Dulu merun, kini beret merah - Utusan Malaysia

Dulu merun, kini beret merah

Sebahagian anggota Platun Tracker PGA Senoi Praaq yang menjalani latihan abseiling dan repealing di bawah bimbingan 69 Komando dan Unit Udara PDRM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tempoh dua tahun enam bulan menerajui Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (Bn 3 PGA) Senoi Praaq, Kem Bidor di Tapah, Perak sangat meninggalkan kesan kepada Asisten Komisioner Polis (ACP) Rosman Kasman. Lebih-lebih lagi diberi tanggungjawab mengetuai wira-wira Orang Asli yang disifatkan memiliki keberanian yang luar biasa.

Ini adalah satu daripada dua batalion Senoi Praaq yang menjadi tunjang kekuatan Briged Utara PGA iaitu Bn 18 PGA Senoi Praaq di Pengkalan Hulu, Gerik juga di Perak.

Rosman yang dinaikkan pangkat pada 15 April lalu kini memikul jawatan baharu sebagai Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

Beliau yang sebelumnya bertugas dengan pelbagai jawatan di 69 Komando Pasukan Gerakan Khas, Ulu Kinta dan dalam cawangan Siasatan dan Perisikan khas Jabatan KDNKA dilantik sebagai Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Senoi Praaq pada 19 Ogos 2018.

Keberanian, kecekapan dalam penjejakan dalam hutan dan taat setianya kepada kerja yang diamanahkan merupakan sikap semula jadi mereka yang memberi impak yang besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) umumnya dan kepada negara khasnya.

Jujurnya juga masih ramai dalam kalangan rakyat termasuklah warga PDRM sendiri yang tidak tahu tentang peranan serta sejarah pasukan Senoi Praaq ini.

Pastinya, Rosman juga adalah individu yang paling terkesan dengan kejadian dua wira Senoi Praaq yang berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup di Pos 9 sempadan Malaysia – Thailand dekat Padang Besar, Perlis pada 24 November tahun lalu.

ROSMAN KASMAN

Dalam kejadian tersebut, Sarjan Baharuddin Ramli maut ditembak penyeludup manakala Sarjan Norihan Tari, 39, yang mengalami kecederaan parah berjaya mencederakan tiga orang penyeludup daripada kumpulan tersebut.

Mendiang Sarjan Baharuddin ditemukan dalam keadaan masih menggenggam pistol automatik Walther P99 yang kehabisan peluru.

Kedua-dua anggota ini juga diperkenankan untuk dianugerahkan pingat keberanian Panglima Gagah Berani (PGB).

Sebab itulah Rosman amat mengharapkan agar kerajaan melihat sumbangan besar Senoi Praaq dalam menjaga dan mempertahankan kedaulatan negara tanpa berbelah bagi kesetiaannya.Ia bagi menaik taraf skim perkhidmatan warga pasukan tersebut agar sama taraf dengan skim perkhidmatan PDRM yang lain.

Rosman sangat bangga apabila dapat berkhidmat bersama-sama wira-wira Senoi Praaq di batalion tersebut yang juga mempunyai sejarah panjang dalam perjuangan menjaga kedaulatan negara bermula era pengganas komunis.

Katanya, mereka adalah wira yang tidak didendang di mana sikap merendah diri merupakan sifat yang telah diwarisi dari zaman nenek moyang mereka lagi.

Atas sebab itu, Rosman mahu generasi baharu Senoi Praaq menguasai kemahiran baharu selain mahir dalam kecekapan yang diperlukan sebagai anggota PGA khususnya kemahiran sebagai penjejak hutan.

“Bagi mewujudkan Senoi Praq generasi baru, kita telah melatih anggota muda Senoi Praaq dengan pelbagai kemahiran seperti kemahiran tempur bilik dan pengiring rapat yang dilatih oleh Unit Tindak Khas (UTK) serta penembak tepat dan rappelling dilatih oleh 69 Komando.

“Anggota Senoi Praaq juga mengikuti latihan perubatan medan atau combat medic dan perubatan bawah air yang telah dilatih oleh pihak 96 Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Lumut serta kemahiran mencari dan menyelamat di Akademi Bomba dan Penyelamat Zon Utara.

