Bila musim durian ini pasti banyak isinya yang tak habis dimakan. Kalau ada stok isi durian yang banyak itu apa kata cuba buat lempuk durian. Bagi yang tidak pernah makan lempuk durian, rupa makanan ini seakan-akan dodol. Walau rupa seakan sama tetapi rasanya berbeza.
Bagi yang teringin hendak membuat lempuk durian, bolehlah cuba resipi yang dikongsikan oleh Juliawati Mohamad Rosdi ini. Wanita ini belajar membuat lempuk durian daripada ibunya, Marodziah. Resipi lempuk durian versi orang lama ini sedap dimakan bersama bubur kacang, dimakan bersama roti atau makan begitu sahaja seperti dodol.
Disebabkan isi durian yang terlalu banyak, Juliawati telah menggunakan kawah semasa memasak lempuk durian ini. Sebab itu jugalah lempuk durian buatannya berwarna agak gelap. Katanya jika memasak menggunakan kuali, lempuk durian ini akan berwarna kuning.
Lempuk durian ini juga boleh disejuk beku. Biasanya Juliawati akan menyimpan lempuk durian ini di dalam freezer untuk tahan lebih lama. Kemudian apabila teringin hendak makan lempuk durian ini, keluarkan dari freezer dan biarkan ia pada suhu bilik sehingga lembut sebelum dimakan. Selamat mencuba!
Lempuk Durian
Bahan-bahan:
1 mangkuk besar isi durian
2 hingga 3 genggam gula pasir – tak cukup manis boleh tambah
1 cawan santan – (ini adalah pilihan. Hendak letak atau tidak ikut pilihan anda)
Cara membuatnya:
1. Asingkan isi durian dengan biji.
2. Masukkan isi durian ke dalam kuali. Kacau dahulu lebih kurang 30 minit.
3. Kemudian masukkan gula dan santan. Kacau hingga kental seperti dodol. Berapa lama kacau bergantung pekat lempuk durian yang dimasak. Ia boleh mencecah tiga hingga empat jam.
4. Lempuk durian yang kelihatan berkilat, maknanya ia sudah siap dimasak.
5. Ia boleh diletak dalam bekas yang sesuai. Pada zaman dahulu ada yang membungkus lempuk durian dalam upih pinang.
Terima kasih Juliawati Mohamad Rosdi.
Facebook : Julia Aleen Aireish / https://www.facebook.com/aleen.aireish










