Zionis, Palestin dan Andalusia - Utusan Malaysia

Zionis, Palestin dan Andalusia

Tentera zionis Israel sentiasa mencabuli perjanjian gencatan senjata termasuk tindakan mereka menyerang umat Islam yang sedang solat Jumaat di Masjid al-Aqsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kalau kita membaca sejarah, kita akan mengenal sebuah tamadun yang gah lagi menawan di Selatan Sepanyol, yang dahulu terkenal dengan nama Andalusia. Islam bertapak di Iberia ini sejak tahun 718M ketika Dinasti Bani Umayyad yang dipimpin oleh Tariq bin Ziyad dan dibantu oleh Musa bin Nusayr membuka Andalusia.

Dengan terbentuknya Kerajaan Islam di Andalusia, maka saat itulah Islam telah hadir di bumi Eropah dan hidup berdampingan dengan masyarakat Sepanyol yang beragama Katolik. Terkenal dalam sejarah, Kerajaan Islam di Andalusia merupakan salah satu kerajaan yang berjaya dengan rakyatnya yang pelbagai agama dan bangsa.

Dari segi agama; ada tiga agama utama yang hidup secara bersama iaitu Islam, Katolik dan Yahudi. Bangsa pula, ada Arab, Berber (Amazigh), Sepanyol, Portugis, Yahudi dan lain-lain bangsa minoriti.

Impak positif dari kehidupan yang coexistance ini, interaksi antara bangsa dan budaya yang berbeza di dalam sebuah kerajaan yang besar menghasilkan pelbagai tamadun di dalam sejarah manusia. Dari segi perubatan, Andalusia berhasil melahirkan doktor-doktor perubatan terkenal seperti Averroes atau Imam Ibn Rusyd (w. 1198M), seorang ahli falsafah dan pakar perubatan yang terkenal.

Dari segi teknologi, siapa tidak kenal Abbas Ibn Firnas (w. 887M) manusia pertama yang mencipta kaedah terbang yang meninggal di Cordoba. Dalam bidang kebudayaan dan muzik pula, terkenal dengan Abu al-Hasan Ziryab (w. 857M) iaitu seorang ahli bahasa, syair, fesyen, muzik dan sasterawan di Cordoba.

Pelbagai pencapaian telah diraih oleh Kerajaan Islam yang berprinsipkan coexistance ini. Bahkan kehidupan coexistance ini telah termaktub di dalam hadis Baginda SAW iaitu “Barang siapa yang menyakiti kafir dzimmi maka dia benar-benar telah menyakiti ku”. (hadis dengan sanad yang berbeza-beza akan tetapi maknanya sahih mengikut lafaz Imam al-Bukhari).

Sayangnya, ketika kejatuhan Andalusia pada 1492, maka semua umat Islam dan Yahudi diperintahkan untuk keluar dari Andalusia kalau tidak mahu memeluk agama Katolik. Royal Decree Kerajaan Katolik Sepanyol ini telah mengakibatkan ratusan ribu umat Islam dan Yahudi mencari pertolongan dari Kerajaan Islam Maghribi dan Khalifah Uthmaniah di Timur.

Bersyukur ketika itu mereka mendapat perlindungan seperti layaknya warganegara sendiri di tanah orang. Bahkan kaum Yahudi ketika di Maghribi mendapat perlindungan daripada Kerajaan Maghribi sehingga hari ini. Sisa-sisa perumahan lama mereka masih ada pada hari ini. Bahkan mereka dibenarkan membina Sinagog (tempat ibadah Yahudi) yang sehingga hari ini masih kekal dan dijaga di bawah Akta Warisan Dunia.

PENGALAMAN PAHIT

Pengalaman pahit umat Islam yang secara fakta sejarahnya dikongsi bersama kaum Yahudi ini sepatutnya menjadi fakta sejarah bahawa Islam tidak pernah ada masalah untuk coexistance, hidup bersama sebagai masyarakat yang menerima kepelbagaian.

Justeru amat menghairankan melihat bagaimana perangai kaum Zionis Israel yang menjadi pendatang di tanah Palestin lalu menjajah, membunuh, mengusir, merampas, menganiaya tanah rakyat Palestin yang telah mereka diami sejak berkurun aman damai bersama-sama dengan masyarakat Kristian, Yahudi dan lain-lain penduduk Palestin.

Melihat kenyataan pahit ini, masyarakat dunia sepatutnya sedar bahawa Islam bukanlah agama yang tidak menerima perbezaan dan tidak menerima coexistance.  Bahkan Islam ialah agama rahmah yang ramah dan bertoleransi.

Justeru yang menyedihkan ialah sikap Zionis Yahudi, yang tidak mengenang jasa umat Islam ketika peristiwa reconquista apabila umat Islamlah yang membuka tangan untuk menerima mereka di Maghribi dan sekitarnya, serta berkongsi tanah di bumi Islam.

Ketika puak Yahudi menguasai tanah Palestin hari ini, mereka bertindak melanggar hak-hak dasar asasi manusia. Bagaimana tidak? Kelompok peneroka haram Zionis selalu berusaha merampas tanah dan rumah penduduk Palestin. Ketika tiada sengketa, maka kerajaan haram Zionis Israel pula menggunakan mahkamah Israel untuk mengusir rakyat Palestin yang ditindas.

Ini tidak jauh dengan apa yang terjadi kepada umat Islam di Andalusia dulu. Bezanya, kaum Kristian pada abad ini lebih rasional dan menghormati hak sebagai manusia seperti hak menduduki tanah yang dimiliki oleh mereka dibandingkan Zionis yang berkali-kali melanggar hak penduduk Palestin tidak kira agama; Islam atau Kristian.

Lebih memilukan apabila saudara seislam di belahan dunia tidak bersatu atau suara mereka tidak bertaring kerana tiada persetujuan yang tegas dan disegani. Maka salah satu cara yang terbaik adalah menunjukkan kepada dunia bahawa Islam adalah agama yang menjunjung tinggi coexistance.

Tanah suci al-Quds wajib dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Kalau tidak dipertahankan, dikhuatiri puak Zionis akan mengambil tanah al-Quds dan menafikan hak umat Islam yang sudah 1400 tahun beribadah di tanah suci ketiga selain Mekah dan Madinah.

Oleh itu, kesedaran dari seluruh negara berpenduduk majoriti Islam perlu bersatu selain melakukan usaha-usaha untuk menolak tindakan Zionis yang zalim ini. Kalau Republik Ireland mampu meluluskan Occupied Territories Bill tahun 2018 yang akan melarang dan menjenayahkan segala ‘perdagangan dan bantuan ekonomi pada wilayah yang dijajah oleh Israel dan dihukum haram oleh undang-undang internasional’, mengapa pemimpin-pemimpin Islam tidak dapat bersatu untuk memboikot rejim Zionis?

Akan lebih terjamin kalau seluruh negara Islam bersatu dan menuntut untuk meletakkan pasukan keamanan di bawah nama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan menjaga seluruh tanah Palestin daripada perbuatan khianat Zionis yang cuba mencuri tanah-tanah warga Palestin.

Rampasan secara haram oleh Zionis sebanyak 21 kilometer persegi tidak boleh ditoleransi oleh mana-mana bangsa di dunia ini. Walaupun gencatan senjata sudah dicapai, tapi siapa yang akan jamin Zionis tidak mencuri lagi tanah rakyat Palestin?

  • DR. Ayman al-Akiti, Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama UIAM dan Felo Kehormat IKIM

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN