TEGAS. Itu sisi luaran yang dilihat pada wanita yang luar biasa hebat ini.
Tatkala berbicara, keperibadian empunya diri, Noorfarashikin Othman yang merupakan Pengasas Into Taqwa Malaysia dan ITaqwa Care Malaysia (ITaqwa Care) atau ITaqwa Medical Healthcare ini begitu terserlah terutama gaya pertuturan yang sopan dan tenang, merendah diri serta berkeyakinan.
Tidak seperti wanita lain yang menerpa nama dalam dunia fesyen dan kecantikan, ibu kepada dua cahaya mata yang lebih dikenali sebagai Fara Othman ini selesa beramal sambil berdakwah untuk membantu pesakit kanser dan mualaf wanita dengan membawa konsep patuh syariah.
Matlamatnya adalah ingin membantu lebih ramai wanita yang tidak mampu khususnya dalam bidang perubatan malah ingin membina ukhwah dengan sesama wanita menerusi program-program yang dilaksana di bawah organisasinya.
Ikuti temubual Wartawan Utusan Malaysia, NUR IZZAH IZZATI NADZI dan jurugambar, FARIZWAN HASBULLAH bersama wanita berusia 41 tahun ini.
SERI: Boleh jelaskan apakah peranan Into Taqwa Malaysia dan bagaimana ITaqwa Care saling berhubung kait?
FARA OTHMAN: Into Taqwa Malaysia merupakan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan mula ditubuhkan sejak 2012 dan dilancarkan secara rasmi pada Mac 2016.
Terdapat tiga program di bawah Into Taqwa Malaysia antaranya Into Al-Aqsa yang mana saya membawa jemaah dua kali setahun bagi menziarahi Masjid Al-Aqsa dan program Into Umrah serta Into Hajj bagi jemaah yang menunaikan ibadah ini.
Pada 2019, Into Taqwa Malaysia secara rasmi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Amal oleh Malaysia Airlines bagi mempromosi perjalanan umrah dan haji di rantau ini manakala Mizz Nina dilantik sebagai duta untuk program ini.
Selain itu, Into Taqwa Malaysia juga terlibat dengan ibu tunggal dan pesakit kanser wanita.
Into Taqwa Malaysia dan ITaqwa Care masing-masing saling hubung kait dan tidak boleh dipisahkan. Dari segi perubatan, melalui ITaqwa Care, kami merupakan Home Nursing Patuh Syariah
Pertama di Malaysia yang banyak memberi bantuan kepada pesakit kanser melalui alternatif perubatan antaranya fisioterapi oleh pasukan kami.
Bagaimana tercetusnya idea untuk menubuhkan ITaqwa Care. Siapa yang memberi sokongan dan galakan?
Tercetusnya idea untuk menubuhkan ITaqwa Care ini sebenarnya adalah ketika ibu bapa saya sakit.
Sebelum saya menjadi pengasas persatuan ini, saya telah berkecimpung sebagai pembekal perubatan selama 15 tahun. Tetapi apabila ibu bapa saya sakit, sukar untuk saya memberikan yang terbaik buat mereka.
Jadi, bermula dari situlah saya melihat kepentingan yang ada pada bidang penjagaan kesihatan. Saya pun bertekad untuk menyambung pengajian ke peringkat sarjana selama dua tahun dalam bidang Healthcare Management and Technology bagi membanyakkan program-program kesihatan yang boleh membantu pesakit-pesakit wanita Islam.
Apabila kita bercakap mengenai patuh syariah ini, pelbagai aspek perlu dijaga terutama aurat. Saya amat berbesar hati kerana mendapat sokongan pakar perubatan muslimah dan doktor yang sudi membantu ITaqwa Care.
Apakah jenis perubatan yang disalurkan kepada pesakit-pesakit?
Pesakit-pesakit yang dirawat oleh ITaqwa Care adalah wanita dan kita memang hanya fokus pada wanita sahaja.
Jenis perubatan di Itaqwa Care adalah khusus kepada pesakit kanser yang tidak berkemampuan. Ini termasuk menyediakan fasiliti iaitu katil atau mengembalikan wang kepada pesakit kanser. Sejak tahun lalu, kita juga telah memfokuskan kepada pesakit kanser mualaf.
