Satu-satunya cara menangani talasemia ialah ujian darah sebelum berkahwin, sebab penyakit genetik ini boleh diwarisi menerusi perkahwinan.
Pakar Perunding Kanan Pediatrik dan Genetik Klinikal, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, Kelantan, Prof. Dr. Zilfalil Alwi, berkata kesedaran umum dalam kalangan masyarakat perlu kerana sehingga kini ujian berkenaan bukanlah paksaan sebaliknya dilakukan secara sukarela.
“Apabila awal tahu status kesihatan, mudah untuk individu membuat perancangan tentang masa depan, iaitu memilih pasangan hidup yang bukan pembawa talasemia,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Talasemia adalah salah satu penyakit genetik yang kerap berlaku di negara ini. Ia boleh diwarisi kepada keturunan seterusnya sekiranya seseorang pembawa gen talasemia berkahwin dengan pembawa gen talasemia yang lain.
Penyakit ini boleh mengakibatkan gangguan penghasilan hemoglobin yang sempurna dan berkualiti.
Akibatnya, darah yang terhasil mengalami kekurangan oksigen dan tidak boleh berfungsi dengan baik.
Di negara ini, pesakit talasemia lebih kerap dijumpai dalam kalangan etnik Melayu, Cina, Kadazan-Dusun dan pribumi Sabah.
Menurut Registri Talasemia Malaysia, sehingga 31 Disember 2018, seramai 8,042 pesakit talasemia telah didaftarkan.
Daripada jumlah ini, 5,420 pesakit memerlukan rawatan sepanjang hayat, termasuk menerusi pemindahan darah dan pengambilan ubat khas yang tinggi kosnya.
Manakala untuk statistik pembawa talasemia, dianggarkan satu daripada 20 rakyat ini adalah pembawa gen talasemia.
Presiden Persatuan Genetik Manusia Malaysia itu, turut menyarankan agar ujian saringan talasemia di masukkan dalam senarai ujian-ujian darah bagi yang pasangan yang ingin berkahwin sama seperti ujian HIV yang ada sekarang.
Malah modul berkenaan talasemia turut boleh di masukkan ke dalam kursus perkahwinan.
Sejak 2016 Kementerian Kesihatan mewujudkan program saringan talasemia di sekolah seluruh negara, namun masih ada ibu bapa pelajar yang tidak memberikan sokongan.
“Ibu bapa pelajar perlu bagi kebenaran untuk anak menjalani saringan, dan bila anak didapati positif pembawa, ibu bapa dan ahli keluarga lain turut perlu di saring juga. Malangnya ada ibu bapa tak datang untuk saringan itu,” katanya.
Ujian saringan talasemia boleh dilakukan di klinik kesihatan dan hospital awam.










