PERNAH melalui pengalaman pahit sehingga tiada wang untuk membeli makanan, seorang ibu tunggal bangkit meneruskan kehidupan dan kini berjuang membantu wanita senasib dengannya.
Ketika episod hitam itu berlaku, dirinya masih muda dan tiada sumber pendapatan kerana bergelar suri rumah selain diuji selepas melahirkan permata hatinya yang ketika itu baru berusia enam bulan.
Tidak pernah sesekali menyalahkan takdir, Mia Nurhamizah Abdul Ghapar, 30, yang mesra dengan panggilan Mia menganggap ujian itu menjadikan dirinya lebih kuat. Walaupun pada mulanya tertekan selepas rumah tangga yang dibina dilanda badai tujuh tahun lalu.
Hikmah di sebalik dugaan itu, Mia yang membesarkan sendiri cahaya mata perempuannya, Laura Nur Fayqa, 6, kini mampu tersenyum apabila dapat membantu golongan asnaf terutamanya ibu tunggal. Bantuan melalui pertubuhan sukarelawan, Pertubuhan Ikon Malaysia (Ikon Malaysia) yang ditubuhkan pada 2019.
“Ujian yang dilalui menjadi pemangkin semangat untuk saya membantu lebih ramai orang yang dihimpit masalah. Tidak sanggup rasanya melihat masyarakat masih tidak makan selain tidak tahu saluran yang tepat untuk meminta bantuan.
“Daripada situ, tercetuslah idea menubuhkan Ikon Malaysia yang bukan sahaja memberi sumbangan terus tetapi turut menganjurkan karnival besar melibatkan golongan asnaf dan wanita,” katanya ketika ditemui di Bandar Sri Sendayan di Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mia yang kini memiliki syarikat pengurusan acara berkata, kerja-kerja kebajikan merupakan salah satu cara beliau berkongsi rezeki dan terapi terbaik untuk menjadikan hatinya tenang.
“Bagaimanapun, dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, sebanyak 70 program di bawah Ikon Malaysia untuk golongan asnaf dan usahawan wanita terpaksa ditangguhkan atas faktor mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Oleh itu, kami banyak turun padang memberi sumbangan bakul makanan berisi bahan mentah termasuk ayam, sayur dan makanan lain untuk golongan terjejas dan rumah kebajikan sepanjang tempoh pandemik Covid-19,” katanya yang berasal dari Port Dickson, Negeri Sembilan.
Berkongsi pengalamannya, Mia berkata, banyak kisah kehidupan keluarga yang terjejas disebabkan tekanan ketika PKP meruntun hatinya. Ini termasuk kes seorang ibu tunggal yang bekerja dalam sektor perhotelan hampir dihalau oleh tuan rumah kerana tidak mampu membayar sewa.
“Jadi, saya dan pihak Ikon Malaysia meringankan beban dengan mencari sumbangan segera membantu keluarga ini memandangkan ibu tunggal itu tiada sumber pendapatan lain dan tidak boleh bekerja sepanjang PKP.
“Sebenarnya dalam keadaan sekarang ramai yang tertekan bukan sahaja sebab tidak makan tetapi mereka hilang arah. Ini apabila menerima panggilan bertalu-talu daripada pihak bank yang menagih hutang, selain tidak mampu bayar sewa rumah,” katanya lagi.
Mia berpendapat, tidak hairanlah ada segelintir masyarakat yang tidak mempunyai pegangan agama yang kuat mengambil jalan singkat dan ‘terakhir’ dengan membunuh diri.
“Walau apa jua dugaan dan masalah yang datang, fikir dahulu dan suarakan masalah yang dihadapi supaya jalan penyelesaian terbaik dapat diambil,” katanya.
Bebanan hutang yang tinggi selepas hilang pekerjaan dan masalah keluarga menjadi punca utama seseorang nekad meragut nyawanya sendiri ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia, sebanyak 266 kes bunuh diri dilaporkan sejak 18 Mac hingga 30 Oktober 2020 ketika PKP mula dikuatkuasakan di seluruh negara bagi mengekang penularan Covid-19. Saban hari ada sahaja kes bunuh diri dilaporkan.
