CANTIK dan menawan di mata. Kek Jeli Tiga Dimensi (3D) atau 3D Jelly Cake ini bukanlah kek hiasan atau display cakes tetapi ia boleh dimakan termasuk setiap bunga atau bentuk yang dihasilkan.
Begitu berseni, unik dan menarik kek jeli sentuhan Guru Bahasa Inggeris Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh di Selangor, Siti Noor Md. Isa sehingga berasa sayang untuk sentuh dan makan.
Kesemua bahan yang digunakan adalah selamat untuk dimakan kerana ia diperbuat daripada jeli dan susu. Siti Noor menerima tempahan kek jeli ini dan semua kek yang telah dihasilkan untuk pelanggan dikongsikan di laman Instagram budsnblossom. Siti Noor tidak lokek juga dalam berkongsi resipi untuk menghasilkan Kek Jeli 3D kepada anda semua.
Kek Jeli 3D
Bahan-bahan A (clear jelly)
* 10 gram (g) serbuk jeli (Konnyaku)
* 1600 mililiter (ml) air
* 350 gula
* 2 sudu kecil perisa nanas
Cara penyediaan bahan A
1. Larutkan serbuk jeli ke dalam air dengan kacau serata.
2. Biarkan campuran selama 15 minit.
3. Hidupkan api dan biarkan sehingga mendidih. Minit ke-20 buangkan buih pada permukaannya. Masukkan gula serta perisa nanas.
4. Biarkan mendidih dan tutup pada minit ke-30.
5. Tapiskan pada loyang bersaiz 8 inci.
6. Biarkan adunan ‘set’ untuk persediaan mencucuk jeli.
Bahan-bahan B (jeli warna)
* 200 ml susu penuh krim
* 50 ml air
* 1 sudu besar gula
* 1 sudu kecil serbuk jeli

Cara penyediaan bahan B
1. Campurkan semua bahan, masak hingga mendidih.
2. Bahagikan mengikut bilangan warna.
3. Letakkan cawan jeli panas di dalam bekas air yang sentiasa panas di atas api.
4. Gunakan syringe untuk menyedut jeli berwarna. Ambil jarum yang dikhaskan dan suntik ke dalam clear jelly dengan membuat bunga atau bentuk seperti yang ingin dihasilkan.
Bahan-bahan C (based jelly)
* 1 tin laici (ambil air)
* 600 ml (air tin laici tambah 300 ml air)
* 100 ml Ribena
* Gula (mengikut cita rasa)
* 4 sudu teh serbuk jeli
Cara penyediaan bahan C
1. Panaskan semua bahan sehingga mendidih.
2. Lap permukaan clear jelly sehingga kering.
3. Tuangkan campuran yang dimasak ketika masih panas ke atas clear jelly yang siap disuntik.
4. Biarkan set di dalam loyang sekurang-kurangnya dua jam sebelum diterbalikkan.
Siap untuk dihidang!










