Ketokohan al-Imam Ibnu Tumart - Utusan Malaysia

Ketokohan al-Imam Ibnu Tumart

Manuskrip kitab 'al-Murshidah' yang tersimpan di Perpustakaan Peribadi Raja Maghribi di Rabat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedih apabila mutakhir, ada yang terpesong dengan perspektif negatif terhadap beberapa tokoh Islam hebat. Hanya kerana mendengar desas-desus yang tidak pasti kebenarannya, mereka sanggup mentohmah ulama sebagai sesat dan terpesong.

Bahkan ada yang tergamak mengkafirkan tokoh agung yang akan kita bincangkan kali ini. Tokoh yang ingin diperkenalkan adalah al-Imam Abu Abdillah Muhammad bin Abdillah bin Abd al-Rahman al-Maghribi al-Susi juga masyhur dengan gelaran al-Mahdi bin Tumart.

Beliau lahir antara tahun 469H ke 474H, mengikut umur yang diperkirakan iaitu antara 50-55 tahun lamanya beliau hidup.

Pada waktu kecil, beliau menuntut ilmu di madrasah-madrasah kecil untuk menghafal dan membaca al-Quran. Madrasah ini terkenal dengan nama kuttab. Pada akhir kurun ke 5 hijrah, beliau merantau ke Timur Tengah untuk menuntut ilmu. Ini kerana ketika itu Timur Tengah adalah pusat Islam kerana dekat dengan Mekah dan Madinah.

Salah satu tempat Ibn Tumart menuntut ilmu adalah kota Baghdad. Di sini dikatakan Ibn Tumart menemui Imam al-Ghazali, Abu Bakr al-Shashi, Abu Bakr al-Tartushi, Abu Abdillah al-Hadrami dan lain-lain ulama agung era itu.

Setelah selesai menuntut ilmu di sana, maka Ibn Tumart pun pulang ke Maghribi. Dalam perjalanannya ke Maghribi, beliau melihat kemungkaran-kemungkaran yang menyebabkannya tidak tenang dan melakukan amar maruf nahi munkar.

Inilah sifat seorang ulama yang tegas. Lebih-lebih lagi kemungkaran ini bukan perkara-perkara yang khilaf dalam kalangan ulama Islam seperti arak dan lain-lain.

Ibn Tumart menghembuskan nafasnya pada Rabu, 13 Ramadan tahun 524H/1129M. Kewafatannya dirahsiakan sehinggalah pada tahun 529H ketika muridnya Abd al-Mumin al-Kumi dibaiah menjadi sultan pertama Dinasti Muwahhidun.

Beberapa tarbiah oleh Ibn Tmart dan diikuti oleh murid-muridnya adalah:

1) Bersikap sederhana, rendah diri, tidak membazir. Selalu memakai pakaian yang tidak berlebihan dan harganya murah;

2) Mengajarkan adab serta bersikap tegas dengannya bagi rakyat yang memandang remeh akan akhlak yang mulia;

3) Menganjurkan pernikahan lintas kabilah agar tidak terjadi sikap rasisme atau taksub kepada kabilah sendiri;

4) Membina pondok atau madrasah untuk mendidik rakyat Barbar ilmu Islam.
Ibn Tumart juga mewajibkan semua pelajar menghafal kitab al-Murshidah supaya akidah mereka kukuh mengikuti manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ);

5) Ibn Tumart juga berusaha mendidik rakyatnya sentiasa membaca al-Quran bahkan menghafalnya. Maka beliau mempelopori tradisi membaca 2 hizb (1 juz) secara berjemaah setiap hari. Ia dibahagi kepada 1 hizb pagi setelah Subuh, dan 1 hizb setelah solat Maghrib.

Tradisi bacaan al-Quran ini dinamakan hizb ratib. Ia masih diamalkan hingga hari ini di Maghribi dan menjadi sebab utama ia melahirkan huffaz terbanyak dunia.

Masjid Koutubia di Marakesh.

Dari segi keilmuan Ibn Tumart menghasilkan banyak karya ilmiah yang diiktiraf oleh ulama selepasnya. Antaranyaa al-Aqidah al-Murshidah, Risalah fi Tawhid al-Bari, Risalah fi anna al-Tawhid Huwa Asas al-Din, Kitab fi al-Tawhid bi al-Lisan al-Barbari, Kitab al-Qawaid, Risalah fi al-Ibadah; Aazzu Ma Yutlab, Risalah fi al-Dalil ala anna al-Shariah la Tathbutu bi al-Aql, Kitab Tahrim al-Khamr, Risalah fi Usul al-Fiqh, Muhadhi al-Muwatta, Mukhtasar Sahih Muslim, Risalah fi Bayan Tawaif al-Mubtilin min al-Mulathimin wa al-Mujassimin dan banyak kitab penting lagi.

Bahkan ramai ulama yang memuji Ibn Tumart. Misalnya al-Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) menyifatkan beliau dengan “seorang lelaki yang soleh, ahli zuhud, warak serta faqih”. Imam al-Subki juga menjelaskan beliau: “Seorang yang tegas dalam amar maruf nahi munkar, kuat beribadah, serta berjiwa berani”. (Tabaqat: 6/109).

Imam al-Sanusi (w. 895H) sendiri memberi persaksian kitab akidah yang beliau karang iaitu al-Murshidah adalah akidah ASWJ sebagai berikut: “Para imam telah sepakat kesahihan akidah ini (Akidah Murshidah) tidak selainnya, dan sesungguhnya ia adalah murshidah yang rashidah, al-Mahdi tidak meninggalkan yang lebih baik daripadanya sebagai wasilah untuk kebenaran. Semoga Allah memanfaatkan padanya, dan kepada kita; dengan berpegangan dengan akidahnya yang cantik”. (Manuskrip Sharh al-Murshidah oleh al-Sanusi: 3)

Banyak tohmahan oleh musuh-musuh ASWJ untuk memburuk-burukkan Ibn Tumart. Kebanyakannya telah penulis jawab dalam beberapa penulisan. Salah satu isu kononnya Ibn Tumart mengaku sebagai Imam al-Mahdi.

Perkara ini dusta kerana Ibn Tumart pernah berkata: “Kalianlah yang Allah akan membuka untuk negara Parsi, Rom dan membunuh dajjal, dan dari kalianlah ada seorang pemimpin, yang akan menjadi imam kepada Isa bin Maryam, dan perkara itu akan tetap sampailah hari kiamat!”. (al-Mu’jib: 112-113)

Jika benar Ibn Tumart mendakwa beliau adalah Imam Mahdi, mengapa ia tidak mendakwa bahawa dialah yang akan menjadi imam solat bagi Nabi Isa a.s?

Tohmahan lain yang belum dijawab adalah konon Ibn Tumart mengkafirkan dan membunuh sesiapa sahaja yang menetapkan sifat-sifat khabariyyah Allah SWT dari ayat-ayat mutashabihat.

Ini juga dusta kerana Ibn Tumart menjelaskan: “Apa yang datang dari nas mutashabihat yang membawa persamaan Allah dengan makhluk seperti ayat istiwa’ dan hadis nuzul wajib beriman dengannya seperti yang sampai serta menafikan persamaan (tashbih) dan takyiif”. (A’azzu Ma Yutlab: 217)

Semoga kita dijauhkan daripada kelompok yang mudah memfitnah atau mengkafirkan ulama. Sesungguhnya ‘daging ulama beracun’!

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama UIAM dan Felo Kehormat IKIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×