“Mereka turut mengikuti latihan selaman (skuba) oleh bekas jurulatih selam 69 Komando, kursus asas dan mendalam yang dilatih oleh Sekolah Cawangan Khas di bawah kendalian cawangan Siasatan dan Perisikan Khas Jabatan KDNKA,” ujar Rosman.

Katanya lagi, ada juga beberapa kursus yang dirancang dan dijangka akan dilaksanakan tahun ini seperti bersama pihak Hospital Orang Asli Gombak dalam kursus asas perubatan bagi anggota perubatan dalam setiap platun.

Semasa Batalion 3 PGA dibawah pemerintahan beliau juga, banyak kejayaan dalam operasi yang amat membanggakan PDRM antaranya penugasan Op Benteng Covid Wawasan Kedah/Perlis, Operasi Bersepadu Khazanah dan Operasi Khas membantu Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Anggota platun tracker yang mana penubuhannya dicetuskan oleh Rosman sebagai unit khusus dengan pelbagai kemahiran hutan dan latihan tempur

Tidak dilupakan juga ialah pelaksanaan pelbagai program kebajikan, kesihatan, pendidikan anak-anak PGA Senoi Praaq serta kelas agama termasuk yang dianjurkan melalui aktiviti Persatuan Keluarga Polis (Perkep), Cawangan Baka dan lain-lain yang banyak memberi manfaat kepada anggota dan keluarga.

“Saya percaya kepemimpinan sedia ada pasukan ini akan meneruskan kecemerlangan BN 3 PGA dan begitu juga para pegawai serta anggota-anggotanya.

“Mereka boleh dan telah pun melaksanakan pelbagai penugasan dalam PDRM. Perjuangan Senoi Praaq dalam mempertahankan negara daripada ancaman pihak musuh dari pelbagai sudut tidak seorang pun yang boleh mempertikainya.

“Berpindah dari satu pasukan ke pasukan adalah lumrah sebagai warga PDRM.

“Jika sebelum ini saya menyarung beret berwarna coklat pasir 69 Komando, kemudiannya bertukar kepada beret merun PGA Senoi Praaq.

“Kini, beret merah Pasukan Simpanan Persekutuan pula disarung untuk saya mencurahkan khidmat kepada negara,” ujar Rosman.

PSP bantu tugas penguatkuasaan semasa PKP

Seramai 1,000 pegawai dan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM) seluruh negara ditugaskan bagi membantu menguatkuasakan keselamatan di beberapa lokasi penting sejak penularan wabak Covid-19.

Mereka ditugaskan bagi membantu Ketua Polis Daerah dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut lokaliti yang ditugaskan.

Timbalan Komander PSP, Asisten Komisioner Rosman Kasman berkata, penugasan PSP dalam tugas sedemikian bukanlah asing kerana tanggungjawab serupa turut dilaksanakan oleh keanggotaan jabatan-jabatan lain dalam PDRM.

Menurut beliau, ini juga bagi mengikis persepsi umum yang hanya melihat tugas PSP sebagai pasukan pencegah rusuhan atau dikerah untuk mengawal sesuatu situasi huru hara semata-mata.

“Peranan PSP adalah sebagai elemen sokongan kepada pihak berkuasa dengan memberi bantuan keanggotaan pada Ops Covid misalnya di pusat kuarantin dan kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Seperti jabatan-jabatan lain dalam pasukan polis, PSP turut sama memainkan peranan untuk diatur gerak pada bila-bila masa bagi melaksanakan apa jua penugasan kepolisan yang sepatutnya kita laksanakan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke Markas 5 PSP Ipoh di Sungai Senam, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Dalam lawatan itu, Rosman turut meninjau lokasi bantuan sumber manusia melibatkan pegawai dan anggota 5 PSP di Pusat Kuarantin Stadium Badminton Majlis Bandaraya Ipoh dan kawasan PKPD Daerah Kinta.

Beliau sebelum itu diberi taklimat oleh Pegawai Pemerintah 5 PSP, Superintendan Shamsul Bahrin Aman.

Dalam taklimat tersebut, Rosman mengingatkan semua pegawai dan anggota pasukan itu supaya sentiasa mengamalkan langkah pencegahan dan berhati-hati semasa menjalankan tugas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×