Tawassul bukan perbuatan syirik - Utusan Malaysia

Tawassul bukan perbuatan syirik

Salah satu manuskrip selawat yang disertai dengan tawassul dengan Nabi Muhammad SAW yang tersimpan di Perpustakaan Diraja Maghribi Rabat, Maghribi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Akhir-akhir ini isu lampau kembali diperlagakan oleh netizen iaitu tentang hukum bertawassul dengan orang yang telah meninggal dunia sama ada para nabi ataupun wali. Apa yang berlaku, masih ada orang yang terikut-ikut mentohmah amalan bertawassul ini sebagai syirik.

Ketika ulama menyebutkan tawassul, maka ia bermaksud menjadikan sesuatu sebagai perantara untuk mencapai tujuan yang dituju. Misalnya, orang yang berharap doa dan harapannya dikabulkan Allah SWT, maka dia bertawassul dengan Rasulullah SAW iaitu menjadikan baginda sebagai wasilah atau perantara agar doa dan harapannya dimakbulkan oleh Allah SWT kerana baginda SAW adalah kekasih Allah SWT.

Dalam konteks perdebatan hari ini, kelompok yang menganggap tawassul sebagai syirik adalah kerana mereka menilai bahawa doa sepatutnya dipanjatkan langsung kepada Allah SWT, sedangkan menjadikan roh orang yang telah mati sebagai perantara termasuk Nabi Muhammad SAW adalah salah satu bentuk kesyirikan.

Ini kerana melanggar firman Allah SWT: Dan orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi pelindung: “Kami tidak menyembah melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya. (al-Zumar: 3)

Walhal Rektor Universiti al-Qarawiyyin; Tayyib bin Kiran al-Fasi (w. 1812M) menjelaskan, ayat itu sebenarnya menunjukkan kaum musyrikin beriman dengan berhala-berhala memiliki bahagian dari sifat ketuhanan yang menyebabkan mereka jatuh dalam kesyirikan serta larangan bertawassul dengan berhala.

Dalam sisi lain, kalau ditilik pada dalil dan nas syarak, ada banyak hadis dan athar yang digunakan sebagai sandaran keharusan bertawassul. Itu belum lagi doa-doa yang warid (sampai kepada kita) oleh ulama-ulama agung sendiri yang mengharuskan bertawassul.

Ini yang menyebabkan Imam al-Sanusi (w. 895H) menjelaskan, tawassul di dalam Islam adalah harus berbeza dengan sikap kaum musyrikin Mekah.

Sebuah kisah yang terkenal diriwayatkan oleh Uthman bin Hunaif r.a yang menceritakan bahawa Rasulullah SAW didatangi seorang lelaki buta yang mengadu kesusahannya. Maka Nabi SAW memerintahkannya untuk bersabar itu lebih baik baginya. Tetapi orang tersebut memilih Baginda SAW mendoakannya.

Maka Baginda SAW memerintahkannya untuk ia berwuduk, solat dua rakaat serta berdoa dengan doa ini: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu dan bertawassul dengan nabi-Mu Muhammad, Nabi pembawa rahmat, Ya Muhammad! aku bertawassul denganmu kepada Tuhanku bagi hajat ku ini, maka tunaikanlah untukku Ya Allah! berikanlah syafaatnya kepadaku”. Lalu Uthman menceritakan: “Demi Allah! sebelum kami berpisah dan belum banyak kami berborak, tiba-tiba lelaki buta itu masuk seolah-olah ia belum pernah mengalami kebutaan”. (Riwayat al-Tirmidzi (hasan sahih gharib), al-Hakim (sahih) dan lain-lain.

Bahkan seorang pakar hadis dari Mesir, Dr. Mahmud Said Mamduh mengatakan hadis ini sahih. (Lihat: Raf’u al-Manarah: 106).

Terkait dari kisah ini, Imam al-Tabrani meriwayatkan ketika zaman Khalifah Uthman bin Affan ada seseorang berhajat kepada khalifah, namun beliau tidak dipandang oleh khalifah.

