Koleksi barangan kemas, M19 yang diinspirasikan daripada pelitup muka, menang pingat perak kategori fesyen pada pertandingan MUSE Design Awards, AS baru-baru ini.
Pertandingan anjuran International Awards Associate (IAA) itu mendapat lebih 3,900 penyertaan dari serata dunia.
Pereka Juwelen Desing, Ivy Teong, berkata pelitup muka yang dipakai hampir setiap hari itu, menggambarkan rasa ketakutan dan ketidak selesaan hampir setiap individu.
“Saya melihat pelitup muka daripada perspektif kreatif dengan menyuntik elemen futuristik. Ia sebagai peringatan kepada dunia mengenai bahaya Covid-19 pada masa sama terus mengamalkan kebersihan diri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Teong menjelaskan sejak Mac 2020 iaitu pada kali pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama dikuatkuasakan, seperti kebanyakan orang lain, dia turut mengalami perubahan emosi termasuk tekanan perasaan kerana berada dalam situasi ketakutan.
“Berita yang tersiar selalu menyebabkan saya risau. Selain hilang selera makan, hampir sebulan juga saya tidak ada idea dan kekuatan menghasilkan lakaran aksesori,” katanya.
Pada fasa seterusnya dia cuba menerima hakikat yang mungkin dunia perlu berehat buat seketika akibat pencemaran dan kekotaran yang ditinggalkan manusia.
“Saya cuba melihat pandemik daripada sudut positif dan mulai melakar. Bermula dengan sepasang subang, ia kini ada dalam bentuk cincin dan subang,” katanya.
Juwelen Desing pernah menang Pertandingan Reka Bentuk Mutiara Antarabangsa Tahunan ke-10 Anugerah Kilau untuk kategori Penyertaan Antarabangsa dan Culture Pearl Association of America (CPAA) pada 2020.










