Status ibu bukan halangan pecah rekod berkayak - Utusan Malaysia

Status ibu bukan halangan pecah rekod berkayak

Nur Adilla Abu Hasan (dua dari kanan) menerima sijil MBR sebagai wanita pertama berkayak secara solo dalam jarak paling jauh di Bagan Datuk. Januari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

STATUS sebagai ibu kepada empat anak dan usia hampir mencecah 40-an bukan alasan untuk tidak bergiat aktif dalam sukan lasak.

Itu yang dibuktikan oleh Nur Adilla Abu Hasan apabila berjaya mencatatkan nama dalam The Malaysia Book of Records (MBR) sebagai wanita pertama berkayak secara solo dalam jarak paling jauh di negara ini.

Kakitangan Jabatan Tanah dan Galian Perak itu mendayung kayak sejauh 361.47 kilometer (km) selama tujuh hari menyusuri Sungai Perak bermula di Tasik Banding di daerah Hulu Perak dan berakhir di Beting Beras Basah di daerah Bagan Datuk.

Nur Adilla yang berusia 38 tahun memulakan dayungan pada 8 pagi di Tasik Banding pada 27 Disember tahun lalu dan berakhir di Beting Beras Basah pada 9.30 pagi, 2 Januari lalu.

Beliau menerima pengiktirafan atas pencapaian itu menerusi sijil yang diserahkan oleh wakil MBR, Nurul Fatihah Mahmood dan Edwin Yeoh dalam majlis khas di Dataran Bagan Datuk, Perak pada 3 Januari lalu.

Mengakui meminati sukan lasak sejak usia muda terutama aktiviti mendaki, bermain badminton dan futsal, sebelum berkayak dimasukkan dalam senarai sukan wajib yang disertainya.

“Saya mula berkecimpung dalam dunia kayak pada 2017 apabila seorang kawan bernama Din membawa saya menyertai ekspedisi kayak bersama pendayung kayak solo negara, Murad Kassim,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Nur Adilla Abu Hasan ketika ekspedisi mendayung kayak sejauh 361.47 kilometer menyusuri Sungai Perak bermula di Tasik Banding di daerah Hulu Perak dan berakhir di Beting Beras Basah di daerah Bagan Datuk, baru-baru ini. UTUSAN/ SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

Ekspedisi itu bermula dari Kuala Kangsar dan berakhir di Kem Rekreasi Kubang Udang (Rekuda) di Kampung Kubang Udang sejauh 32km.

Sejak itu, ibu kepada tiga anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 14 hingga 5 tahun itu, mulai jatuh cinta dengan sukan kayak dan sering berkayak dengan jarak paling jauh sekitar 30km pada satu-satu masa.

Begitupun, di awal penglibatannya dalam sukan kayak, beliau mengakui ia tidaklah semudah yang disangka. Ini kerana pernah melalui pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika menyertai program berkayak pada waktu malam.

“Ketika itu saya terlibat dengan ekspedisi Kayak Ambang Merdeka iaitu berkayak pada waktu malam.

“Saya berkayak melanggar semua tebing, tersasar laluan, merempuh kayak rakan-rakan dan juga melanggar apa sahaja yang berada di depan disebabkan keadaan di sekeliling yang tidak nampak kerana gelap,” katanya.

Selepas kira-kira dua tahun selepas terlibat dengan sukan kayak, tercetus idea daripada Murad dan Pengurus Persatuan Pendayung Kayak Solo Perak (Paskat), Ramli Ahmad Rozali, untuk mencari calon wanita bagi melakukan dayungan kayak secara solo.

Oleh kerana Nur Adilla seorang yang aktif dan sering mengikuti ekspedisi berkayak anjuran Murad, namanya terpilih untuk melakukan misi tersebut.

Bagaimanapun, kewujudan pandemik Covid-19 menyukarkannya membuat persediaan dan latihan sempurna.

Justeru lebih banyak berlatih di gimnasium selama kira-kira dua jam selepas waktu bekerja dan pada malam pula berlatih menguatkan stamina sama ada di gimnasium atau bermain badminton dan futsal.

Cuti hujung minggu pula dihabiskan waktu dengan aktiviti mendaki dan berkayak sekali gus menuntut pengorbanan besar daripada keluarganya.

Begitupun, Nur Adilla tetap akan berusaha mencuri masa bersama keluarga sama ada pada Sabtu dan Ahad.

Anak kelahiran Ipoh itu membuat persiapan kira-kira setahun lebih sebelum boleh mengesahkan dirinya sudah cukup bersedia memulakan misi tersebut.

