Sungguh indah berpuasa Ramadan bersama keluarga, bersama-sama dalam menjalani ibadah, bersahur bersama, berbuka bersama dan menunaikan solat tarawih bersama dan lain-lain.
Kebersamaan dalam beribadah akan menambah semangat yang lebih bagi kita. Lebih-lebih lagi ada sebahagian dari kita yang bekerja, yang mana ia memberi peluang untuk berjumpa, menambahkan ikatan agar hubungan silaturrahim semakin erat di antara keluarga dan kerabat. Kebersamaan ini dapat dirai di saat sahur bersama dan berbuka bersama.
Bagi keluarga Rasulullah SAW, terdapat tauladan yang baik untuk dijadikan sebagai contoh dalam kehidupan keluarga kita dalam menyambut Ramadan. Baginda membangunkan keluarganya, anak dan isteri baginda untuk bangun malam.
Saidatina Aisyah R.A meriwayatkan: “Sesungguhnya Nabi SAW apabila masuk 10 akhir Ramadan baginda akan mengetatkan kainnya (simbol untuk lebih memperbanyakkan ibadah), menghidupkan malamnya dan membangunkan keluarganya” (Riwayat Bukhari)
Tidak hanya isteri-isteri Baginda sahaja yang dikejutkan akan tetapi puteri Baginda turut dikejutkan untuk bangun malam. Diriwayatkan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa Rasulullah SAW mengetuk pintu rumah Saidatina Fathima dan Saidina Ali lalu bersabda: Tidakkah kamu berdua boleh bangun dan solat? (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Sifat mengambil peluang untuk meraih pahala dalam beribadah amat digalakkan. Peluang ini harus digarap dengan lebih aktif lagi di bulan Ramadan. Oleh itu, kita digalakkan untuk mencari lailatul qadar di 10 malam terakhir Ramadan.
Diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.ha bahawa Rasulullah SAW apabila masuk 10 akhir dari bulan Ramadan, baginda beribadah lebih dari sebelumnya” (Riwayat Muslim)
Beribadah lebih di 10 akhir kerana di dalamnya ada malam al-qadar. Malam itu disembunyikan waktunya dan ketikanya oleh Allah agar kita mencarinya di setiap saat lebih-lebih lagi dalam 10 akhir Ramadan seperti yang disabdakan oleh Nabi SAW.
Ubadah bin Shomit meriwayatkan: Satu hari Rasulullah akan memberitahu kami tentang lailatul qadar, akan tetapi terjadi perselisihan antara dua orang dari kaum muslimin, lalu Nabi bersabda:
Sesungguhnya aku ingin memberitahu kamu tentang malam al-qadar, tetapi berlaku perselisihan antara fulan dan fulan, maka terangkatlah ia (berita tentang lailatul qadar), aku berharap ada kebaikan di dalamnya, maka carilah ia (lailatul qadar) pada malam kesembilan, tujuh, dan lima (yakni di 10 akhir Ramadan”. (Riwayat Bukhari).
Antara tauladan Ramadan dalam keluarga Rasulullah SAW ialah Baginda tidak beribadah bersendirian namun mengajak keluarganya untuk meraih pahala yang diberikan bagi mereka yang beribadah.
Malah Rasulullah SAW mendoakan kepada lelaki yang menjadi ketua rumah tangga apabila membangunkan isterinya untuk solat malam. Doa Rasulullah SAW:
Semoga Allah merahmati seorang lelaki yang bangun malam untuk solat, lalu mengejutkan isterinya, apabila dia enggan (tidak mahu bangun) maka dipercikkan air ke wajahnya, dan semoga Allah merahmati seorang isteri yang bangun malam untuk solat, lalu dia mengejutkan suaminya, apabila dia enggan maka dia percikkan air di wajahnya. (Riwayat Abu Daud).
Di antara contoh untuk diikuti bersama keluarga adalah solat malam secara berjamaah. Hal ini untuk menzahirkan kepimpinan lelaki sebagai ketua keluarga dan kredibilitinya untuk memimpin dengan menjadi imam dalam solat bersama isterinya.
Rasulullah SAW bersabda: Apabila seorang lelaki membangunkan isterinya di waktu malam, lalu kemudian mereka berdua solat bersama atau masing-masing solat dua rakaat maka Allah SWT akan menggolongkannya dalam golongan ahli zikir baik dari kalangan ahli zikir lelaki atau perempuan. (Riwayat Abu Daud).
Di antara contoh keluarga Rasulullah SAW dalam Ramadan adalah mengajarkan ahli keluarga untuk berdoa. Berdoa itu sendiri adalah ibadah tanpa melihat sama ada doa itu dimakbulkan atau tidak.
Kerana apabila seseorang itu berdoa, maka dia telah memenuhi perintah Allah SWT dalam al-Quran untuk berdoa.
Apabila berdoa seseorang itu akan mendapat salah satu dari tiga perkara, iaitu diberi apa yang diminta, disimpan di akhirat atau dijauhkan bala daripadanya.
Rasulullah SAW bersabda: Tiadalah seorang muslim itu berdoa yang tidak membawa akan dosa atau putus silaturrahim, maka Allah akan memberinya salah satu dari tiga perkara: dimakbulkan dengan segera, disimpan di akhirat atau dijauhkan bala daripadanya. (Riwayat Bukhari dalam kitab Adab al-Mufrad).
Dalam sebuah hadis, Saidatina Aisyah pernah berkata: “Wahai Rasulullah! Apa yang seharusnya engkau beritahu aku apabila aku melihat lailatul qadar, apa yang patut aku ucapkan? Baginda bersabda:
Ucapkanlah, Ya Allah sesungguhnya Engkau Tuhan Maha Pemaaf, dan suka akan sifat maaf, maka maafkanlah aku. (Riwayat Ibnu Majah).
Tauladan Rasulullah SAW sebelum Ramadan pergi meninggalkan kita agar kita mengisi dengan pelbagai ketaatan lebih-lebih lagi malam sepuluh akhir untuk meraih malam al-qadar. Terdapat pesanan dan peringatan Rasulullah SAW dari sabdanya: Barang siapa yang beribadah di malam lailatul qadar maka dia akan diampunkan dosanya. (Hadis Riwayat Bukhari)
Malah Baginda turut memberi peringatan dalam sabdanya: Barang siapa yang terlepas peluang kebaikan pada malam al-qadar, sesungguh dia telah terlepas peluang segala kebaikan. (Riwayat Ibnu Majah).










