Bahaya bicara oleh media - Utusan Malaysia

Bahaya bicara oleh media

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hujung minggu lalu, seorang wartawan bertanya, apakah salah bagi seorang tertuduh membuat sidang akhbar di hadapan bangunan mahkamah sebaik sahaja dia keluar dari mahkamah?

Dalam kes yang dirujuk oleh wartawan tersebut, individu yang membuat sidang akhbar itu baru sahaja mengaku tidak bersalah kepada dua pertuduhan pecah amanah lebih RM1.1 juta. Individu itu kini dibebaskan dengan ikat jamin RM500,000 bagi kesalahan pertama dan ikat jamin RM300,000 bagi kesalahan kedua. Tarikh perbicaraan belum lagi ditetapkan.

Sebelum saya jawab soalan wartawan itu, saya katakan kini sudah menjadi trending apabila ada sahaja selebriti (sama ada artis atau orang politik) berdepan dengan kes jenayah, sebaik sahaja keluar dari dewan mahkamah, mereka akan bercakap kepada media. Lazimnya mereka akan mengatakan antara lain, mereka tidak bersalah, pendakwaan ke atas mereka tidak berasas, bermotif politik, menjadi mangsa perbuatan orang lain dan sebagainya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Jawab saya kepada wartawan itu, “kenapa mereka suka berbuat begitu? Kerana media sendiri yang menggalakkan mereka berbuat begitu.”

Wartawan itu mulanya terkejut mendengar jawaban saya. Apabila kemudian saya ketawa, baru dia sedar bahawa saya hanya bergurau, bukan menempelaknya.

Menjawab soalan wartawan itu secara serius, ada dua perkara yang perlu kita ingat. Pertama, apakah niat individu itu sebenarnya? Dan kedua, apakah mahkamah ada keluarkan gag order melarang individu itu bercakap dengan media mengenai kes tersebut?

Suatu perbuatan itu (actus reus) tidak akan menjadi kesalahan melainkan ada niat yang salah (mens rea). Andainya ketika bercakap dengan media, individu itu hanyalah mendedahkan butiran pertuduhan yang dia hadapi, ia tidak menjadi satu kesalahan. Tetapi sekiranya dia berniat mendahului mahkamah, atau berniat memberi tekanan kepada mahkamah, atau dia melemparkan tuduhan terhadap pihak tertentu dengan tujuan mempengaruhi perjalanan kes itu, tindakan undang-undang mungkin boleh diambil ke atasnya kerana menghina mahkamah.

Dengan lain perkataan, sekiranya dalam sidang akhbar individu terbabit sekadar menjawab soalan wartawan mengenai apa yang berlaku dalam dewan mahkamah sebentar tadi, itu bukan satu kesalahan. Sebaliknya, jika niatnya adalah supaya dia diadili terus oleh rakyat di dada media (mungkin kerana dia yakin rakyat akan mendapatinya tidak bersalah), maka perbuatannya itu salah kerana menghina mahkamah.

Masalahnya, bagaimana kita boleh tahu niat seseorang itu?

Prejudis kepada perbicaraan adil

Saya perhatikan, terdapat perbezaan antara trending bicara oleh media di negara kita pada masa ini dengan motif bicara oleh media di negara lain – di mana amalan ini dilihat memudaratkan (memprejudis) perbicaraan adil, akhirnya menyebabkan ketidakadilan kepada tertuduh. Di Malaysia, nampaknya kesan yang diharapkan adalah sebaliknya, iaitu memanfaatkan tertuduh dan memudaratkan pendakwaan.

Misalnya dalam kes melibatkan Amanda Knox (warga Amerika), publisiti prabicara oleh media Itali menyebabkan dia disabitkan kesalahan membunuh seorang wanita lain (rakan sebilik) pada 2007, lalu dikenakan hukuman penjara 26 tahun. Setelah meringkuk beberapa tahun dalam penjara, pada 2015 barulah sabitannya diketepikan oleh Mahkamah Agung Itali. Pada 24 Januari 2019, Mahkamah Hak Asasi Eropah (ECHR) memerintahkan kerajaan Itali membayar pampasan 18,400 Euro kerana gagal memberikan Amanda khidmat guaman dan penterjemahan sewaktu prosiding di mahkamah. Bicara oleh media telah mendatangkan kesan buruk kepada tertuduh.

Gag order untuk menghalang bicara oleh media

Satu cara menghalang bicara oleh media berlaku adalah dengan hakim bicara mengeluarkan gag order sejak awal lagi, iaitu menghalang media melaporkan kes itu kecuali mengenai perkara-perkara tertentu yang dibenarkan mahkamah. Dalam satu kes yang berlaku pada 1980 di Australia, Lindy Chamberlain serta suaminya dan anak kecil mereka, Azaria pergi berkhemah di satu kawasan pedalaman di Northern Territory.

Seekor anjing liar (dingo) memasuki khemah mereka dan melarikan Azaria. Chamberlain kemudian dituduh, dibicarakan dan disabitkan kesalahan membunuh Azaria kerana mahkamah tidak mempercayai pembelaannya. Akhirnya, selepas tiga tahun berlalu, dia dibebaskan dari penjara setelah keterangan baharu yang ditemui membuktikan dia tidak bersalah. Kes ini merupakan salah satu kes miscarriage of justice yang terbesar di negara itu.

Publisiti luar biasa oleh media dalam kes ini jelas telah memudaratkan prosiding mahkamah dan menyebabkan ketidakadilan berlaku kepada Chamberlain. Kesan buruk ini boleh dielakkan sekiranya dari awal lagi mahkamah mengeluarkan gag order, menghalang media memberi publisiti yang tidak wajar kepada kes ini dan akibatnya mempengaruhi juri yang mendengar kes.

Hakim enggan keluarkan gag order

Kembali kepada kes individu yang disebutkan wartawan tadi, ironinya pihak yang memohon gag order dalam kes ini bukan peguam bela yang mewakili individu itu tetapi pasukan pendakwaan diketuai seorang Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Permohonan gag order itu telah ditentang oleh kedua-dua peguam bela individu tersebut. Kesudahannya, hakim bicara enggan mengeluarkan gag order tersebut.

Barang kali keengganan hakim bicara inilah yang memberi keberanian kepada individu itu membuat sidang akhbar. Khabarnya ada figura awam yang telah memberi gelaran cukup menarik kepada individu itu, tapi saya tidak minat mengulanginya di sini. Adalah lebih profesional bagi media melayan semua tertuduh sama rata sahaja, tak kira dia orang biasa atau orang kenamaan.

DATUK Salleh Buang pernah bertugas sebagai Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara dan Profesor Tamu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau kini konsultan bebas sepenuh masa, pengarang dan kolumnis akhbar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×