Mukadimah
PELUANG bertemu bual dengan beliau, ibarat membelek ensiklopedia hidup. Namanya bukan sahaja meniti di bibir rakyat tanah air, malah sering mengungguli pentas global dengan sikap tegas, berani dan bertunjangkan semangat Islamis-nasionalis yang tiada tandingan.
Beliau yang dimaksudkan ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad, negarawan unggul pemilik cerita yang sentiasa sarat elemen jatuh bangun dan suka duka. Dalam pertemuan lebih satu jam di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya Selasa lalu, Tun Mahathir menjelaskan sebab mengapa tiada gambar Perdana Menteri keenam serta Perdana Menteri kelapan sebaris dengan Perdana Menteri Malaysia yang lain di galeri ruang lobi yayasan.
“Najib tak dak, Muhyiddin pun tak dak (gelak). Ini bukan saya urus, tapi pejabat yang urus. Dia orang nak buat apa, biar depa. (Lagipun) sini orang bagi banyak gambar saya, orang buat painting pun gambar saya, saya tiada tempat nak gantung,” katanya.
Ikuti wawancara ini, yang merungkai pelbagai persoalan bersama Ahli Parlimen Langkawi itu. Ia disertai wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan MAISARAH SHEIKH RAHIM bersama jurugambar, MOHD. FAISOL MUSTAFA serta juruvideo, MOHD. FIKRI FADZIL.
MINGGUAN: Masih lagi meja-meja penuh dengan buku, Tun setiap hari baca buku?
DR. MAHATHIR: Baca buku, banyak buku orang beri. Ini pun ada orang bagi Founder of Kuala Lumpur.
Tun masih mencatat dalam buku nota kecil kalau pergi mana-mana majlis dan letak dalam poket?
No, saya cakap off the cuff, dengan press pun macam itu. Saya suruh buat ucapan pun off the cuff, saya tak prepare apa pun, tak tahulah betul ke tak betul. Yang tanya ini dari Jepun. Suruh saya cakap setengah jam, dari Turki suruh bercakap setengah jam, lepas itu question and answer dua jam pada bulan puasa. Kering kerongkong.
RAHSIA, STRATEGI HADAPI PRU
Parti Pejuang apa khabar statusnya?
Pertama tak dapat didaftar dan saya dapat maklumat bahawa kerajaan tidak akan daftar Pejuang. Dia kata terang-terang tidak akan daftar Pejuang. Tak ada sebab kerana apa yang dia hendak kita beri, kita ikut semua syarat, tapi kerajaan tak akan daftar. Ini cara kerajaan hendak kurangkan orang yang boleh lawan dengan dia dalam pilihan raya. Jadi kalau boleh kerajaan hendak supaya tiada parti lawan dia dan dia menang tanpa bertanding.
Agaknya, kenapa Perikatan Nasional (PN) takut nak luluskan Pejuang?
Pasal dia (Muhyiddin) takut. Dia punya majoriti dua orang saja, jadi dia sepanjang masa mahu beli orang. Baru ini dia dapat Timbalan Menteri orang yang tak pernah menang pilihan raya dari Sabah. Jadi itulah Muhyiddin punya kerajaan, semua yang masuk Muhyiddin punya kerajaan sebab duit. Nak dapat duit, itu saja. Bukan kata ada perjuangan apa pun.
Jadi apa pilihan yang Pejuang ada menghadapi PRU-15? Akan bergabung dengan parti lain?
Kita tak akan bergabung dengan pembangkang. Mungkin kita ada electoral pact dengan satu dua parti yang sama pendapat dengan kita. Dengan lain, kita tak mahu ikat diri kita parti lawan atau parti kerajaan. Parti lawan ada dia punya masalah, jadi kalau kita ikat dengan dia, kita pun mungkin rugi. Kalau kita pergi sebelah kerajaan pun kalau kita ikat dengan dia mungkin juga dia ada orang tak disukai oleh orang ramai. Jadi kita tak ikat. Kita bebas, kita mungkin ada sikit kerjasama dengan parti-parti yang tidak sebelah ini atau sebelah itu.
Adakah bermaksud dengan parti Warisan Sabah?
Parti Warisan, atau Parti muda, tapi Muda pun (tak lulus pendaftaran) okey tak apa, kalau kita tak didaftarkan pun kita ada cara untuk hendak bertanding juga.
Cara apa yang dimaksudkan?
Kita tak boleh ceritalah, kalau cerita pada you, you cerita pada orang lain, orang lain pula tahu. Itu secret kitalah.
DIREKRUT BERSATU
Ada cakap-cakap, satu dua pemimpin Bersatu jumpa Tun. Kemungkinan untuk ajak Tun menyertai PN dalam PRU-15?
Sebenarnya ajak saya masuk Bersatu, tapi saya juga hendak mereka keluar dari Bersatu. Join kami, pasal ini bekas orang Bersatu sama-sama dengan saya. Mereka pilih untuk sokong Muhyiddin pasal dapat jadi menteri. Bila kita cakap Bersatu akan kalah dalam pilihan raya pasal dalam pilihan raya UMNO tak akan sokong Bersatu. UMNO akan berlawan dengan Bersatu. Jadi kemungkinan Bersatu dipilih, susah dan sudah tentu Muhyiddin tak akan jadi PM. Pasal yang mahu Muhyiddin jadi PM kerana dulu Najib hendak guna Muhyiddin supaya tarik keluar daripada PH. Rewardnya adalah beri jawatan.
Tapi bukankah PN ini kerajaan Melayu-Islam?
Bila nak ada pilihan raya dia tak nak beri jawatan, dia mahu ambil balik. Jadi UMNO masih kuat walaupun pecah empat sekarang ini. Jadi Muhyiddin jadi PM itu pun will end at the end of this term. Jadi saya kata kepada orang Bersatu, awak digunakan dulu oleh Najib kononnya mahu dirikan kerajaan Melayu Islam. Tapi ini bukan kerajaan Melayu Islam. Kerajaan ini kalau orang Cina India tidak sokong, maka jatuh, pasal dia cuma majoriti dua orang (tambah) yang Cina India jumlah semua lapan orang. Kalau lapan orang ini berhenti, jatuh kerajaan Melayu Islam ini. Jadi kerajaan Melayu Islam apa?
BERSATU AKAN KALAH?
Jadi apa kemungkinan terhadap Bersatu dalam pilihan raya akan datang?
Dia boleh jatuh dan boleh jatuh kalau kluster mahkamah ini masuk penjara enam orang, jatuhlah kerajaan ini pasal sikit sangat. Jadi you keluar dari PH, tak dapat tubuh sebuah parti yang kuat. Cuma dua majoriti saja. Jadi apa yang akan berlaku dalam pilihan raya akan datang, Bersatu akan kalah. Muhyiddin tak akan jadi PM kalau pun dia menang. Pasal orang tak bergantung kepada Muhyiddin untuk diri kerajaan. Kalaulah mereka buat parti kerajaan memang dia tak beri kepada Muhyiddin, jadi Muhyiddin punya term sebagai PM tamat bila pilihan raya diadakan.
Jadi apa pesan Tun kepada broker Bersatu yang cuba hendak rekrut?
Jadi, saya kata kepada mereka dalam keadaan yang mana Bersatu akan kalah dalam PRU, tak akan diri kerajaan dan tak akan jadi PM, balik lah kepada kami. Pejuang ini bekas Bersatu. Mereka jawab dia dapat gaji RM70,000 sebulan, dia kata kalau kita boleh bagi gaji RM70,000 sebulan, dia roll over. Jadi, soal pasal duit sahaja. Pasal semangat tidak ada. Yang ada semangat tak join Bersatu. Bersatu ini dia menang hari itu 13 kerusi. Satu mati, tinggal 12. Daripada 12 itu, enam orang pilih Muhyiddin, enam orang pilih saya. Orang yang pilih saya ini tahu dia tak akan dapat apa-apa.
Bila broker ini jumpa Tun?
Yang jumpa saya ini bukan secara direct. Dalam dua, tiga bulan baru ini.
TENTANG ANWAR IBRAHIM
Anwar ada cubaan rekrut Tun?