Maka beliau pun mengadu kepada Uthman bin Hunaif, maka beliau memerintahkan untuk berdoa seperti di dalam hadis di atas. Orang itu pun datang ke pintu rumah Khalifah Uthman bin Affan r.a dan beliau dijemput masuk serta segala hajatnya ditunaikan.

Beliau juga kembali dan menceritakan perkara ini kepada Uthman bin Hunaif. (Athar al-Tabrani, Abu Nu’aim dan al-Bayhaqi. Dr. Mahmud mensahihkan hadis ini: Raf’u al-Manarah 115). Athar ini juga menjadi bukti dianjurkan bertawassul dengan Rasulullah SAW walaupun setelah kewafatannya.

ATHAR ZAMAN UMAR

Hujah kuat lainnya adalah athar yang menceritakan ketika zaman Khalifah Umar bin al-Khattab r.a berlaku kemarau. Maka datanglah seorang lelaki ke makam Rasulullah SAW dan menyeru: “Ya Rasulullah! Turunkanlah hujan! kerana umat mu benar-benar dah hancur”.

Lalu lelaki itu bermimpi didatangi Rasulullah SAW dan berpesan supaya bertemu dengan Umar, sampaikan salam dan khabarkan bahawa kalian akan disirami hujan.
Ketika lelaki itu bertemu Khalifah Umar r.a dan menceritakan maka menangislah khalifah dan berkata: “Ya Allah! saya tidak bermalasan kecuali terhadap sesuatu yang saya tidak mampu mengerjakannya” (Athar ini diriwayatkan oleh Ibn Abi Syaibah dalam Sahihnya, al-Bayhaqi dan lain-lain. al-Hafiz Ibn Hajar dan al-Hafiz Ibn Kathir telah mensahihkan athar ini)

Berdasarkan semua dalil ini dan banyak lagi dalil yang tidak dapat disebutkan dalam ruang yang terbatas ini, ulama-ulama agung mazhab Syafie dan mazhab-mazhab lain berpendapat, bertawassul dan beristighazah adalah harus bahkan sunat.

Imam al-Nawawi (w. 676H) di dalam al-Majmu’: 8/274, misalnya mengajar untuk memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW ketika menziarahi makam baginda. Setelah itu Abu Bakar, Umar kembali ke wajah Rasulullah SAW dan bertawassul serta meminta syafaat melalui Baginda SAW kepada Allah SWT. Apa yang disebutkan oleh al-Nawawi ini jelas menunjukkan amalan bertawassul kepada Rasulullah SAW setelah wafatnya di makam Nabi SAW serta menghadap Rasulullah SAW.

Tawassul dan istighazah ini difatwakan harus dan baik oleh al-Subki (w. 756H), Ibn Hajar al-Asqalani (w. 852H), Zakaria al-Anshari (w. 926H), al-Suyuthi (w. 911H), al-Qastalani (w. 923H), Ibn Hajar al-Haytami (w. 974H), Mula Ali al-Qari (w. 1014H), al-Ramli (w. 1004H), al-Qurtubi (w. 671H), Wan Daul al-Fathani (w. 1847M), Abdullah Fahim (w. 1961M), sekalian ulama Muzakarah di Kepala Batas tahun 1953 dan banyak lagi ulama dari hujung Barat sehingga hujung Timur.

Selain itu, beberapa jabatan mufti negeri di Malaysia juga mewartakan Fatwa Menangani Persoalan Bidaah Perkara Ikhtilaf/Khilaf Furu’ seperti Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

Keputusan tersebut juga melarang pembidaahan amalan bertawassul. Lebih-lebih lagi sekalian ulama alam Melayu dahulu beramal dengan banyak selawat yang penuh dengan keindahan bertawassul kepada junjungan besar Nabi SAW yang diadatkan oleh ulama dahulu dan sekarang. Bagaimana mungkin amalan majoriti muslim ini dihukum syirik?

  • Dr. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, UIAM dan Felo Kehormat IKIM
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN