Setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha, akan meriah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam di Malaysia mempromosi ibadat korban di luar negara. Salah satu destinasi negara yang popular adalah Kemboja.
Dari segi sejarah, Kemboja ada kaitan rapat dengan rumpun Melayu di nusantara. Keperitan hidup umat Islam di Kemboja menjadi satu tarikan untuk umat Islam di Malaysia menunaikan korban di sana.
Selalunya, ibadah ini ditambah nilai dengan mempromosi juga amal yang menarik seperti membina masjid, membantu pelajar madrasah dan wakaf telaga tiub.
Dengan berpandukan hadis tentang ganjaran pahala untuk mereka yang membina perigi tiub seperti ‘sungai yang dialirkan untuk kepentingan orang ramai’, maka tidak hairanlah ramai yang memilih membina perigi tiub untuk diwakafkan. Baik untuk diri mereka atau ahli waris yang telah meninggal dunia.
Kemboja mempunyai catatan sejarah kuno dan moden yang menarik. Pernah diperintah dengan kejam oleh Khmer Rouge antara tahun 1975-1979 yang menyebabkan kematian antara 1.5 – 2 juta orang, diikuti dengan kerajaan campuran yang dipengaruhi oleh Vietnam dan sentiasa bergolak dengan peperangan gerila.
Akhirnya kembali disatukan dibawah pemerintahan beraja pada 1993. Pada masa ini, Kemboja dikategori sebagai salah sebuah negara termiskin dunia dengan pendapatan perkapita hanya AS$260 (RM1,079).
Kebanyakan penduduk bergantung kepada perusahaan pertanian kecil-kecilan. Penduduk Kemboja kini mencecah 17 juta orang dengan lebih 4 juta (24%) menetap di bandar. Di Phnom Penh sahaja, penduduknya adalah 1.5 juta orang.
Penduduk di bandar atau berhampiran bandar tidak menghadapi masalah untuk dapatkan bekalan air bersih. Dianggarkan 3.4 juta orang yang menetap di pendalaman tiada akses kepada bekalan air.
Dalam erti kata lain, dua daripada 10 penduduk Kemboja tidak mendapat bekalan air bersih. Jika kita berkunjung ke kawasan ini, kita akan mendapati sekeliling rumah mereka dipenuhi dengan tempayan besar yang digunakan untuk menampung air hujan sebagai air minuman.

Punca bekalan air ini tidak berpanjangan kerana negara ini juga mempunyai musim kering antara Oktober dengan April. Ini bermakna, mereka perlu mendapatkan sumber air lain dan sumber yang paling mudah adalah dari air bawah tanah.
Namun, penggerudian telaga tiub ini juga memerlukan kos antara AS$300 (RM1,245) hingga AS$500 (RM2,075), bergantung kepada kedalamannya. Di sinilah, NGO dan agensi lain serata dunia menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.
NGO dari Malaysia tidak ketinggalan membantu saudara seIslam yang banyak menetap di Kampong Cham dan Kampung Chnang bagi tujuan yang sama. Akan tetapi, sebilangan besar penderma dan juga NGO ini tidak mengetahui terdapat masalah lain di sebalik sumber air dari telaga tiub ini.
AIR BAWAH TANAH
Secara umumnya, air bawah tanah adalah sumber air terpenting di Kemboja, membekalkan lebih 95% air untuk kegunaan harian dan pertanian. Air bawah tanah diperolehi dengan dua kaedah iaitu penggalian perigi besar dan cetek sedalam 3-5 meter dan penggerudian telaga tiub. Biasanya sedalam 30 meter dan boleh mencecah sehingga beberapa ratus meter.
Ini bergantung kepada strata geologi kawasan tersebut. Masalah dengan perigi cetek adalah kualiti air yang tidak berapa baik dan mudah dicemari dengan mikrob. Air dari telaga tiub dari kacamata umum dilihat sangat jernih, maka tidak hairanlah kenapa perigi tiub menjadi pilihan.
Walau bagaimanapun, jenis bahan kimia bahan terlarut di dalam air bawah tanah ini tidak semestinya baik. Arsenik satu contoh, adalah sebatian toksik yang biasa terdapat di dalam air bawah tanah.
Sebatian ini mudah larut, tidak berwarna, tidak berbau dan tidak mempunyai rasa. Sifat toksik sebatian yang sebeginilah yang menyukarkan pihak berkuasa untuk menghalang orang ramai dari menggunakannya air tersebut pada zahirnya sangat jernih.
Tahap kepekatan arsenik yang dibenarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk air minuman adalah 10 ppb (bahagian per billion). Arsenik akan membawa kesan kronik.
Dari segi kesihatan, pengambilan arsenik yang berlebihan dari apa yang dibenarkan oleh WHO boleh mengakibatkan keracunan arsenik atau arsenikosis. Kesan arsenikosis boleh didiagnos bermula tompok tompok kehitaman di kulit terutamanya lengan dan kaki.
Jika air minuman yang tercemar dengan arsenik di ambil berterusan, dalam jangka masa panjang biasanya 5 hingga 10 tahun boleh, akan berlaku apa yang dipanggil melanosis, keratosis dan berakhir dengan kanser kulit terutama bahagian kaki.

Kes pertama arsenikosis di Kemboja didiagnosis pada 2006. Jika seseorang minum air tercemar dengan arsenik melebihi takat yang dibenarkan kesannya dapat dilihat mungkin selepas 10 tahun dalam bentuk kanser.
Wilayah Kandall (wilayah berhampiran dengan Phnom Penh) adalah wilayah yang mempunyai kandungan arsenik yang tinggi dalam air bawah tanahnya, menjangkau sehingga 1600 ppb.
Pada masa ini, dianggarkan terdapat 200 juta orang di dunia yang bergantung kepada sumber air bawah tanah yang dicemari dengan arsenik. Dari manakah datangnya arsenik ini?
Kebanyakan masalah arsenik dalam air bawah tanah berpunca daripada mobilisasi sebatian unsur tersebut dalam keadaan semulajadi.
Akibatnya, air bawah tanah berada dalam persekitaran kawasan geologi yang mengandungi arsenik akan tercemar seperti yang berlaku di Bangladesh, India, Nepal, Pakistan dan beberapa negara di Indo-Cina.
Kehadiran arsenik secara semulajadi dalam air bawah tanah yang menjadi sumber minuman sebahagian penduduk di Kemboja mula diketahui apabila Kementerian Industri, Perlombongan dan Tenaga (MIME) bersama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (MRD) melakukan kajian bersama pada 1999.
Ujian saringan bagi kenal pasti bahan kimia berbahaya dilakukan ke atas hampir 100 sumber minuman dari kawasan bandar dan luar bandar di 13 wilayah. Hasilnya, hampir 11% dari sumber air bawah tanah dari lima wilayah didapati mengandungi arsenik melebihi tahap dibenarkan oleh WHO.
Walau bagaimanapun, hanya pada 2001, dokumentasi pertama isu kehadiran arsenik dalam air bawah tanah dibuat hasil kajian WHO dan Kerajaan Kemboja. Berikutan itu, satu jawatankuasa yang di panggil Arsenic Inter-Ministerial Sub-committee ditubuhkan pada tahun yang sama untuk menyelaraskan gerak langkah menangani masalah arsenik ini.
Bermula dari situ, organisasi luar seperti UNICEF, Resource Development international (RDI) serta institusi pengaian tinggi dalam dan luar negara mula melakukan kajian pencemaran arsenik di Kemboja.
Kajian oleh D. Federicks bagi pihak Kementerian Pembangunan Luar Bandar Kemboja pada 2004 telah menghasilkan peta hazad air bawah tanah yang tercemar dengan arsenik yang pertama.
Kajian ini juga menunjukkan enam daerah dikenal pasti mempunyai kandungan pencemaran arsenik dalam air bawah tanah yang tinggi iaitu Kampong Cham, Kampong Chnang, Kampong Thom, Kandal, Kratie dan Prey Veng.
Bancian peringkat kebangsaan di Kemboja yang dibuat pada 2008 mendapati antara 75,000 dan 150,000 penduduk menggunakan air yang tercemar ini sebagai air minuman terutama ketika musim kering kerana ketiadaan sumber air bersih yang lain.

Statistik pada 2016 mendapati bilangan perigi tiub di Kemboja dianggarkan sebanyak 270,000. Setiap tahun, terdapat pertambahan perigi tiub sebanyak 3,000 unit yang mana sebanyak 2,500 unit adalah dari pembiayaan geran kerajaan dan negara luar seperti China. Selebihnya pembiayaan persendirian dan bantuan NGO dalam dan luar Kemboja.
Berbalik kepada perbincangan asal artikel ini tentang aktiviti infak yang dikendalikan oleh kebanyakan NGO Islam di Malaysia, adalah menjadi kewajipan untuk mereka mengetahui kawasan di mana mereka hendak membina perigi tiub ini.
- Dr. Abdull Rahim Mohd. Yusoff ialah Felo Akademi Sains Malaysia.










