STOCKHOLM: Dengan lebih daripada 500,000 produk terjual di 66 buah negara sejak tahun 2017, Gaston Luga memahami betapa pentingnya memikul tanggungjawab terhadap alam sekitar dalam semua aspek yang dilakukannya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif syarikat, Jonas Wistrand ketika dihubungi, berkata menjadi jenama yang berorientasikan produk tidak semestinya 100 peratus mampan, namun itu bukan bermaksud mereka tidak dapat melakukan yang terbaik.
Sebahagian daripada usaha kelestarian adalah peralihan ke arah menggunakan hanya bahan lestari dan mampan pada semua produk mereka menjelang tahun 2023.
“Kami terus mencari dan membangunkan bahan yang berfungsi serta tahan lama untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar. Selagi Gaston Luga masih ada, pelaksanaan jenama kami dalaman dan luaran akan terus ditambah baik.
“Adalah menjadi harapan kami agar dengan kesedaran dan berhati-hati dengan kesan yang kami tinggalkan dapat membantu mengurangkan impak perjalanan kehidupan seseorang terhadap alam sekitar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pertama sekali daripada rangkaian produk-produk baharu yang akan datang, adalah pelancaran Frukt Plånkan yang merupakan dompet minimalis diperbuat daripada apple leather.
Sepanjang tahun 2021 dan 2022 semua produk Gaston Luga yang sedia ada akan dilancarkan semula dengan menggunakan bahan kitar semula atau terbiodegradasi, manakala pelancaran produk-produk baharu akan mengikuti standard yang sama.
Gaston Luga telah mengambil langkah-langkah kelestarian berikut yang dijadikan panduan untuk sebarang keputusan pada masa hadapan:
1. Tiada Bahan Berasaskan Haiwan: Tidak ada kulit, pelekat, pewarna dan apapun yang berasaskan haiwan digunakan dalam pembuatan beg galas kami.
2. Kulit Berasaskan Tumbuhan: Pilihan produk pada tahun 2021 akan menggunakan kulit epal vegan, biomaterial yang diperbuat daripada sisa kulit epal yang terbuang.
3. Pembungkusan Impak Rendah: Kami menghantar produk kami di dalam kemasan kotak yang dihasilkan daripada kertas yang diperakui oleh FSC, yang dicetak dengan dakwat soya menjadikannya mesra alam dan boleh dikitar semula.
4. Plastik Terbiodegradasi: Sebilangan beg galas kami dihantar dengan filem pelindung yang 100 peratus terbiodegradasi, dan boleh dikompos dalam masa tiga hingga enam bulan dalam keadaan kompos yang ideal.
Sebagai informasi, untuk pelancaran produk pertama yang diperbuat daripada kulit epal, Gaston Luga telah menyumbangkan 5 peratus keuntungannya kepada WWF (World Wide Fund for Nature).