Dalam pada itu, mengenai kehidupannya kini, Mia memberitahu, permata hatinya, Laura adalah sumber kekuatannya dan dia gembira dapat membesarkannya dengan pendidikan dan kehidupan yang baik.
“Laura adalah pengubat hati yang sentiasa membuatkan saya tersenyum, perlakuannya lebih matang berbanding kanak-kanak lain mungkin dia faham situasi kami.
“Biasanya, saya akan bawa Laura sekali memberi sumbangan kepada rumah kebajikan dan asnaf supaya dia dapat pengalaman serta mempunyai sifat prihatin sejak dari kecil,” katanya yang memberitahu kehidupannya sekarang jauh lebih baik dan dikurniakan rezeki untuk membantu orang lain.

Menyedari ramai ibu tunggal yang memerlukan sokongan, Mia berkata, beliau sentiasa bersedia berkongsi pengalaman dan membantu mereka yang ingin melibatkan diri dalam perniagaan.
Tambah Mia, Ikon Malaysia turut menyediakan platform untuk ibu tunggal menjadi usahawan sebagai alternatif bantuan jangka panjang bagi menambah pendapatan keluarga.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan menerusi Ikon Malaysia boleh berbuat demikian melalui akaun bank CIMB (Pertubuhan Ikon Malaysia) nombor 8010194790 atau hubungi 019-6105801.
Keganasan rumah tangga fasa pandemik Covid-19
Pandemik Covid-19 di samping pelaksanaan PKP bermula Mac 2020 hingga kini menyaksikan kes keganasan rumah tangga meningkat saban hari.
Berdasarkan statistik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pusat Panggilan Talian Kasih, sebanyak 529 kes keganasan rumah tangga direkodkan sehingga 20 Jun 2021.
Presiden Pertubuhan Ikon Malaysia, Mia Nurhamizah Abdul Ghapar berkata, wanita antara golongan terdedah akibat kesan pandemik Covid-19 apabila mereka berhadapan penderaan fizikal dan emosi yang berpunca oleh konflik rumah tangga.
“Wanita perlu kuat dalam menempuh liku-liku kehidupan dan perlu bijak menangani setiap masalah secara positif.
“Jika perlu mengambil jalan untuk berpisah, bangkitlah kerana setiap kegagalan lepas bukanlah penamat tetapi adalah fasa permulaan kehidupan baharu untuk majukan diri,” katanya.
Kes keganasan rumah tangga yang menimpa seorang wanita hamil, Jahidah Nordin, 43, sehingga koma dipukul suaminya awal Mei lalu di Johor turut menarik perhatian Mia dan katanya kejadian itu perlu dijadikan iktibar oleh masyarakat.
“Sekiranya ada masalah rumah tangga jangan takut untuk suarakan kepada keluarga atau rakan supaya tidak berlaku perkara buruk yang memakan diri.
“Jangan sehingga sudah lunyai dipukul suami baru kita isteri atau wanita baru hendak bertindak kerana tiada gunanya kerana nasi sudah menjadi bubur,” tegasnya.
Jelas Mia, isteri adalah kaum hawa yang lembut dan sepatutnya suami menjadi pelindung bukan melakukan kekejaman walaupun tertekan dengan situasi dihadapi ketika PKP atau sebelumnya.
“Seperti diketahui umum, ramai yang telah kehilangan punca rezeki ketika pandemik tercetus hingga menyebabkan masalah kewangan dan beban ekonomi lebih berat ke atas isi rumah.
“Walau apa pun yang berlaku, melangkah ke hadapan dan jangan pernah putus asa, sentiasa yakin ada kebahagiaan dan kejayaan yang menanti, paling penting kena percaya dengan rezeki Allah serta setiap aturan ketentuan-Nya,” katanya lagi.










