Bukalah parlimen, jangan takut undi tak percaya - Utusan Malaysia

Bukalah parlimen, jangan takut undi tak percaya

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam mengendalikan pandemik yang makin memburuk, kerajaan bukan sahaja berdepan risiko polisi yang tak popular sehingga akibatkan rakyat marah, malah di sudut lain sering menerima kritikan ‘sekutu’ mereka dari UMNO.

Ibarat tidur sebantal tapi mimpi lain-lain, antara yang lantang bersuara ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki. Saban hari ada sahaja lontaran pandangan mengkritik dasar Perikatan Nasional (PN), sampai pemerhati terfikir, adakah kritikan itu wadah propaganda membentuk persepsi terhadap kerajaan hari ini?

Mendepani kemelut politik ini, wartawan Mingguan Malaysia, Fahmi Faiz dan Roshihan Annuar Yub menemubual Asyraf pada Rabu lalu. Turut membantu menjayakan wawancara ialah jurugambar AHMAD FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR dan juruvideo ZUID IKH RAL SAMSON.

Ikuti wawancara ini yang turut mengupas desas-desus dan dakwaan kononnya UMNO kini sedang cuba ‘normalisasi’ hubungan dengan seteru azali, DAP melalui penjajaran baharu.

MINGGUAN MALAYSIA: Datuk sering kritik dasar kerajaan sepanjang total lockdown sekarang. Pandangan Datuk, apa sebenarnya yang perlu dibuat?
Bila total lockdown, kena betul-betul total lockdown. Pakar beritahu tempoh inkubasi, hayat virus ini selama 10 ke 14 hari. Kalau semua berada di rumah 14 hari, insya-Allah virus itu akan mati di situ, sama macam PKP pertama. Rata-rata rakyat sedia hadapinya, “lebih baik susah sekali, tapi jangan susah berkali-kali”. Tapi rakyat mula kecewa kerana tindak-tanduk kerajaan PN ini macam tak serius, sudahlah masa awal-awal lagi diminta total lockdown, kerajaan acuh tak acuh. Perdana Menteri secara tegas kata, “oh tak boleh” malah beliau berikan fakta yang tak tepat kononnya negara akan rugi separuh trilion Ringgit kalau total lockdown. Sebenarnya dia pun kata, rugi RM2.4 bilion sehari. Kita minta (total lockdown) bukan sepanjang tahun, cuma 14 ke 21 hari sahaja. Darablah RM2.2 billion, tak sampai pun RM50.4 billion. Apa sangat RM50 bilion berbanding kerugian berpanjangan yang akan lebih menyeksakan rakyat bahkan lebih memudaratkan negara.

Kerugian dari segi apa?

Contohnya pelaburan langsung asing (FDI). Sebenarnya hujah mengatakan FDI tak akan masuk jika kita tutup semua kilang-kilang, hakikat adalah sebaliknya. Keadaan akan jadi lebih parah, selagi pandemik masih menular dan tiada tindakan drastik, tiada siapa yakin dan berani melabur. Sebab itu laksanakan sahaja lockdown untuk satu tempoh pendek. Buat betul-betul. Tapi nampak masih longgar dan polisi berubah-ubah – sekejap ketat sekejap longgar. Menteri Kanan Pertahanan awalnya umum, serah kepada kementerian-kementerian untuk menilai semua syarikat, tiba-tiba berubah sehari sahaja sebelum lockdown, semuanya berpusat kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) pula. Persoalannya, adakah MITI ini agensi pusat? MITI ini mampukah nak kawal semua? Adakah MITI punya sistem berintegrasi yang efisien? Apakah semuanya benar-benar dalam kategori essential? Pemuda UMNO timbulkan pun setelah menerima secara purata lebih 200 maklum balas setiap hari dari orang awam, minta Pemuda suarakan bahawa mereka kena kerja sedangkan syarikat, kilang mereka bukan kategori essential.

Boleh beri contoh maklum balas itu?
Contohnya syarikat perabot, kilang barang mainan, apa essential di situ? Hari ini saja saya boleh bacakan satu aduan yang bekerja di sebuah syarikat besi yang tiada kaitan, tapi mereka ini dapat kelulusan beroperasi sedangkan total lockdown. Semalam pun (1 Jun), keluar kenyataan lebih 95,142 permohonan diluluskan beroperasi membabitkan 1.2 juta pekerja, jadi apa makna total lockdown?

POLEMIK MITI
Sebab itu Datuk minta Menteri MITI Datuk Seri Azmin buat sidang media jelaskan perkara ini?
Ya benar, sebab MITI hari ini bagai­kan punya kuasa mutlak pemutus segalanya. Jadi sebagai Menteri kanan paling kanan yang bertanggungjawab, dia harus sedia berdepan dengan rakyat.

TOLONG BUKA PARLIMEN
Pandangan Datuk, di mana silapnya kaedah PN kendalikan wabak? Apa yang sepatutnya dibuat?
Dalam menghadapi krisis besar seperti ini, kita perlu memperlihatkan solidariti, ketelusan dan nilai kebertanggungjawaban bersama. Maksudnya, kita harus wujudkan satu suasana yang mana kita menggembleng semua pandangan, bukan sahaja dari pemerintah bahkan dari pembangkang. Tengok sahaja pengalaman negara-negara yang hadapi krisis sama, seluruh rakyat bersatu tangani bersama.

Maksudnya, mahu Parlimen dibuka bersidang?
Ya, Parlimen mesti dibenarkan bersidang. Ini bukan soal menjadi pentas menjatuhkan kerajaan. Kita boleh letakkan syarat agar semua setuju jangan ada usul undi tak percaya. Rakyat boleh jadi hakim. Siapa yang melanggar akujanji itu pasti akan dihukum rakyat. Pada masa sama, letaklah ketepi soal politik, soal nak kukuhkan kuasa. Ini bukan saat nak membeli-beli Ahli Parlimen, bukan saat nak kumpulkan dana, atau nak bentuk catur perang hadapi pilihan raya. Semua harus fokus menangani pandemik demi rakyat.

Datuk sendiri pernah terima tawaran ‘jual beli’?
Saya taklah, sebab saya bukan ahli Parlimen. Tapi selaku Ketua Pemuda, saya pernah ditawarkan untuk meme­gang GLC tapi saya tolak dari awal atas dasar prinsip. Bukan sahaja pengerusi GLC, tapi saya tolak jawatan ahli lembaga pengarah mana-mana sekalipun.
Apa jaminan UMNO tak akan buat undi tak percaya kalau Parlimen bersidang sekarang?
UMNO adalah parti yang bertanggungjawab. UMNO tidak akan buat keputusan membelakangi rakyat. Malah saya tidak rasa mana-mana parti akan buat usul sebegitu di kala rakyat sedang menderitai pandemik. Parti ini sifatnya pragmatik. Maksudnya suka atau tak mereka harus dengar apa yang rakyat mahukan. Kalau rakyat marah, siapa berani nak buat? Jadi sekarang kenapa kita takut sangat, sampai fobia kononnya bila Parlimen buka, kerajaan PN akan jatuh. Walaupun kita sedar kerajaan hari ini sudah tiada majoriti, tapi isu sekarang ialah pandemik. Kita memerlukan suara semua. Kita memerlukan akauntabiliti. Pecahan wang rakyat yang sudah dibelanjakan, berapa bilion sudah pun dibelanja, vaksin macam mana, kaedah pembelian bagaimana? Akhirnya sekarang rakyat memilih wadah media sosial untuk meluahkan rasa tak puas hati.

IRONI MENTERI UMNO DALAM PN
UMNO sering persoalkan dasar PN, tapi 14 Menteri dan Timbalan adalah dari UMNO. Tidakkah ia ironi?
UMNO sebagai sebuah parti tidak dilibatkan dalam keputusan-keputusan besar yang melibatkan dasar kerajaan apatah lagi yang memberi kesan kepada rakyat. Banyak perkara yang tidak dirujuk kepada parti. Sebab kita tiada platform rasmi seperti zaman Kerajaan PH contohnya Majlis Presiden. Darurat misalnya, UMNO tak pernah bersetuju. Tapi sikit pun tak dirujuk kepada parti. Bila kita bertanya kepada menteri (UMNO), mereka terikat kepada kerahsiaan kerajaan. UMNO hanya dimaklum selepas keputusan dibuat.

Tapi bukankah darurat ini untuk memperkasa langkah basmi pandemik?
Betulkah sebab Covid? Jika betul darurat ini berfungsi untuk menangani pandemik dan bantu rakyat, gunalah kuasa betul-betul untuk membantu rakyat. Contohnya manfaatkan Ordinan Darurat untuk arahkan bank-bank berikan moratorium kepada semua bukan hanya B40. Ini pula, semalam (1 Jun) Menteri Kewangan kata beliau tiada kuasa. Jadi apa perlunya ordinan darurat?

Jadi Datuk rasa darurat ini untuk apa sebenarnya?
Persepsi umum kini melihatnya hanya sebagai senjata politik. Tapi kalau nak tanya adakah untuk memanjangkan hayat politik PN, yang itu kena tanya mereka lah (tertawa).

TIADA MAJLIS PRESIDEN AKIBATKAN HURU-HARA
Susulan terlalu menekan Bersatu, ada melihat UMNO nak pecah belahkan solidariti blok konservatif?
Bila kita tubuhkan kerajaan ini, pasak-pasak penting yang menjadi asas kepada kerukunan kerajaan campuran sewajarnya dibentuk atau dibangunkan terlebih dahulu. Apatah lagi melibatkan gabungan longar pelbagai parti-parti politik yang bersepakat untuk membentuk kerajaan campuran, bukan seperti kerajaan Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH). BN adalah satu gabungan yang rasmi. PH adalah gabungan yang rasmi. Tetapi yang membentuk kerajaan selepas PH tumbang, bukan mewakili parti-parti yang bergabung secara rasmi. Sebaliknya hanyalah gabungan ahli-ahli Parlimen yang bersetuju untuk membentuk sebuah kerajaan. Maknanya kalau kita hendak memastikan tunjang ini kuat, pertamanya kita kena mewujudkan platform rasmi yang mengambil kira pandangan semua parti-parti tersebut.

Platform macam mana?
Contohnya Majlis Presiden. Itu yang kita minta. Majlis Presiden mesti dibentuk. Kerana ini bukan kerajaan one man show. Perdana Menteri itu bukan Pengerusi bagi semua parti-parti politik. Dia bukan presiden atau pengerusi kepada BN, PAS, GPS Sarawak dan parti-parti Sabah. Dia adalah Presiden Bersatu. PM tidak ada kuasa yang kuat. Jadi sudah tentulah asas utama untuk bentuk kerajaan campuran ini, adalah untuk meraikan kepelbagaian ini. Meraikan kepelbagaian ini dengan membentuk Majlis Presiden. Apa juga dasar, polisi, hatta dalam pembentukan kabinet, kita tidak boleh memberikan kuasa semutlaknya kepada PM tetapi wajar dirundingi dan dirujuk kepada Presiden Parti-Parti Politik yang bergabung.

Pasak yang kedua pula?
Pasak yang kedua ialah memupuk kesefahaman berteraskan nilai kepercayaan dan kejujuran dalam membentuk perkongsian ini. Maksudnya ialah asas kejayaan satu-satu gagasan permuafakatan adalah nilai kepercayaan, keikhlasan dan kejujuran. Dan ini harus dizahirkan dan diterjemahkan dalam tindakan. Tidak boleh ada nilai ‘superiority complex’ dan tidak sesekali meminggirkan mana-mana pihak dalam membuat keputusan. Apa juga keadaan, terutama dalam membuat keputusan penting untuk negara, apatah lagi keputusan yang melibatkan rakyat dan memberi kesan pada parti. Tapi ini tidak berlaku.

TAK IKHLAS BERGABUNG
Kenapa tak berlaku?
Contohnya pendaftaran parti Perikatan Nasional (PN). Pembentukan PN, Tan Sri Muhyiddin sedikit pun tidak mengambil kira pendirian UMNO dan BN. Sejak dari awal kita dah nyatakan pendirian tidak bersetuju untuk mendaftarkan PN sebagi sebuah parti. Kita hanya setuju membentuk kerajaan bersama sehingga PRU. Tetapi bukan tubuh parti. Jika ditubuhkan sebagai parti akan meleburkan identiti BN. Tetapi dalam diam-diam, ditubuhnya Protem Komiti (Jawatankuasa Penaja). Sudahlah tidak memaklumkan kepada UMNO, lebih mengguris perasaan apabila secara senyap-senyap tarik pula parti komponen kita. Pujuk MCA, pujuk MIC. Peringkat awal MIC pun sudah terjebak. Apakah ini kejujuran? Kalau mereka ikhlas sebagai rakan kongsi dalam kerajaan tak boleh tikam belakang rakan.

WANG UMNO
Ada bukti lain Bersatu tak ikhlas dalam gabungan?
Tan Sri Muhyiddin selalu kata dia tak campur dalam urusan mahkamah. Mahkamah tinggi sudah pun buat keputusan bahawa wang-wang dalam akaun UMNO tidak ada kaitan dengan 1MDB, akaun hendaklah dinyahbeku (unfreezed). Tapi kenapa peguam negara merayu di mahkamah rayuan? Kita tahu peguam negara di bawah Jabatan Perdana Menteri. Mahkamah Tinggi sudah pun buat keputusan. Jadi kenapa masih nak buat permohonan rayuan lagi?

WARLORD
Tindakan Datuk Seri Tajuddin semasa sidang media Prasarana, dikritik sebagai cerminan sikap warlord dalam parti. Komen Datuk?
Komen saya kena tanya Tan Sri Muhyiddin. Beliau yang melantik (Datuk Seri Tajuddin), dan pelantikan ini, selain yang lain-lain, tidak pernah dirujuk kepada parti.

Maknanya semua pelantikan tidak dirujuk?
Ya, kedudukan dalam dalam kabinet, portfolio kementerian dan GLC. Seperti dalam audio tular yang dikaitkan dengan PM dahulu ‘Scheme of thing’. Beri jawatan, beri itu, beri ini kononnya boleh membeli kesetiaan.

JAJARAN POLITIK BAHARU
Selesa dengan penjajaran baru demi kestabilan politik hari ini?
Pertama sekali, kena faham bahawa UMNO ada sistem dan peraturan. Keputusan-keputusan penting yang melibatkan dasar tidak ditentukan oleh individu, hatta presiden parti sekalipun. Tidak macam sesetengah parti yang nilai wala’ itu ada pada individu, bila imam cakap apa, makmum kena ikut. Kita ada konsep wala’ juga dalam UMNO tapi kesetiaan kita pada institusi dan idealisme parti. Bukan pada individu. Kita tertakluk kepada Perlembagaan parti. Institusi harus merujuk kepada pertama, Perhimpunan Agung UMNO(PAU) sebagai platform tertinggi yang menentukan dasar parti, dan jika tiada PAU, Majlis kerja Tertinggi (MKT) menjadi platform kedua tertinggi dalam menentukan dasar-dasar parti. Sebab itu sebarang keputusan penting yang melibatkan dasar termasuk soal jajaran atau kerjasama politik, jika ada sekalipun, mesti diputuskan oleh dua platform ini.

Mutakhir ini, UMNO ada buat beberapa program dengan DAP, sampai dilihat ada agenda halus nak bekerjasama dengan musuh tradisi itu. Komen?
Kita ada lebih 23,000 cawangan, 191 bahagian. Takkanlah satu program di Bangi itu boleh dianggap mewakili 23,000 cawangan dan 191 bahagian yang telahpun membuat ketetapan dalam mesyuarat perwakilan dan Perhimpunan Agung bahawa ‘No DAP, No PKR’. Jika UMNO nak ubah ketetapan ini bukan sahaja harus kembali kepada akar umbi tapi akan mengambil masa yang lama untuk mendapatkan sokongan dan membina orientasi pemikiran baharu sebagaimana pengalaman kita dengan Pas. Maksudnya, proses mewujudkan kesefahaman dengan musuh politik berpuluh tahun seperti Pas pun melalui proses panjang secara organik daripada bawah dengan lebih 800 program di seluruh negara selama lebih setahun sebelum dimeterai Piagam Muafakat Nasional 14 September 2019. Inikan pula nak kerjasama dengan DAP mahupun PKR yang begitu tebal penolakan di peringkat akar umbi. Yang pasti tidak ada sebarang kerjasama kerana tidak pernah kita bincangkan dalam MKT, Biro Politik hatta Jawatankuasa pengurusan. Ini semua platform penting melibatkan kepimpinan tertinggi parti, apatah lagi di PAU. Keramat UMNO ini terletak kepada akar umbi. Yang mempertahankan UMNO ketika jatuh juga akar umbi. Mana mungkin UMNO menafikan begitu sahaja suara akar umbi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×