuk kegunaan rumah dan pejabat.
Selain itu, pili 4-dalam-1 menggantikan pili dapur biasa dapat menyediakan air paip panas dengan suhu ambien yang biasa ke sinki dapur untuk kegunaan pencucian.










