Yang klasik lebih bernostalgia - Utusan Malaysia

Yang klasik lebih bernostalgia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Masuk saja musim perayaan Aidilfitri, antara yang menyuntik kemeriahannya sudah tentulah lagu-lagu raya yang malar segar. Setiap kali lagu sebegini berkumandang, pastinya anak-anak muda di perantauan teringat kepada ibu ayah nun jauh di desa, dan begitulah juga halnya dengan ibu dan ayah yang ternanti-nanti kepulangan si anak.
Apa formula orang dulu buat lagu, sampai kekal relevan ke hari ini? Di mana kekuatan lagu malar segar ini, dan sejauh mana ia akan kekal terpahat di minda dan meniti di bibir?
Pada Aidilfitri kali ini, Mingguan Malaysia membawakan dua tokoh penyanyi malar segar yang lagunya sentiasa tersemat dalam sanubari masyarakat. Mereka ialah biduan Hail Amir, 66 serta biduanita Junainah M. Amin, 68 yang masing-masing popular dengan lagu ‘Seloka Hari Raya’ dan ‘Suasana Riang di Hari Raya’.
Ia disertai wartawan Fahmi Faiz, Aida Rizmariza Kamaruddin serta ROSHIHAN ANNUAR YUB dan dibantu jurugambar FARIZ RUSADIO.

MINGGUAN: Perkembangan terkini abang?
HAIL AMIR: Alhamdulillah, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Mingguan Malaysia kerana memberi peluang saya ditemu bual. Bercakap soal perkembangan terkini, dalam bulan Ramadan lalu, saya banyak terima undangan persembahan di majlis berbuka puasa. Dari segi kesihatan, alhamdulillah saya masih dikurniakan kesihatan baik dan boleh meneruskan aktiviti seharian seperti kelazimannya.

Abang masih aktif berseni?
Masih aktif, malah saya bersama rakan artis yang seangkatan, kami terima banyak undangan persembahan, banyak buat show menyanyi. Syukur penerimaan masyarakat itu masih menghargai seniman veteran macam kami, dan saya amat berterima kasih di atas sokongan peminat.

Ada perancangan buat album baru?
Saya ingat, tiadalah. Sebab yang (lagu) lama-lama pun tak habis didengar lagi (tertawa).

INDUSTRI HARI INI
Pandangan tentang industri seni nyanyian tanah air hari ini?
Banyak yang saya nampak secara kasar, memang tiada yang bertanggungjawab menjaga keadaan dan kebajikan penyanyi dan pelakon. Maksudnya, memang tiada orang di belakang mereka yang boleh menggalas tanggungjawab jaga artis.

Maksud abang?
Royalti-royalti dan segala bayaran yang sepatutnya dari dulu sudah diagihkan, sampai sekarang tiada. Itulah cabarannya. Maksudnya inilah keadaan yang menimpa golongan artis veteran macam abang, hal ehwal kebajikan kami memang tiada orang di belakang yang benar-benar serius ambil tahu.

LAGU RAYA SEKARANG JANGAN MELAMPAU!
Pengkritik berpandangan, lagu raya moden sekarang ini meloyakan tekak, tiada langsung penjiwaan Aidilfitri. Komen abang?
Ia bergantung kepada pandangan masing-masing. Tapi bagi saya, kalau ada usaha hendak buat balik (lagu hari raya) yang lebih baik berbanding dahulu kala, itu memang tiada masalah. Cuma jangan melampaulah, nanti jadi tak sedap. Kita hendak lagu yang catchy, kalau orang dengar mereka akan cakap, “oh sedapnya lagu ini”. Boleh buat balik lagu baru, cuma kena pastikan ia sedap dan orang suka.
Abang dengar tak lagu-lagu baru terutama lagu hari raya moden sekarang?
Lagu-lagu baru, tak pernah saya dengar. Saya buka Radio Klasik, tiada pula didendangkan lagu-lagu raya baru. Dan kebetulan saya memang kurang mengikuti perkembangan lagu-lagu baru sekarang, tiada pun. Saya mendengar Radio Klasik ini, saya tak pernah tutup, sampai tidur pun stesen itu terpasang (tertawa). Sebabnya pada saya yang klasik ini lebih bernostalgia.

FORMULA MALAR SEGAR
Apa formula orang dulu boleh hasilkan lagu yang malar segar sampai sekarang?
Kalau bercakap pasal Seloka Hari Raya yang itu, pertama yang mustahak adalah melodi. Maksudnya melodi harus catchy, menarik dan sedap didengar. Kedua, liriknya mestilah bagus, macam lagu Seloka Hari Raya ini, ada cerita dalam lagu itu hendak pergi rumah bonda si gadis. Dia sama suruh kita ikut ke rumah dia, ini semua saya rasa formula menghasilkan lagu yang catchy.

Selain catchy, apa lagi formula lain?
Lazimnya ada dua keadaan kalau hendak buat lagu raya. Ada yang melihat hari raya sebagai hari keriangan yang penuh riang ria, maka lirik dan rentaknya akan ikut sama. Ada pula yang melihat lebaran itu dari sudut kesedihan, penuh kepiluan, jadi dia akan buat lagu mendayu- Bila dengar lagu macam itu, jadi sedih betul tak? Itulah. Yang ketiga, pengisian maksud dalam lirik itu pun harus diberi perhatian dan dibuat betul-betul.

Macam lagu Seloka Hari Raya, siapa penulis liriknya?
Chuari Selamat yang di RTM dulu. Banyak lirik saya, Seloka Hari Raya, Wajah Kesayangan Hamba dia yang tulis. Macam Seloka Hari Raya, Chuari tulis lirik, lepas itu Dr. Ahmad Nawab jadi komposer dengan lagu dan muziknya, jadi saya terhutang budi kepada kedua mereka ini.

BUKAN WANG SEMATA-MATA
Ada berpendapat orang dulu-dulu lebih ikhlas berkarya, bukan atas dorongan wang ringgit semata-mata?
Ya, betul itu. Orang dulu disiplin tinggi, kalau janji sejam awal dia sudah sampai. Kemudian pandai hormat orang, tak menyombong diri. Pada masa sama, bukan pentingkan wang semata-mata, sebaliknya memang dia buat dari hati.

SELOKA HARI RAYA
Sejauh mana Seloka Hari Raya menaikkan nama abang?
Setakat ini memberi kesan kepada saya, ada stesen sudah rakam tiga rancangan dengan saya baru-baru ini, semua sebab lagu itu. Lagu ini tak tahu saya hendak cakap, tapi ia sungguh bermakna bagi saya. Malah saya rasa, sesiapa yang mendengarnya pun akan rasa yang sama. Catchy pun ada, liriknya menarik dan ada cerita, yang mana Uji Rashid jemput saya dalam lagu itu ke rumahnya untuk beraya, jadi terserlah kemesraan di situ.
Macam mana abang boleh dipilih nyanyikan lagu itu, sedangkan ramai penyanyi lain waktu itu?
Kalau penulis liriknya, Chuari Selamat, dia memang sentiasa cari saya sejak dulu lagi. Kalau lagu pula, tentulah Ahmad Nawab, dia cari saya. Kemudian lirik ini, mesti Chuari akan cari saya.

Berapa lama ambil masa siapkan lirik dan gubah lagu ini?
Sangat cepat, kita masuk studio sahaja tengok lirik, sudah menyanyi terus. Tapi Chuari ini, dia menulis lirik sangat cepat, memang sangat berbakat.

Masa mula-mula tengok lirik itu, apa reaksi abang?
Saya tengok lirik itu, memang senyum sebab ia sangat harmoni dan menarik, tak ada komen tak baik masa tengok, saya cakap very good. Kena dengan suara saya melodinya, kemudian duet pun sedap dengan Uji Rashid, lagu itu alhamdulillah buat saya naik.

Ucapan abang sempena hari raya?
Terima kasih banyak wartawan Mingguan Malaysia yang lain kerana sudi buat temu bual eksklusif dengan saya hari ini, dan kepada semua peminat-peminat yang berkesempatan membaca akhbar ini, saya mengucapkan selamat hari raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

 

JUNAINAH M. AMIN

Ramai tahu lagu, siapa penyanyi?

MINGGUAN MALAYSIA: Perkembangan terkini Kak Ju?
Junainah: Banyak mengikuti, program yang dianjurkan Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM). Selebihnya saya banyak menghabiskan masa di rumah sahaja. Sepanjang pandemik ini memang hampir tiada langsung jemputan persembahan. Buat masa saya saya tinggal bersama anak di Kuala Lumpur. Sudah hampir tiga bulan tidak pulang ke Johor Bahru. Rindu sebenarnya dekat rumah. Kalau di sana boleh turun ke tanah. Kalau duduk pangsapuri memang ke depan ke belakang sahajalah.

Suasana Riang di Hari Raya masih menjadi lagu pilihan ramai, apa perasaan Kak Ju?
Ikutkan saya ada 100 lagu lain yang dinyanyikan tetapi lagu ini mendahului semua. Memang tidak dinafikan lagu ini menjadi pilihan tambah pula pada musim perayaan. Kadang-kadang bila berjalan di pasar raya lagu ini berkumandang, rasa malu pun ada sebab ada rakan yang tegur ini lagu saya. Tetapi saya tetap bersyukur untuk diberikan peluang menyanyikan lagu ini. Sebab bukan mudah pada waktu saya dahulu penyanyi diberikan peluang untuk mempunyai lagu raya.

Maksudnya?
Zaman dahulu lagu raya tidak banyak dikeluarkan, jadi untuk menjadi penyanyi lagu raya akan dipilih. Pada waktu itu saya baru sahaja jadi penyanyi, tidak silap baru berumur 20 tahun. Jadi bila dipilih menyanyikan lagu raya oleh Kassim Masdor, ia satu penghargaan. Tetapi pada waktu itu, tidak fikir lagu ini akan terus menjadi pilihan ramai sehingga kini.

TENGGELAM DEK LAGU
Benarkah populariti lagu ini menenggelamkan diri Kak Ju sendiri?
Saya tidak nafikan memang itu yang berlaku. Jadi bila saya buat persembahan baru ada yang tahu saya penyanyi asal lagu tersebut. Tidak terasa hati pun.

Mengapa lagu raya dahulu lebih dekat di hati pendengar?
Bagi saya mungkin kerana lagu-lagunya begitu ikhlas, kalau kita dengar dan memahami liriknya boleh menangis. Macam saya pula diberikan peluang untuk menyanyikan lagu yang gembira. Jadi memang lagu itu menggambarkan suasana hari raya yang disambut ketika saya remaja. Ketika itu rutinnya sama, pakai baju baru dan lebih seronok dapat duit raya. Walaupun hanya 50 sen tetapi nilainya besar.

Selain menyanyi Kak Ju juga seorang pelakon, kenapa tidak teruskan kerjaya lakonan?
Bukan senang mahu jadi pelakon, ia melibatkan banyak orang. Jadi soal masa memang saya tidak boleh berkompromi, maksudnya berlakon ini prosesnya banyak memakan masa. Orang dahulu ini memang sangat disiplin soal masa, macam saya sendiri memang akan pastikan datang lebih awal. Macam menyanyi tidak ada masalah, selalunya ikut masa saya sendiri tidak libatkan orang lain. Jadi saya lebih selesa jadi penyanyi sahaja sampai sekarang.

LAGI PAHIT LAGI BAIK
Masih sihat dan cantik sampai sekarang, apa rahsia Kak Ju?
Ini kurniaan Allah, saya bersyukur di usia 68 tahun ini saya diberikan kesihatan yang baik. Kecantikan sebenarnya datang dari dalam, saya suka bersikap positif. Semua orang ada masalah, tetapi memiliki fikiran yang sihat adalah jawapan untuk kehidupan yang lebih baik. Selain itu, saya juga sangat menjaga pemakanan. Kurang makan nasi, selalunya seminggu dua kali sahaja makan nasi. Ulam kesukaan saya peria katak, lebih pahit lebih elok. Untuk suara pula saya hanya memastikan mempunyai rehat yang cukup sahaja. Tiada rahsia lain.

Kak Ju berasal dari Singapura, masih ada lagi keluarga di sana?
Saya masih mempunyai ibu dan adik di sana. Kalau balik Singapura memang akan ke rumah adik. Selepas memulakan karier sebagai penyanyi, memang saya memilih tinggal di Malaysia. Sudah hampir 50 tahun bermastautin di sini.

Sepanjang pandemik berada lama tidak pulang ke sana?
Hampir dua tahun juga, memang sepanjang sempadan ditutup tidak dapat melawat keluarga di sana. Jadi kalau rindu dengan ibu hanya boleh berhubung melalui panggilan telefon. Di Singapura keluarga saya tinggal di “Paris” (ketawa), Pasir Ris sebenarnya tapi orang di sana panggil Paris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×