Selesa, cantik dan sejuk antara kriteria telekung diingini wanita,
Sungguh setiap telekung memiliki fungsi yang sama, namun cita rasa setiap individu dalam memilih pakaian solat terbaik adalah berbeza.
Tambahan pula, telekung tidak terhad kepada penggunaan harian individu, tetapi turut dijadikan hadiah istimewa untuk ibu tercinta, pasangan, selain di jadikan sebagai hantaran perkahwinan.
Telekung Serina Inspire, antara telekung yang beridentitikan kerja tangan sulaman menggunakan fabrik jersi .
Pengasasnya, Serina Redzuawan, berkata telekung dengan perincian sulaman tangan menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai sejak diperkenalkan dua tahun lalu.
Menggunakan kaedah sulaman terus atas kain, menjadikan kerja tangan itu lebih rapi dan kemas.
“Selain pilihan warna menarik, penggunaan fabrik berkualiti turut menjadi keutamaan. Saya mahu pemakai sentiasa berasa selesa setiap kali mendirikan solat atau menjalani ibadah yang lain,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Tambah Serina, koleksi pakaian solat berkenaan mula diperkenal sejak 2019 bersama rakan niaga, Rozita Mat Reshad.
Perincian sulaman tidak terlalu sarat dan tebal namun motif bunga dan absrak ditampilkan menyerlah gaya mewah dan anggun dalam sepersalinan telekung.
Fabrik jersi menjadikan telekung dihasilkan sejuk dan lembut. Ia tersedia untuk wanita dan kanak-kanak.
“Saya amat menitik berat material yang pelbagai mengikut kesesuaian pengguna seperti gred kain kapas, kain denim dan kain jersi berkualiti.
“Kajian turut kami lakukan dalam mengenai pola asli telekung di Malaysia yang berdagu lebar selesa dan patuh syariah. Malah, rekaan telekung perlu menitik beratkan keselesaan pengguna berbadan besar dengan saiz kain lebar dan labuh agar mereka selesa untuk bertafakur di atas sejadah,” jelasnya.
Penjagaan telekung bersulam:
*Rendam telekung dengan air dan sabun pencuci yang lembut.
*Basuh dengan tangan tanpa menggunakan berus.
*Elakkan menjemur telekung bawah matahari terik.
*Jangan sesekali membasuh telekung dengan mesin basuh.
*Jangan rendam dengan baju lain bagi memastikan warnanya kekal cantik.










