Kempen Prihatin Masyarakat atau We Care Society anjuran Hada Labo bersama Women of Will dan Watsons berjaya mengumpul dana sehingga RM50,000 dalam tempoh sebulan bagi membantu golongan kurang berkemampuan.
Kempen dilancarkan bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada Mei lalu itu, memberi peluang kepada wanita kurang bernasib baik mendapat latihan kemahiran penghasilan biskut raya.
Bukan itu sahaja, kempen ini juga menyasarkan untuk membina keyakinan diri wanita untuk berjaya dan berkembang dalam perniagaan atau apa sahaja bidang mata pencarian dalam komuniti mereka.
Sejajar dengan itu, 30 wanita daripada komuniti B40 terpilih, ditawarkan untuk menjalani latihan penghasilan biskut bagi meningkatkan kemahiran mereka.
Sebanyak 40,000 biskut dihasilkan dan diedarkan kepada 300 keluarga dari tiga Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang iaitu PPR Batu Muda, PPR Pekan Batu dan PPR Beringin.
Manakala, pembuat biskut wanita B40 terpilih yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang dari RM2,500 kini menetap di PPR Batu Muda di Jalan Ipoh, Sentul.
Pengurus Besar Rhiti-Mentholathum, Lim Mei Yuen berkata kejayaan kempen ini adalah hasil sokongan orang ramai dalam menyebarkan kegembiraan dan kemesraan semasa sambutan hari raya.
“Kempen ini adalah salah satu inisiatif jenama Hada Labo untuk saling menjaga kebajikan sesama sendiri terutama semasa pandemik Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Kempen memasuki tahun kedua itu membuktikan komitmen dan inisiatif jenama berkenaan untuk menyumbang kepada masyarakat.
Sebanyak RM1 daripada hasil penjualan setiap produk lotion Hada Labo di Watsons seluruh negara disalurkan ke dana berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi WoW, Lakshwin Muruga turut menyokong usaha ini yang bukan sahaja dapat membantu golongan kurang berkemampuan dari segi kewangan malah menambahkan kemeriahan suasana perayaan.
“Walaupun kita berhadapan dengan realiti baharu yang memaksa kita untuk menjauhkan jarak satu sama lain, tetapi kami berasa gembira kerana mendapat sokongan berterusan dari Hada Labo. Kami bukan sahaja berjaya membina asas untuk membantu kumpulan wanita B40 mencapai kemandirian kewangan, tetapi melalui pengedaran biskut, kami juga dapat memeriahkan suasana bagi mereka yang memerlukan,” jelasnya.