Anwar tak. Anwar tolak saya sama sekali. Apabila PH jatuh, kita cuba hendak (bersama) balik. Kita ingat kerjasama antara baki Bersatu dan PH ini dan tiga parti boleh juga kita dapat cukup bilang. Tapi Anwar tolak saya sama sekali. Jadi saya kata tak apalah kita pergi enam bulan saja. Pun tak mahu, dia tak mahu. Tapi dia kata saya tolak dia, sebenarnya dia tolak saya, bukan saya tolak dia. Saya sanggup kerjasama dengan dia. Tapi kalau dia masuk, saya tak masuk, dia tak boleh menang pasal orang Melayu tak sokong.
Tun maksudkan Anwar tolak Tun itu untuk persediaan PRU-15?
Bukan, pada masa itu kita harap kita boleh dapat majoriti. Kalau PH iaitu Keadilan, Amanah dan DAP campur baki Bersatu dan baki Bersatu dapat tarik beberapa wakil rakyat Melayu, kita boleh dapat cukup bilangan untuk ganti Muhyiddin punya parti. Jadi dia tak mahu.
Bila percaturan ini berlaku?
Waktu awal bila Muhyiddin sudah jadi kerajaan. Pasal kita harap pada masa itu dalam Dewan (Rakyat) kita boleh tunjuk kita ada majoriti. Bila kita tunjuk itu, Muhyiddin akan kalah. Masa itu bolehlah pasal ada Parlimen. Lepas itu pihak Yang di-Pertuan Agong pilih Muhyiddin, bermakna tolak saya. Jadi Muhyiddin lah jadi (PM), bukan dia ada majoriti.
BUKAN LAME DUCK PRIME MINISTER
Mungkin Anwar tidak lagi percaya Tun pasal Tun kerap berjanji hendak beri dia jadi PM?
Itu gambaran dialah, tapi janji kita adalah selepas saya (jadi PM), Anwar. Itu perjanjian kita dan saya telah beritahu saya perlu masa untuk betulkan segala kesalahan Najib. Saya kata lepas mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), saya letak jawatan, tapi saya tak bagi time. Pasal kalau bagi time bermakna saya jadi lame duck Prime Minister, orang tak ikut apa yang saya suruh. Jadi, saya kata lepas APEC, tapi belum sampai APEC perkara ini berlaku dan saya terpaksa letak jawatan pasal PH sudah kalah. PH tak jadi kerajaan, saya tak jadi PM.
Kenapa Tun letak jawatan PM-7?
Yang menyebabkan saya letak jawatan, pasal saya kecewa dengan Bersatu. Saya minta Bersatu jangan buat keputusan keluar lagi. Nanti dulu kita tengok keadaan, lepas itu kalau kita nampak PH belot, kita keluar lah. Tapi mereka tolak saya bulat-bulat. Mereka sokong Muhyiddin hendak keluar dari PH hari ini juga.
SAYA BUKAN SUPERMAN
Ada berpandangan, semua percaturan termasuk babitkan pelantikan Muhyiddin sebagai PM, dirancang di belakang tabir oleh Tun?
Tak betul. Ada orang yang kata semua ini dirancang oleh superman. Dr. Mahathir buat rancangan bagi orang itu jatuh dan dia berhenti, ini semua karut. Saya pun jadi victim tindakan dia orang, dia orang nak buat kerajaan baru kalau boleh saya juga PM. Ditawar pada saya, tapi saya tolak pasal saya kata saya tidak boleh kerjasama dengan Najib. Muhyiddin kata dia boleh. Bila dia kata boleh, saya kata you ambillah. Lagipun kita khianati pengundi kita yang undi kita supaya jatuhkan Najib, sekarang ini kita hidupkan Najib. Itu khianati pengundi. Tak boleh, saya tidak gamaklah macam itu.
Adakah kemelut politik sekarang hanya boleh diselesaikan melalui PRU-15?
Saya fikir PRU-15 ini tidak menyelesaikan masalah. Kita dapati banyak parti bertanding. Semua parti kecil-kecil belaka. Tidak ada dominan parti. Jadi apa yang berlaku dalam PRU-15 ini, lapan parti akan bertanding. Masing-masing akan dapat kecil-kecil tak cukup. Ada yang dapat 30, 50, 15, masing-masing not dominant. Jadi bila not dominant, yang dapat terbanyak berhak untuk mendirikan kerajaan minoriti.
Tapi kerajaan minoriti tak kekal, dia nak kena cari kawan. Bila nak jadi kawan, dia cari parti lain yang akan menang akan ditubuh satu gabungan very loose. Post election punya gabungan, pre election lain. Bila kita buat BN dulu kita sudah janji tolong menolong. Tapi ini tidak. Bila dia hendak buat new coalition, dia terpaksa tawar itu kepada orang ini bagi itu ini, dan kedudukan kerajaan tidak akan stabil, pasal mana-mana satu parti tarik diri, jatuh. Jadi itulah yang akan jadi dalam PRU-15.
UMNO PECAH EMPAT
UMNO pecah berapa sekarang?
Pecah empat. Satu sudah dalam Bersatu, satu lagi ada penyokong Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) satu lagi penyokong Hisham (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein), dia kata lah, saya tidak tahu dia dapat sokongan atau tidak. Ada (penyokong) Mad Hasan (Datuk Seri Mohamad Hasan). Ada puak lain juga.
Kalau UMNO buat pemilihan baharu, bolehkah ia bangkit kembali?
Kalau dia ambil pemimpin lama, kemungkinan pemimpin lama tak mahu lepas. Mereka ada masalah, ada kluster mahkamah ini. Dia orang ini nanti hendak guna UMNO untuk pelepas diri, kalau mereka masih ada, UMNO tidak boleh diterima ramai.
TAK PENATKAH BERPOLITIK?
Ada yang bercakap, Tun tak penat-penat sejak dulu mengharungi gelora politik sampai usia 96 tahun?
Saya buat kerja benda yang saya ada perasaan lah, ada passion. Bagi saya selama lebih 80 tahun dalam politik saya punya tugas hendak tolong Melayu. Sebab saya anggap orang Melayu ini berada dalam keadaan bahaya. Mereka akan jadi golongan miskin dalam sebuah negara kaya.
Di tahap mana Tun lihat orang Melayu sekarang ini?
Kalau nak buat macam graf, macam itu (tunjuk tangan) naiklah. tapi graf Malay nampak begitu. Tapi jarak antara orang Melayu dan bukan Melayu makin besar. Walaupun orang bukan Melayu nafi benda ini, tapi hakikatnya, kamu tengok Kuala Lumpur, dulu kecil saja, sekarang ini besar. Besar kerana apa, bukan kerana Melayu, kerana orang Melayu pasal pindah lari dan tanah dia jual tidak ada duit, dia jual orang lain beli tanah dia. Kampung Kerinchi, Kampung Abdullah Hukum, Kampung Penchala, kita jual habis, kita lari. Kalau kita buat macam ini selalu, habis lah kita. Kita cuma jadi puak miskin tinggal di luar bandar.
PERGI TENGOK MANA SAYA SIMPAN DUIT!
Kapsul masa yang ditanam Tun satu ketika dahulu dan sepatutnya dibuka tahun 2020, apa jadi?
Mereka ketepikan. Saya buat perancangan. Dia tahu apa yang saya buat itu berjaya menjadikan Malaysia dari negara miskin sehingga menjadi Asian tiger. Turutlah itu, tapi mereka tolak yang itu. Bila Pak Lah take over, dia nak beri kaya anak cucu dia. Jadi anak dia beritahu kepada anak saya kononnya dulu anak sayalah kaya. Sekarang ini giliran dia.
Macam mana anak-anak Tun boleh kaya?
Bila saya jadi PM, anak saya, saya tak benar buat niaga dalam negara. Tak boleh dapat kontrak kerajaan dan tak boleh masuk politik, saya tak benarkan. Semua orang tahu mana ada pegang jawatan apa. Muhkriz tak jadi wakil rakyat. Mokhzani pun tak, Mirzan tak berniaga dalam negara, dia berniaga di Filipina. Marina is not in politic. Saya tak beri pasal takut orang kata pasal saya PM, dia bagi pada anak dia. Tapi Najib kata kononnya anak saya buat bilion ringgit. Pergilah periksa tengok. Saya kononnya kaya. Pergi lah tengok duit saya di mana saya simpan. Ada duit tidak boleh belanja buat apa. – Mingguan Malaysia