Menurutnya, ekspedisi mencatatkan nama sebagai wanita pertama berkayak solo dalam jarak jauh menerusi Projek Dayungan Ekspresi Negaraku Kayak Solo Wanita 2020 itu amat mencabar mental dan fizikalnya kerana sebelum ini paling jauh pernah berkayak ialah 32km.

Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sekarang, Nur Adilla tidak dapat melakukan latihan berkayak di lapangan iaitu berkayak sama ada di sungai, tasik atau laut.

Bagi memastikan diri sentiasa cergas terutama bagi persediaan menyertai ekspedisi terbaharu, beliau sentiasa melakukan latihan di gimnasium dan berlari atau joging.

Rancangan terbaharunya ialah mengiringi rakan segandingan, Saidatul Atiqah Md. Isa, 31, yang akan membuat dayungan solo dari Sungai Kinta di Ipoh sehingga ke Pulau Pangkor yang melibatkan kira-kira 410km.

Jelasnya, mengikut perancangan ia akan dilakukan pada Oktober atau penghujung Disember, bergantung kepada keadaan cuaca serta situasi jangkitan Covid-19 di negara ini.

“Saya terlibat sebab jika Saidatul Atiqah mengalami kecederaan, saya yang akan menggantikannya,” katanya.

Untuk misi akan datang, beliau juga akan mengiringi Saidatul Atiqa melakukan dayungan kayak solo di tasik di Danau Toba, Indonesia, sejauh 400km bagi dua pusingan.

Ia sebagai membalas jasa rakannya itu yang banyak membantunya dalam menjayakan misi di Sungai Perak tempohari. Bagaimanapun, ia hanya boleh dilakukan selepas sekatan perjalanan ke luar negara akibat Covid-19 berakhir.

Jeram paling mencabar

Bagi Nur Adilla, antara lokasi paling mencabar sepanjang berkayak di Sungai Perak ialah mengharungi jeram yang mempunyai banyak batu tajam di kawasan Kenering di daerah Hulu Perak.

Selain itu, beliau juga terperangkap dalam arus pasang beserta angin kuat sehingga menghasilkan ombak besar sehingga sukar mendayung serta mengakibatkan kayaknya berpusing beberapa kali di kawasan Sungai Dulang dekat Bagan Datuk.

Nur Adilla juga berdepan pengalaman terperangkap dalam lumpur sehingga paras pinggang kira-kira 20 minit sebelum dapat keluar dengan cara menggoyangkan tubuhnya sedikit demi sedikit dan kembali ke dalam kayak.

Dalam misi itu, beliau hanya berkayak pada waktu siang iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang sebelum menyambung misi keesokan harinya dengan pasukan pengiring dan pemantau perlu berada pada jarak kira-kira 600 meter darinya.

“Sepanjang kayuhan itu, saya hanya fikirkan untuk selamat sampai dan saya tidak boleh sama sekali keluar dari kayak dan jika lapar, kena makan dalam kayak.

“Ketika bosan (kerana mendayung terlalu lama) saya akan mendengar lagu dan alunan zikir,” katanya sambil menambah kehadiran suami dan anak-anak yang mengikuti ekspedisi itu menjadi penguat semangatnya.

Baginya, pencapaian itu bukan miliknya seorang tetapi lebih kepada kejayaan bersama-sama keluarga, rakan-rakan yang mendorong serta memberi semangat kepadanya serta semua pihak lain termasuk penaja dan penaung projek itu, Datin Seri Dr. Nomee Ashikin Mohamed Radzi.

“Apa yang penting ialah memastikan kekuatan mental dan fizikal mesti di tahap terbaik, jika ada rasa mahu menyerah kalah di pertengahan, kena lawan perasaan itu,” ujarnya.

NUR ADILLA ABU HASAN

Suami turut bangga

Sementara itu, suami Nur Adilla, Mohd. Shamsul Naim Mohamed Amran, 40, turut berbangga dengan kejayaan yang dikecapi isterinya itu.

Malah, baginya kejayaan itu bukan sesuatu yang mengejutkan kerana mengetahui isterinya sebagai wanita lasak yang gemar melakukan aktiviti mencabar.

Sepanjang tujuh hari Nur Adilla berkayak itu, beliau yang juga seorang kontraktor mengambil tanggungjawab menjaga anak dan turut sama mengikuti misi memecah rekod itu dari jauh.

“Saya sentiasa memberi sokongan terhadap minat dan usaha isteri ini terutama mendoakan keselamatannya khususnya selepas solat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN