Kekalkan kecergasan diri sewaktu PKP - Utusan Malaysia

Kekalkan kecergasan diri sewaktu PKP

Hadkan aktiviti sedentari atau kurang aktif kepada dua jam sehari. Aktiviti berkenaan termasuk menonton televisyen, melayari internet, bermain permainan komputer, baring atau duduk.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pergerakan terhad akibat Perintah Kawalan Pergerakan, bukan alasan untuk tidak aktif.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencadangkan 150 minit untuk aktiviti fizikal berintensiti sederhana atau 75 minit untuk aktiviti fizikal berintensiti intensif setiap minggu, atau kedua-duanya.

Pakar Bedah Am, Bariatrik, Payudara dan Endokrin, Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Dr. Kirubakaran Malapan, berkata bersenam membantu tubuh kekal cergas dan melambatkan isu kesihatan berkaitan dengan penuaan, seperti tekanan darah tinggi dan kencing manis.

“Tidak bersenam menyebabkan badan lesu, metabolisme akan merudum dan berat badan juga akan bertambah dengan lebih cepat,” katanya.

Banyak jenis aktiviti boleh dilaksanakan di rumah seperti berjogging dan mengikuti senaman dalam talian.

“Lakukan 30 minit sehari, selama dua hingga tiga kali seminggu sudah memadai. Hidup aktif membantu menggalakkan rembesan hormon gembira seperti endorfin.

“Ia turut membantu sistem imun berfungsi dengan berkesan, menurunkan tekanan darah dan baik untuk kesihatan jantung,” katanya.

Elak makan lewat malam
Tidak menjaga diet dengan baik termasuk makan lewat malam mudah mengundang obesiti.

Dr. Kirubakaran berkata, pengambilan sajian berlebihan menyebabkan tubuh tidak menggunakan kalori berlebihan sebaliknya ia disimpan sebagai lemak.

“Tabiat ini punca obesiti yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat di negara ini. Apa yang membimbangkan, obesiti memberi impak pada kesihatan apabila organ penghadaman dibebankan untuk proses pencernaan.

“Proses penghadaman tidak sempurna menyebabkan pertambahan lemak sekaligus meningkatkan berat badan. Situasi jadi lebih serius jika amalan tidak sihat tadi terus diamalkan tanpa henti untuk beberapa bulan lamanya sepanjang anda bekerja dari rumah,” katanya.

WHO melaporkan obesiti penyakit kritikal dan mencapai peringkat epidemik secara global, dengan sekurang-kurangnya 2.8 juta orang meninggal dunia setiap tahun kerana lebihan berat badan atau obes.

Di Malaysia, hasil Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 mendapati 50.1 peratus daripada orang dewasa mempunyai sama ada berlebihan berat badan atau obes dengan 30.4 peratus berlebihan berat badan manakala 19.7 peratus adalah obes.

EMPAT KEUTAMAAN HARIAN:
✅ Bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari.
✅ Amalkan konsep suku-suku separuh.
✅ Kurangkan makan bergula, berlemak dan berminyak
✅ Pilih bijirin penuh dan sumber produk protein dan tenusu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN