Slogan “Tidak banyak tetapi sentiasa, tidak ramai tapi ada, tidak kaya tapi cakna” sinonim dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif melakukan kerja kebajikan.
NGO yang dikenali sebagai Dana Kita (DK) bermula lebih dua tahun lalu menerusi kerja-kerja amal melibatkan pelajar-pelajar sekolah dalam golongan asnaf.
Ibarat bayi yang bertatih pada mulanya dua tahun lalu. Kini DK sudah mampu berlari jauh hingga mampu menabur bakti hingga ke peringkat antarabangsa dan memiliki bangunan sendiri.
Individu di sebalik DK dan amal bakti merentas negeri dan sempadan maritim tersebut adalah Mohd. Fadli Mohamed Salleh, 38.
Sebagai seorang guru Matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Gombak 1, Mohd.Fadli berkata, ‘perjalanan’ beliau sebagai aktivis DK bermula dalam media sosial Facebook.
“Semasa DK bermula, saya menguar-uarkan kepada rakan Facebook untuk membuat kutipan dana program membantu pelajar-pelajar susah di sekolah saya mengajar.
“Kutipan dana tersebut saya beli barang dapur untuk keluarga yang memerlukan. Kerja amal tersebut saya adakan dengan kerjasama rakan-rakan,” katanya kepada Utusan Malaysia di Gombak baru-baru ini.
Beliau berkata, semakin lama dana yang diterima DK semakin meningkat hingga mendorong pihaknya mengadakan program kebajikan berskala besar.
Katanya, program pertama berlangsung di Greenwood pada tahun 2018 iaitu sumbangan barangan dapur untuk golongan miskin bandar.
“Hasil sumbangan masyarakat, saya dan rakan-rakan merasakan kami perlu bergerak dengan lebih sistematik untuk menyalurkan bantuan.
“Seramai 20 Ahli Lembaga Tertinggi (ALT) dan 60 Gerila DK dalam kalangan pelajar Unikl BMI digerakkan untuk menghulurkan bantuan dalam program-program amal yang dianjurkan di seluruh
Semenanjung Malaysia. Kita juga pernah menyumbang untuk program amal di Kemboja,” katanya.
Semasa PKP 3.0 ini, Mohd.Fadli berkata, bantuan barangan makanan dihantar kepada golongan ibu bapa di kawasan Batang Kali, Hulu Selangor melalui sukarelawan-sukarelawan DK.
Projek amal tersebut jelasnya, melibatkan 24 keluarga yang menerima pek makanan dan disampaikan di SK Bandar Baru Batang Kali.

Beliau menambah, bantuan pada musim PKP 3.0 turut dihantar hingga ke pantai timur melibatkan negeri Terengganu dan Kelantan.
“Di Kelantan sebanyak 600 set makanan asas dihantar menggunakan perkhidmatan lori dan van panel DK.
“Sementara di Penarek, Terengganu selain berpuluh kotak makanan asas, sebuah katil hospital disumbang untuk pihak yang memerlukan,” katanya.
Sesungguhnya bakti dan kerja amal DK tetap diteruskan ketika situasi tanpa dan semasa lockdown penuh.
Mengenai penglibatan DK dengan My Aqsa Defenders, Mohd. Fadli memberitahu, pihaknya bersama 16 NGO bekerjasama dalam satu wadah menghulurkan sumbangan kepada rakyat Palestin.
Jelasnya, atas nama NGO tersebut pihaknya menyampaikan sumbangan RM30,000 untuk sambutan Ramadan umat Islam di Palestin tahun ini.
“Kita juga adalah rakan strategik Pertubuhan Gaza Malaysia yang akan memastikan segala bantuan seperti persekolahan sampai kepada rakyat Palestin.
“Wakil kami, Pengasas NGO Gaza-Malaysia, Nadir Annuri, rakyat negara kita yang berkahwin dengan orang Palestin turut membantu menyalurkan sebanyak RM300,000 dana dari negara ini untuk membantu rakyat di sana,” katanya.

Mohd.Fadli memberitahu, DK berpusat di Gombak sejak ditubuhkan sehingga ke hari ini.
“Gudang yang menempatkan barang sumbangan DK terletak di Batu 8 Gombak.
“Kami juga dalam proses membeli bangunan pentadbiran DK di Taman Samudera dengan kos RM1.8 juta,” katanya.
Menurut beliau, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan lockdown menyebabkan program keagamaan seperti ibadah korban tidak dapat diteruskan oleh pihaknya.
Tahun lalu katanya, DK melaksanakan korban enam ekor lembu hasil sumbangan umat Islam.
“Sememangnya ada yang bertanya sama ada kita akan mengadakan ibadah korban. Insya-Allah jika ada rezeki kita laksanakan,” katanya.
Orang ramai yang ingin menyumbang untuk pihak DK mengadakan program amal, boleh menyalurkannya ke akaun Maybank nombor 5642 2164 6925 atas nama Pertubuhan Kebajikan Dana Kita.










