Tangani tantrum kanak-kanak - Utusan Malaysia

Tangani tantrum kanak-kanak

Biasakan bertutur bersama anak dengan merebahkan diri sehingga paras mata atau eye-level.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kebanyakan ibu bapa menjadi buntu apabila anak-anak melakukan sesuatu di luar kawalan, khususnya di khalayak ramai seperti menjerit inginkan sesuatu. Inilah yang dipanggil tantrum.

Mengapa terjadinya tantrum? Jenis tantrum dan bagaimana mengatasinya?. Inilah topik yang ingin dihuraikan kali ini.

Ada pelbagai jenis tantrum yang dapat dilihat di kalangan anak-anak. Ia sering
berlaku pada usia dua hingga tiga tahun apabila anak tersebut tidak dapat sesuatu yang diinginkan.

Dalam usia sebegini emosi anak sudah mula terbentuk seperti perasaan marah, sedih dan cemburu. Tetapi mereka masih tidak memahami perasaan tersebut dan tidak tahu bagaimana untuk meluahkannya.

Anak mula berasa keliru dan cara terbaik adalah dengan melakukan perbuatan di luar kawalan.

Perasaan marah terbentuk dalam diri. Ibu bapa tidak memahami menyebabkan anak lebih membantah.

Tantrum sering berlaku apabila anak tidak dapat apa yang diinginkannya. Inginkan sesuatu permainan, tidak mahu melakukan sesuatu yang di suruh atau tidak ingin berkongsi adalah antara contoh yang boleh membuatkannya tantrum.

PENDEKATAN BETUL

Apabila kemahuan tidak dipenuhi, anak akan menjerit sekuat hati, menghentakkan kaki ataupun berguling-guling, dengan harapan mendapat apa yang diinginkan.

Ada yang jauh lebih ekstrem sehingga membahayakan diri sendiri seperti menghentakkan kepala ke dinding, memukul diri sendiri, menahan nafas sampai biru dan pelbagai lagi.

Pelbagai reaksi yang dapat di lihat bagaimana ibu bapa mengendalikan tantrum.

Ada ibu bapa yang memberikan sahaja apa yang dipinta agar keadaan tidak menjadi lebih mudarat.

Ada ibu bapa yang membiarkan sahaja sehingga anak reda. Ada yang terus mendukung anak dan membawa ke tempat yang lain. Apakah pendekatan yang terbaik dalam situasi tersebut? Setiap respon yang dilakukan ketika itu akan memberi impak yang besar dalam kehidupan anak kelak .

Anak yang melakukan tantrum selalunya anak yang terlalu dimanjakan. Lazimnya anak tersebut sering mendapat apa yang diinginkannya.

Setiap anak adalah refleksi bagaimana didikan mereka di rumah. Oleh itu untuk menangani tantrum, disiplin dan komunikasi amat dititikberatkan dalam didikan awal.

Anak harus dididik untuk membezakan salah atau betul. Saya kerap menjentik anak dengan perlahan di pergelangan kaki apabila anak melakukan sesuatu yang tidak betul supaya mereka memahami perbuatan tersebut adalah salah. Memeluk mereka dengan erat apabila anak melakukan sesuatu yang betul seperti memberi dan berkongsi mainan.

Anak juga harus dididik untuk berkongsi, bermain bersama, mengucapkan terima kasih, mendengar kata bermula dari seawal dua tahun lagi.

Mengajar anak dengan mempraktikkannya adalah amalan terbaik kerana anak sering mengikut dan meniru setiap perbuatan yang dilihat di persekitarannya.

Menghantar anak ke pra sekolah dari awal dapat membantu mereka mempelajari bagaimana berinteraksi dengan kanak kanak lain.

Berkomunikasi adalah didikan yang paling penting dalam mengelakkan berlakunya tantrum di kalangan anak.

Anak harus dididik untuk memahami dan meluahkan perasaan yang membendung diri mereka. Sering bertanya kepada anak bagaimana perasaan mereka setiap hari.

Saya marah, saya sedih, saya takut dan pelbagai lagi. Memahami perasaan anak dapat membantu ibu bapa mengawal keadaan dan mengelakkan berlakunya tantrum.

Biasakan bertutur bersama anak dengan merebahkan diri sehingga paras mata atau ‘eye-level’.

Ini membuatkan anak lebih mudah memahami dengan mesej yang ingin disampaikan.

Setiap ibu bapa inginkan yang terbaik buat anak.

Dampingilah mereka dengan penuh kasih sayang. Ibu bapa harus menjadi teladan buat mereka . Dan segalanya bermula di rumah. Insya Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×