PERSATUAN Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) menjemput pencari kerja menyertai Pesta Kerjaya Maya ACCA 2021 (VCF 2021) yang akan berlangsung dari jam 8 pagi hingga 8 malam, Khamis ini.
Peserta boleh membuat pendaftaran secara percuma di https://accaaseananzvcf.vfairs.com dan berpeluang memenangi e-baucar beli-belah bernilai RM5,000.
VCF 2021 bakal diadakan secara lebih besar supaya pencari pekerjaan pertama termasuk profesional kewangan dan perakaunan boleh berkembang dalam kerjaya mereka.
Pesta kerjaya ini turut memberikan organisasi akses kepada bakat yang boleh membuat sumbangan signifikan dalam membantu syarikat mencari jalan keluar daripada kemelut pandemik.
Pengarah ACCA ASEAN Australia-New Zealand (ANZ), Pulkit Abrol berkata, penganjuran acara bertepatan selepas melihat kepada kepantasan perkembangan profesional, perakaunan dan kewangan ketika pandemik Covid-19.
“Fungsi kewangan berada pada tahap kritikal ketika ini. Sejak bermulanya pandemik, pasukan kewangan telah mengambil pelbagai langkah mendepani cabaran. Kini mereka harus merebut peluang bagi memacu perubahan dalam empat bidang kritikal iaitu data dan teknologi, kemahiran dan kerjaya dan inovasi serta kolaborasi supaya lebih relevan untuk masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Portfolio Maritim Asia Tenggara di ACCA, Edward Ling berkata, pihaknya menyokong usaha pengambilan pekerjaan semasa pandemik melalui platform maya.
Beribu kekosongan jawatan ditawarkan dalam pelbagai industri termasuk perkhidmatan kewangan, minyak dan gas, daripada jawatan peringkat kemasukan hinggalah ke pengurusan kanan.
“Antara majikan mengambil bahagian adalah Maybank, Khazanah Nasional Berhad, Petronas, Intel Microelectronics, KPJ Healthcare Berhad, Samsung Malaysia Electronics, DHL Asia Pacific Shared Services, Grab, firma audit the Big Four dan banyak lagi,” katanya.
Program turut dimeriahkan dengan temubual masa nyata, siri webinar peningkatan kerjaya dan rakaman ucapan pemimpin perniagaan terkenal. Peserta turut berpeluang bertemu dengan rakan di ruang maya.
Menariknya, CV Writers yang berpangkalan di United Kingdom turut memberikan khidmat reviu CV dan bimbingan temubual, panggilan video dan perbualan langsung dengan bakal majikan.










