AR-RAUDHAH
Pada kebiasaannya rumah adalah tempat kondusif untuk melepaskan kelelahan setelah bekerja seharian atau ia sebuah tempat privasi bersama keluarga. Tidak terfikir untuk menjadikan rumah sebagai masjid oleh kerana perbezaan fungsi keduanya.
Rumah untuk melepaskan lelah, rehat bersama keluarga sementara masjid tempat ibadah. Akan tetapi, Islam telah mengajarkan adakalanya rumah bertukar menjadi masjid bukan pada keseluruhan fungsinya namun pada sebahagiannya.
Di dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan tentang bani Israil ketika mereka merasa takut dibunuh oleh Firaun jika didapati solat di tempat peribadatan mereka. Maka Allah SWT perintahkan mereka solat di rumah masing-masing dengan menjadikan rumah mereka sebagai rumah ibadah.
Allah SWT berfirman: Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat sembahyang, serta dirikanlah sembahyang di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”. (Yunus: 87)
Imam Bukhari meletakkan dalam kitab Shahihnya ‘Bab Masjid dalam Rumah’. ‘Itban bin Malik seorang sahabat Rasulullah SAW yang pernah ikut perang Badar dari kalangan Ansar pernah menemui Nabi SAW berkata: “Wahai Rasulullah, pandanganku sudah buruk sedang aku sering memimpin solat kaumku. Apabila hujan, maka air menggenangi lembah yang ada antara aku dan mereka sehingga aku tidak dapat pergi ke masjid untuk memimpin salat. Aku menginginkan tuan dapat mengunjungi aku lalu solat di rumahku yang akan aku jadikan sebagai tempat solat.”
Kemudian Rasulullah SAW bersabda kepadanya: “Aku akan lakukan insya-Allah.” ‘Itban berkata: “Maka berangkatlah Rasulullah SAW dan Abu Bakar ketika siang hari, beliau lalu meminta izin lalu aku mengizinkannya, dan beliau tidak duduk hingga beliau masuk ke dalam rumah.
Kemudian beliau bersabda: “Di mana tempat di rumahmu yang kau sukai untuk aku solat.” Maka aku tunjukkan tempat di sisi rumah. Nabi SAW lalu berdiri dan takbir. Sementara kami berdiri membuat saf di belakang beliau, beliau solat dua rakaat kemudian salam.”
‘Itban berkata, “Lalu kami hidangkan makanan dari daging yang kami masak untuk beliau. Maka berkumpullah jiran di sekeliling rumahku dalam jumlah yang ramai. Salah seorang dari mereka lalu berkata, “Mana Malik bin Ad-Dukhaisyin atau Ibnu Ad Dukhsyun?”
Ada seorang yang menjawab: “Dia munafik, dia tidak mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Janganlah kamu ucapkan seperti itu. Bukankan kamu tahu dia telah mengucapkan La ilaha illallah dengan mengharap reda Allah?” Orang itu menjawab, “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”
‘Itban berkata, “Kami lihat pandangan dan nasihat beliau itu untuk kaum Munafikin. Bersabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan neraka bagi orang yang mengucapkan La iIaha illallah dengan mengharap reda Allah.
Dari keterangan al-Quran dan hadis di atas ada beberapa pengajaran yang perlu ambil:
Pertama, dalam situasi darurat, di mana seseorang tidak dapat datang ke masjid maka sebagai alternatif rumah bertukar menjadi masjid. Baik situasi darurat itu sakit atau lainnya, seperti situasi tidak aman seperti peperangan atau adanya wabak yang merebak.
Dalam situasi negara sedang berhadapan pandemik Covid-19 ini, di mana masjid masih tidak dapat beroperasi secara normal dan keadaan ini nampaknya akan berpanjangan. Maka rumah akan menjadi alternatif menjadi masjid terutamanya melakukan solat berjemaah.
Kedua, mengharapkan keberkatan dari Allah melalui orang soleh adalah dibenarkan oleh syariat.
Itban bin Malik menjemput Rasulullah SAW ke rumahnya untuk melaksanakan solat dan bekas tempat solat Rasulullah SAW akan dijadikan sebagai tempat khusus untuk solat (surau) untuk mendapatkan keberkatan.
Ketiga, larangan menghukum orang lain dengan hanya melihat sahaja atau dengan ketidakpastian.
Ketika seorang sahabat menuduh Suraqah bin Dukhsyun seorang munafik hanya sekadar dilihat bersama dengan orang munafik, Rasulullah SAW terus menegur si penuduh agar tidak menghukum orang lain berdasarkan penglihatan yang tidak pasti dan memberitahu agar menilai orang dengan kepastian.
Keempat, larangan untuk menempatkan diri di tempat yang mencurigakan seperti tempat-tempat maksiat atau bersama dengan orang-orang yang dicurigai.
Sebabnya, perbuatan itu akan menyebabkan pertuduhan dari orang lain yang melihatnya. Said bin Musayyib berkata, barang siapa yang menempatkan dirinya di tempat yang mencurigakan maka jangan lah ia menyalahkan orang orang lain yang menuduhnya melainkan dirinya sendiri”.
Kelima, setiap orang islam yang mengucap La ilaha illallah dengan sungguh-sungguh mempunyai kehormatan pada agama islamnya dan tidak boleh dituduh keluar dari islam atau syirik hanya kerana perbuatan-perbuatan yang tidak jelas.
Imam Al Baqillani berkata: “Sesungguhnya memasukkan 1,000 orang kafir dalam Islam dengan adanya satu bukti lebih ringan berbandingkan mengeluarkan seorang Islam daripada Islam walaupun dengan 1,000 bukti yang meragukan”.










