11A SPM: Nur Iman anggap PdPR sebagai cabaran - Utusan Malaysia

11A SPM: Nur Iman anggap PdPR sebagai cabaran

Nur Iman (kanan) bersama ahli keluarga. Turut sama, ayah, Rosmidi Ibrahim dan ibu, Nadra Affida Mohd. Nasir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SPM Batch Covid-19.Itu antara gelaran kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang baru menerima keputusan.

Ketika seluruh dunia termasuk Malaysia berusaha memerangi penularan pandemik Covid-19, calon SPM tidak terkecuali bergelut dengan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). Namun di mana ada usaha di situ ada kejayaan.

Nur Iman Batrisyia Rosmidi, 17, membuktikan kejayaan dengan memperoleh 11A.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Naim Lilbanat, Kelantan mengakui PdPR tidak seperti kaedah konvensional yang membolehkan mereka berinteraksi secara terus dan bersua muka dengan guru.

Walaupun rata-rata pelajar menganggapnya sebagai cabaran tetapi dia tidak berputus asa untuk mempraktikkan kaedah baharu ini.

“Saya mengulangkaji kira-kira lima jam sehari tak kira pagi atau malam. Kalau malam saya mula sekitar 10 malam sehingga hingga 2.30 pagi untuk melayari internet mencari soalan-soalan SPM tahun lepas untuk saya ulang kaji.

“Duduk di asrama membolehkan saya habiskan masa bersama rakan-rakan mengulangkaji.

“Setiap kali mengulang kaji saya akan mengumpul soalan yang tidak faham untuk ditanya kepada guru pada keesokannya.

“Bagi memudahkan saya faham dan ingat sesuatu topik itu, saya akan menulis berpuluh-puluh muka surat nota sebagai bahan mengulang kaji,” katanya kepada Utusan Malaysia

Mengopti­mumkan PdPR, namun kadang-kadang masalah capaian tidak dapat dielakkan daripada berlaku.

NUR IMAN BATRISYIA ROSMIDI

“Selain tidak dapat bertanya soalan bersua muka dengan guru, cabaran lain ialah ketinggalan dari segi pelaksanaan eksperimen, khususnya bagi pelajar aliran sains. Ia menyebabkan saya sukar untuk faham sesuatu topik. Pada masa sama latihan juga sukar disiapkan,” ujarnya.

TERTEKAN PKP

Awal PKP, Nur Iman merasakan ia tidak memberi impak besar kerana beranggapan masih boleh belajar di rumah. Namun selepas disambung sehingga beberapa bulan, dia mulai rasa tertekan.

“Di rumah, susah jaga disiplin. Ada masa, rasa malas untuk menyiapkan kerja yang diberikan guru selain banyak gangguan termasuk gajet hingga hilang semangat.

“Tetapi, lepas sekolah dibuka dan kembali ke asrama, semangat mula naik bila melihat rakan-rakan lain gigih belajar,” katanya.

Nur Iman adalah anak kepada pasangan Rosmidi Ibrahim, 53, seorang pengurus bank manakala ibu, Nadra Affida Mohd Nasir, 42, suri rumah.

Berkongsi kegembiraan menerima keputusan SPM baru-baru ini, kata Nur Iman, melihat kegembiraan ibu bapanya ibarat membayar segala penat lelahnya belajar.

“Saya tidak mahu kecewakan mereka. Alhamdulillah, ia membuahkan hasil,” katanya yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Mengenai baik buruk internet, Nur Iman mengingatkan, jangan berlebihan melayari media sosial dan bahan tiada kaitan dengan pelajaran.

“Bagi pelajar sedang melalui PdPR, mula buat persiapan sekarang bagi mengelakkan minda dan badan rasa terlalu penat untuk belajar saat akhir. Jangan seronok sekarang, tetapi seronoklah bila sudah berjaya nanti,” tambahnya.

 

  • Nur Iman Batrisyia Rosmidi
    Umur: 17 tahun
    Sekolah: SMKA Naim Lilbanat, Kelantan
    Keputusan SPM: 11A
    Pencapaian lain: Mewakili Malaysia ke Jepun untuk program Sakura Sciene
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×