Ahli hadis wanita - Utusan Malaysia

Ahli hadis wanita

Jilid 1 daripada 52 jilid kitab 'al-Wafa’ bi Asma’ al-Nisa’ yang mengandungi beribu biografi ahli hadis perempuan sebagai bukti Islam menjunjung tinggi kaum Hawa seperti memberi hak pendidikan kepada mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Salah satu fitnah terbesar yang dituduh ke atas Islam adalah kononnya ia agama mundur dan jumud. Merendahkan perempuan sehingga tidak berhak mendapat pendidikan yang diperlukan kepada seluruh manusia.

Lebih sedih, apabila ada ajaran sesat ekstremis seperti Taliban di Afghanistan yang menindas kanak-kanak perempuan dan dewasa untuk menerima pendidikan seawal umur 8 tahun di Kabul dahulu.

Sudah lupakah kita bagaimana mereka dengan kejam menembak seorang aktivis perjuangan pendidikan untuk perempuan iaitu Malala Yousafzai dari Pakistan.

Perbuatan tidak perkemanusiaan ini jelas mencemarkan nama Islam, bahkan kami tegaskan ia bukan dari ajaran Islam.

Di dalam Islam, sangat jelas bahawa menuntut ilmu adalah wajib sama ada lelaki atau perempuan. Sabda baginda Muhammad SAW: Menuntut ilmu adalah fardu bagi setiap muslim. (Riwayat Ibn Majah dan lain-lain)

Walaupun tertulis ‘bagi setiap muslim’ akan tetapi ulama memahaminya kemutlakan kepada jentina lelaki menunjukkan juga kepada perempuan.

Penegasan menuntut ilmu adalah wajib sama ada lelaki atau perempuan dimaklumi dalam Islam. Buktinya, salah seorang ulama semasa yang tersohor, Dr. Muhammad Akram al-Nadwi telah menghasilkan sebuah karya magnum opus beliau berjudul al-Wafa’ bi Asma’ al-Nisa.

Ia sebuah ensiklopedia biografi tokoh-tokoh perempuan di dalam periwayatan hadis Nabi Muhammad SAW yang berjumlah hampir 10,000 orang di dalam 52 jilid. Semua 52 jilid ini dicetak pertama kali secara sempurna oleh Dar al-Minhaj di Jeddah pada tahun ini.

Dr. Akram al-Nadwi yang menetap di Oxford, England memulai pembahasan bukunya dengan hukum-hakam menuntut ilmu bagi perempuan.

Juga hukum-hakam yang berkaitan keadaan dalam menuntut ilmu seperti aurat perempuan, suara perempuan, keluarnya perempuan dari rumah untuk menuntut ilmu, adab-adab keluar rumah dan lain-lain.

Setelah itu beliau menegaskan hukum-hakam tersebut dengan beberapa sumber kenabian seperti ada perbahasan khusus tentang bagaimana Rasulullah SAW membantu untuk mengajar para wanita.

Beliau menegaskan, dalam penilaian sahih dan daifnya sebuah hadis tidak pernah ulama meletakkan syarat jantina untuk menentukan status hadis tersebut. Ini adalah kesepakatan bahawa lelaki atau perempuan sama-sama memiliki kewajipan dan kemuliaan dalam menuntut ilmu.

Perempuan juga dibenarkan belajar dan mengajar hadis Nabi Muhammad SAW di masjid ketika tiada halangan. Bukti jelas kepada kita adalah fakta sejarah bahawa Sayyidah Umm al-Darda’ (w. 81H), Sayyidah A’isyah binti Ibn Abd al-Hadi (w. 816H) dan selain keduanya pernah mengajar hadis-hadis Nabi Muhammad SAW di Masjid Umawi, Damsyik, Syria hari ini.

Ini menyakinkan lagi kebenaran sejarah Fatima al-Fihri (w. 265H) yang membina universiti pertama di dunia iaitu Universiti al-Qarawiyyin pada 245H. Bahkan banyak riwayat menceritakan kisah para pelajar perempuan yang menuntut ilmu di universiti juga masjid tersebut.

Kewajipan menuntut ilmu bagi perempuan juga menjadi salah satu tugas kerajaan untuk memastikan rakyat mereka yang perempuan mendapatkan pendidikan tersebut.

Dr. Akram al-Nadwi berkata: “Para ulama telah menasihati para pemimpin umat Islam akan betapa pentingnya pendidikan kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan”. (al-Wafa’: 1/155)

Beliau juga menceritakan betapa baginda Nabi Muhammad SAW menasihati para bapa untuk tidak membezakan antara anak lelaki atau perempuan (Majma’ al-Zawa’id: 8/156).

Salah satu perkara yang menarik dari kitab ensiklopedia ahli hadis perempuan ini, Dr. Akram al-Nadwi menyusunnya mengikut peringkat zaman. Bermula dari zaman Nabi Muhammad SAW dan para sahabat r.a. Setelah itu para tabi’en, zaman Abbasiah, Othmaniah dan selepasnya.

Dr. Akram al-Nadwi (tengah) bersama Syeikh Ziyad (Kuwait) dan Mohammad Radhi Mohammad Noh (Malaysia) dalam majlis hadis di London, suatu ketika dahulu.

Beliau juga mengklasifikasi perawi-perawi perempuan mengikut geografi seperti Hijaz, Mesir, Afrika Utara, Maghribi, Afrika Tengah seperti Mali dan lain-lain, Iraq, Asia Tengah, Transxonia dan India.

Ini menunjukkan tradisi ilmu dan pendidikan dalam kalangan perempuan dalam Islam wujud dalam setiap kurun sejak Rasulullah SAW sehinggalah hari ini.

Perempuan yang juga sebagai ahli hadis, kadang-kala mereka memiliki ilmu sehingga mencapai tahap mufti. Maka apakah boleh ketika perempuan mencapai tahap ini menjawat sebagai mufti? Iaitu seorang alimah yang mengeluarkan fatwa kepada si penanya?

Dr. Akram al-Nadwi juga menukilkan pendapat beberapa ulama dari pelbagai mazhab yang mengharuskannya seperti Imam al-Nawawi dari Syafie dan Ibn Muflih dari Hanbali (al-Wafa’: 1/706). Ini satu maklumat yang sangat penting, kerana pada hari ini kita jarang menemukan perempuan duduk berjawatan sebagai mufti rasmi di sesebuah negara.

Dr. Akram al-Nadwi, ulama keluaran Nadwah al-Ulama’ dari Luknow, India menutup jilid satu daripada ensiklopedia beliau dengan membahas aspek terpenting iaitu bagaimana ulama perempuan yang bukan hanya memiliki ilmu hadis yang bergudang akan tetapi mereka juga mengamalkan hadis.

Setidak-tidaknya, perempuan yang menjadi ahli hadis ini telah mengamalkan hadis sehingga terzahir pada mereka beberapa riwayat hidup mereka yang mementingkan aspek beribadah.

Mereka berzikir pada Allah, cinta Rasulullah SAW, bertakwa, sabar, berani, zuhud, pemurah, pemalu, tawaduk, berakhlak mulia, mengikuti sunnah, menjauhi bidaah, silaturahim, kehidupan berkeluarga, mentarbiah anak dengan baik, memberi nasihat yang baik dan memperbaiki keadaan umat.

Seperti contoh, Imam al-Zahabi meriwayatkan sebuah athar bahawa Sayyidah Ummu al-Darda’ pernah ditemui oleh beberapa tamu dan mereka duduk bersamanya serta berzikir kepada Allah. (Siyar al-A’lam: 4/278)

Diriwayatkan juga oleh Ibn Asakir bahawa Asma’ binti Yazid bin al-Sakan (w. +70H) seorang sahabat perempuan memiliki keberanian yang hebat sehingga mampu menumbangkan sembilan musuh Byzantium pada peperangan Yarmouk dengan senjata beliau. (al-Wafa’: 1/729)

Maka tidak diragukan lagi betapa pentingnya kitab agung ini sebagai bukti perjuangan wanita di dalam Islam yang tercatat dalam sejarah Islam.

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM dan Felo Kehormat IKIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN