Minda positif bantu tingkat imunisasi - Utusan Malaysia

Minda positif bantu tingkat imunisasi

Rumah adalah tempat terbaik untuk menghabiskan cuti berpantang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kembali. Bermakna bermulalah lagi episod duduk di rumah bagi mengawal jangkitan Covid-19 yang semakin menggila.

Jika dilihat dalam media sosial, rata-rata netizen menyuarakan kebimbangan mengenai kesihatan mental dan tubuh badan kerana berkurung di rumah masing-masing, tanpa melakukan sebarang aktiviti luar.

Seri menemui Pakar Kaunseling dan Psikologi, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS), Dr. Mohd. Suhadi Mohamed Sidik, mengenai kaedah dan tips memperkuatkan kesihatan mental dan fizikal, walaupun hanya duduk di rumah.

Dr. Mohd. Suhadi Mohamed Sidik.

SERI: Ramai yang bimbang perintah ‘duduk di rumah’ menyebabkan pelbagai tekanan kepada kesihatan mental. Pendapat Dr.?
Dr. Mohd. Suhadi:Tidak dinafikan sejak pelaksanaan PKP, ia memberi impak psikologi yang besar kepada manusia.

Ia turut didorong aspek lain seperti hilang pekerjaan dan kekurangan pendapatan kerana tidak bekerja.

Cerita kematian kian meningkat setiap hari akibat Covid-19 turut memperhebatkan lagi rasa itu.

Pengasingan sosial menyebabkan sukar meluahkan permasalahan dihadapi. Lebih teruk lagi apabila ada ahli keluarga yang sedang berkonflik duduk sekali dalam tempoh yang panjang, boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Apa kaedah boleh dilakukan bagi mengatasi isu ini?
Yang pertama dan paling penting adalah dari sudut kognitif iaitu menguruskan cara berfikir.

Kaedah ini mengajak kita untuk memandang sesuatu perkara yang berlaku dengan pandangan yang positif. Sentiasa percaya setiap kesukaran pasti ada kemudahan di akhirnya.

Contohnya, yakin bahawa tindakan duduk di rumah pada waktu ini akan melindungi diri dan keluarga daripada virus Covid-19 selain memberi peluang memperbaiki hubungan kekeluargaan.

Hal ini kerana menurut satu kajian, otak akan berupaya meninggalkan dua kesan kepada tubuh.

Saintis mengatakan, minda positif boleh merembeskan hormon oksitosin atau hormon cinta dan ia mampu meningkatkan imun badan. Sekali gus daya tahan badan terhadap jangkitan jadi lebih kuat.

Berfikiran negatif hanya akan menjejaskan sistem tubuh sekaligus mencetuskan kebimbangan dan menjelaskan kesihatan mental. Kita perlu melatih diri untuk sentiasa pantas dalam memberi tafsiran, persepsi dan sangkaan yang baik untuk rasa lebih tenang.

Bagaimana dengan aspek kerohanian?
Penyucian jiwa. Ia bermaksud membuang sifat tercela seperti dengki, iri hati, dendam dan mengeluarkan kata-kata nista dan mengisikan diri dengan sifat terpuji seperti redha, ikhlas, taat kepada perintah Allah SWT, bersangka baik bagi membentuk hati yang sejahtera dan bahagia.

Guna tempoh PKP untuk memperbaiki hubungan antara keluarga dengan membuang segala yang keruh dan digantikan ikatan yang lebih erat.

Bagaimana dengan aspek pemakanan?
Sebenarnya aspek pemakanan ini perlu disertakan bersama senaman kerana tubuh memerlukan sistem pemakanan dan senaman yang berstruktur sifatnya. Setiap makanan dan senaman akan memberi respons tertentu terhadap sistem imun badan.

Selain pemakanan seimbang, pengambilan lemon dan bawang putih itu dapat meningkatkan imunisasi tubuh.

Selain itu, senaman ringan 20 minit sehari juga amat penting untuk meningkatkan metabolisme dan imunisasi tubuh. Ia mudah dilakukan tanpa sebarang kos seperti berlari setempat, meditasi dan sebagainya.

Disyor dilakukan waktu pagi selepas sarapan ringan kerana waktu itu udara masih segar sekali gus membangunkan aura positif bagi jasad dan jiwa kita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN