Ramadan di Hong Kong - Utusan Malaysia

Ramadan di Hong Kong

Masjid Kowloon terkenal dalam kalangan pelancong Hong Kong.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sama seperti umat Islam di seluruh dunia, 300,000 umat Islam di Hong Kong menjalankan ibadah di bulan suci Ramadan. Sebagai sebuah bandar yang menghargai kepelbagaian, Hong Kong menyediakan banyak pilihan tempat makan dan kedai halal untuk umat Islam dan pelancong tempatan.

Bandar pulau ini juga mempunyai empat masjid besar iaitu Masjid Kowloon, Masjid Al Ammar, Masjid Jamie dan Masjid Chai Wan dan tempat ibadat yang lebih kecil.

Masjid Kowloon
Amalan biasa bagi masyarakat Islam pada Ramadan termasuk berkumpul untuk solat khusus di masjid, berbuka puasa bersama di masjid di mana para jemaah akan membawa makanan dan barang keperluan untuk dikongsi.

Ketua Imam Masjid Kowloon, Muhammad Arshad berkata, pemandangan Ramadan di Hong Kong telah berubah sejak pandemik melanda tahun lalu.
Masjid ditutup selama kira-kira separuh daripada Ramadan pada tahun lepas. Disebabkan langkah-langkah keselamatan dan kesihatan, jemaah dikehendaki menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa solat di masjid.

Muhammad Arshad
“Malah, Ramadan tahun lepas dan tahun ini amat berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya. Walaupun kami masih mengerjakan solat tarawih, langkah-langkah penjarakan fizikal dan keselamatan dilaksanakan.

“Kami tidak menganjurkan perhimpunan bersama untuk berbuka puasa, tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana para jemaah akan membawa makanan dan minuman untuk dikongsi dengan masyarakat.

“Sebelum pendemik melanda, ada perhimpunan setiap malam seramai kira-kira 1,500 hingga 2,000 orang di Masjid Kowloon sahaja, tetapi kini kami hanya solat dengan kakitangan masjid sahaja,” katanya.

Walaupun amalan tertentu telah berubah, Arshad berkata, Ramadan adalah bulan yang menuntut umat Islam untuk bersatu melangkaui batas agama iaitu dengan umat manusia secara keseluruhan.

“Cabaran yang datang dengan pandemik ini telah menyatukan kita semua bersama untuk mempertahankan diri tanpa mengira warna kulit, kepercayaan dan negara.

“Ramadan mengajar kita disiplin, kebertanggungjawapan diri dan menjaga orang lain, jadi tidak ada masa yang lebih baik untuk mempraktikkannya daripada bulan suci ini,” katanya.

Pandemik ini turut memberi kesan kepada kedai makan halal di Hong Kong dan mengubah strategi perniagaan restoran pada bulan Ramadan.

Encik Ma, pemilik Restoran Ma, restoran Cina halal yang popular di Hong Kong. Restoran Ma adalah restoran Cina halal yang popular di kalangan umat Islam; bagi kedua-dua penduduk tempatan dan pelancong.

Daripada mi daging lembu Shanghai dan sup pedas hingga kepada stew daging anak lembu dan pelbagai pilihan dimsum, pelanggan Ma disajikan dengan menu Cina halal yang pelbagai.

Sebelum pandemik, pelanggan perlu membuat pesanan makanan terlebih dahulu apabila ke Restoran Ma untuk iftar.

Pemiliknya, Ma berkata, disebabkan sekatan perjalanan dan masalah kesihatan sekarang, perniagaan menjadi perlahan dan kebanyakan orang berasa lebih selamat untuk makan di rumah.

“Kami mula memberi lebih tumpuan kepada penghantaran melalui pihak ketiga dan pengambilan sendiri kerana pelanggan kami berasa lebih selesa menikmati makanan mereka di tempat persendirian,” katanya.

Bawa pulang Dim sum dari Restoran Ma
Peminat restoran Ma di Sham Shui Po, Anisha Parvin dari Malaysia baru-baru ini memesan dim sum dari Restoran Ma untuk berbuka puasa bersama suami dan dua anaknya.

Sejak berpindah ke Hong Kong 12 tahun yang lalu selepas dia mengahwini suaminya, warganegara Hong Kong, Anisha telah beberapa kali menjalani ibadah Ramadan di Hong Kong, kerana dia tidak dapat pulang ke Malaysia setiap tahun.

Mengimbas masa lalu, Anisha berkata, sebelum pandemik melanda, Masjid Kowloon di Tsim Sha Tsui menyediakan makanan percuma semasa Ramadan.

“Mereka menyediakan bubur panas, samosa dan jus pada waktu berbuka. Ia akan menjadi sangat sesak dan orang ramai pergi lebih awal untuk mengambil makanan mereka.

“Kadang-kadang, kami pergi ke Masjid al Amar di Wan Chai untuk berbuka puasa. Semasa Ramadan, selama 30 hari, mereka menawarkan makanan percuma kepada semua umat Islam berbuka puasa,” katanya.

Anisha dan keluarga biasanya pergi ke Masjid Kowloon untuk solat Aidilfitri.

“Dahulu ada tiga sesi solat disebabkan oleh jemaah yang ramai. Semua umat Islam di Hong Kong akan berada di sini.

“Jadi anda boleh bayangkan orang yang ramai dan semua orang memakai pakaian baharu serta meraikannya di bawah satu bumbung. Saya sangat menikmatinya.” katanya. 

Selain dim sum dari Restoran Ma, Anisha juga sering ke Pusat Kantin Islam di Masjid al Amar untuk menikmati dimsum sebelum berlakunya pandemik. Kini, Anisha dan keluarganya biasanya berbuka puasa di rumah.

“Dalam tempoh 10 tahun yang lalu, ketersediaan makanan dan bahan halal telah meningkat dengan ketara. Sekarang, kami boleh mendapatkan banyak barang halal dari Malaysia atau Indonesia. Jadi kami boleh memasak semuanya dengan mudah di rumah,” katanya.

Anisha dan keluarga biasanya mendapatkan ayam dan daging halal mereka di pasar Tsim Sha Tsui manakala ikan serta sayur-sayuran diperolehi dari pasar Tseung Kwan O atau pasar Sheung Tak. 

Muzzil Khairat di Masjid Kowloon
Seorang lagi rakyat Malaysia, Muzzil Qayyum Khairat berkata, dia sering mengunjungi kedai makanan dan minuman halal di seluruh Hong Kong selepas beliau berpindah ke situ untuk bekerja pada 2019.

Katanya, terdapat beberapa tempat makan halal di seluruh Hong Kong tetapi makanan Cina halal yang terkenal (berbanding dengan makanan halal Turki atau Asia Selatan) adalah Makanan Islam di Bandar Kowloon dan Pusat Kantin Islam di Wan Chai.

“Saya pernah membawa seorang rakan bukan Islam makan di kantin di Wan Chai dan beliau berkata ia antara dim sum yang terbaik di bandar, apatah lagi dengan harga yang sangat berpatutan untuk dim sum,” katanya.

Sebagai seorang yang aktif dan mementingkan kesihatan, Muzzil biasanya memasak makanan sendiri.

“Saya mendapatkan daging halal dari kedai runcit halal di Cheung Sha Wan atau Sham Shui Po yang sering saya kunjungi sejak tahun 2019,” katanya.

Walaupun bahan makanan dan restoran halal mudah diperolehi di seluruh Hong Kong, Anisha and Muzzil masih merindui Malaysia terutama suasana Ramadan dan hari raya bersama keluarga.

Oleh kerana jarak memisahkan, Anisha dan Muzzil sering membuat panggilan video dengan keluarga mereka di Malaysia sepanjang Ramadan dan juga pada hari raya pertama.

Anisha, bersama keluarganya di Hong Kong, biasanya pergi ke Masjid Kowloon untuk solat Raya mereka. “Dahulu terdapat tiga sesi solat disebabkan oleh orang yang ramai. Semua umat Islam di Hong Kong akan berada di sini, jadi anda boleh bayangkan orang yang ramai dan semua orang memakai pakaian baharu serta meraikannya di bawah satu bumbung. Saya sangat menikmatinya,” katanya.

Pelancongan halal sememangnya tumpuan Lembaga Pelancongan Hong Kong (HKTB) yang berusaha mempromosi Hong Kong sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim.

HKTB bekerjasama dengan portal pelancongan Muslim, Have Halal Will Travel (HHWT) untuk meraikan musim perayaan dengan umat Islam seluruh wilayah itu.

Kerjasama ini membabitkan penganjuran pelbagai aktiviti termasuk rancangan masakan secara maya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN