MELEPASKAN kerjaya selesa di bandar untuk pulang ke kampung bagi membantu perniagaan keluarga sembilan tahun lalu adalah keputusan tepat Nurhanis Mohd. Nasir, 30.
Meskipun dilihat mudah kerana meneruskan perniagaan sedia ada, namun cabaran besar tetap menanti anak sulung daripada tiga beradik ini dalam mengemudi perusahaan tembikar atau labu sayong yang diasaskan ibu bapanya.
Mengakui tiga tahun pertama sebagai saat getir, wanita yang mesra disapa Hanis itu bersyukur apabila mampu mengharung cabaran sekali gus mengukuhkan perniagaan yang bermula sejak tahun 2000.
“Sejak berusia sembilan tahun lagi, Hanis menyaksikan jerit perih ibu dan abah menjalankan perniagaan ini. Ketika itu, kami tiga beradik hanya membantu kerja-kerja ringan di bengkel termasuk menjaga booth sekiranya menyertai ekspo.
“Jadi, apabila Hanis buat keputusan berhenti kerja, matlamat utama adalah menyambung legasi keluarga.
“Sebagai anak sulung, Hanis mahu membantu ibu dan abah kerana ketika itu adik-adik masih bersekolah.
“Jika Hanis tidak membantu mereka, perusahaan ini akan terbiar kerana ibu dan abah pun sudah tua. Sampai bila mereka mampu untuk menguruskannya lagi.
“Hanis tidak mahu melihat bengkel (membuat labu sayong) ini tinggal begitu sahaja, Hanis tidak mahu mensia-siakan usaha mereka selama ini.
“Lagipun, Hanis beruntung kerana ibu dan abah serahkan bengkel ini, jadi ia merupakan harta mereka untuk Hanis usahakan.
“Tempat semua sudah ada, Hanis hanya perlu usahakan untuk maju dan pergi lebih jauh,” katanya ketika ditemui di bengkel di Sayong Lembah di Kuala Kangsar, Perak baru-baru ini.
Cabaran sebagai usahawan muda
Menceritakan cabaran yang dihadapinya, Hanis berkata, dia turut melalui waktu-waktu sukar apabila produk yang dikeluarkan tidak mendapat sambutan. Namun keadaan itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha.
Katanya, dia kemudian memperluaskan teknik pemasaran melalui medium media sosial dan ternyata langkah itu merupakan percaturan bijak apabila orang ramai mula mengenali Kraf Hanis.
“Sebelum ini, Hanis tidak beri tumpuan sepenuhnya kepada labu sayong kerana cari pendapatan sampingan lain. Namun, bila Hanis fikir semula, kenapa perlu buat banyak benda sedangkan hasilnya tidak seberapa.
“Memang orang cakap boleh jadi duit tambah, tapi Hanis fikir kalau lebih fokus, hasilnya mungkin jadi lain. Jadi, Hanis berhenti buat side income lain dan fokus kepada labu sayong.
“Ketika itu, Hanis fokus berada di bengkel kerana perniagaan memang rancak, setiap minggu ada sahaja lawatan dari sekolah mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Hanis rasa tiga tahun pertama adalah pengalaman perit untuk Hanis sebelum berada di tahap sekarang,” katanya.
Pentingkan kualiti
Sebagai usahawan, Hanis sama sekali tidak berkompromi dengan kualiti produk dan amat mementingkan kepuasan pembeli.

Meskipun berdepan persaingan dari segi harga, dia yakin kualiti adalah faktor penting yang akan menarik pelanggan untuk membeli sesuatu produk.
“Sejak dari awal, tiada masalah besar kecuali bab harga dan kualiti. Memang ada pengusaha yang menjual dengan harga yang rendah namun kualitinya pula biasa-biasa sahaja.
“Bagi Hanis, sebelum meletakkan sesuatu harga, kena lihat dahulu sama ada sesuai atau tidak dengan upah pekerja dan modal. Jika terlalu rendah, Hanis akan rugi sedangkan semua kos perlu diambil kira.
“Bagi Hanis, walaupun labu sayong keluaran Kraf Hanis agak mahal, namun ia sesuai dengan kualiti. Hanis akan pastikan ia bukan sahaja cantik tetapi kukuh termasuk tidak mudah tergolek.
“Bagaimanapun, ini adalah masalah asas kepada setiap peniaga. Jika pelanggan mempersoalkan harga kononnya mahal, Hanis akan tunjukkan pada mereka kenapa harga itu diletakkan sedemikian.
“Biasanya pelanggan akan faham dan tidak kisah membayar lebih asalkan barang itu berkualiti. Kebanyakan yang datang ke bengkel juga berpuas hati melibat produk kami,” katanya.
Sokongan keluarga
Hanis berkata, kejayaannya pada usia muda adalah hasil sokongan berterusan keluarga lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 melanda negara sejak setahun lalu.
Ujarnya, keluarga banyak memainkan peranan bagi memastikan dia tidak tenggelam dalam masalah ekoran ketiadaan permintaan mahupun pelanggan.
“Hanis bersyukur ada keluarga yang tidak putus-putus memberi semangat. Covid-19, betul-betul buat Hanis rasa susah kerana semuanya tidak sama seperti dulu.
“Dulu, walaupun kurang pengalaman, Hanis yakin dapat buat lebih baik untuk perniagaan, namun sekarang, Hanis selalu fikir, boleh lagi ke Hanis bangun, mampu lagi ke Hanis majukan perniagaan,” katanya.

Tambah Hanis, dia berharap pandemik yang melanda negara ketika ini akan berakhir segera dan perniagaannya dapat kembali pulih seperti dulu.
Ujarnya, dalam tempoh mengharungi pandemik tersebut, pernah dia tidak mempunyai jualan untuk tempoh beberapa bulan dengan tiada langsung pendapatan.
“Cabaran terbesar sekarang ialah untuk pastikan barang dapat dijual. Dulu dalam sebulan, kami dapat kira-kira 10,000 unit tempahan labu sayong, sekarang untuk tiga bulan hanya dalam 100 ke 200 unit sahaja.
“Kalau diikutkan, memang terkesan kerana perusahaan kraf ini bukan seperti perniagaan lain yang boleh dijual menerusi dalam talian semata-mata.
“Jika terima tempahan pun, kuantitinya tidak banyak kerana pelanggan keberatan membayar kos penghantaran.
“Jika kita membuat penghantaran, bimbang barang pula akan rosak dan pecah,” katanya.