Bagi saya, pesakit kanser mualaf ini lebih memerlukan sokongan. Ada antara mereka adalah ibu tunggal dan juga dibuang keluarga selepas memeluk Islam. Mereka tiada sokongan moral dan kewangan apabila mendapat tahu sebagai pesakit kanser. Jadi, ini menambah beban pesakit kanser mualaf.
Bagaimana pesakit kanser boleh dapatkan bantuan?
Biasanya pesakit akan menghubungi talian rasmi ITaqwa Care sebelum penilaian dilakukan untuk kami memberi bantuan tidak kira sama ada kepada mualaf atau non-Muslim.
Seterusnya, kami akan mengadakan lawatan ke rumah untuk mendapatkan kesahihan tidak berkemampuan pesakit. Kami juga akan menyemak laporan rawatan perubatan yang terkini daripada doktor atau Pusat Kanser Putrajaya.
Tetapi biasanya semua yang hubungi ITaqwa Care adalah mereka yang betul-betul tidak mampu.
Di ITaqwa Care, saya usahakan pesakit yang menerima rawatan adalah seorang pesakit seminggu atau tiga hingga empat pesakit dalam tempoh sebulan. Sekurang-kurangnya dapat membantu mereka dari segi sewaan rumah dan perbelanjaan pengangkutan untuk ke hospital. Sumbangan perubatan sangat penting kepada mereka yang menghidap kanser kerana kos yang tinggi .

Selain ibu tunggal dan mualaf, siapa yang layak menerima manfaat atau bantuan daripada ITaqwa Care?
Alhamdulillah, ITaqwa Care bukan sahaja memberi perkhidmatan daripada segi Home Nursing, Wellness Physiotherapy atau Fisioterapi Kesihatan tetapi juga sebagai School Healthcare Consultant patuh syariah pertama di Malaysia dalam membantu pengurusan penjagaan kesihatan atau healthcare management untuk sekolah madrasah atau tahfiz.
Sekolah-sekolah tahfiz di Lembah Klang; Shah Alam, Selangor; Kelantan; Pahang dan Langkawi antara yang akan menerima manfaat ini. Saya percaya, pelajar-pelajar ini apabila mereka sihat mental, fizikal dan diberi makanan yang berkhasiat akan membantu mereka untuk menghafaz al-Quran dengan baik. Sebagai ibu, saya sedar nutrisi adalah sangat penting untuk kanak-kanak membesar.
Dengan cabaran dalam menyesuaikan diri ketika Covid-19, kesedaran program mental awareness juga perlu untuk para pelajar termasuk pentadbiran sekolah. Malah saya ada berbincang dengan pasukan perubatan dan mendapati pelajar tahfiz ini tiada laporan perubatan. Jadi, saya percaya dengan usaha ini mampu memberi keyakinan dan persekitaran yang positif melalui healthy lifestyle dan healthcare management yang betul buat pelajar tahfiz di Malaysia.
Melihat kepada perancangan dan kredibiliti yang ditonjolkan, apakah cabaran yang ditempuhi sepanjang membangunkan Into Taqwa Malaysia dan ITaqwa Care?
Sejujur saya beritahu, sejak tercetus idea penubuhan persatuan ini pada April 2012, iaitu merupakan pertama kali saya melakukan umrah sehingga ke hari ini, alhamdulillah tiada dugaan yang besar ditempuhi.
Dari segi penjagaan kesihatan, saya hanya memerlukan mereka yang berkelayakan. Semua jururawat di ITaqwa Care merupakan jururawat kanan (senior) mempunyai lebih tujuh tahun pengalaman yang bekerja di Arab Saudi atau Timur Tengah.
Kakitangan fisioterapi juga semuanya dalam kalangan mereka yang mempunyai ijazah sarjana muda. Saya mahu tukar mentaliti orang terhadap taraf jururawat kita. Jika di luar negara, taraf jururawat itu tinggi sebab itulah tidak semua orang boleh jadi jururawat. Begitu tinggi ‘nilai’ seorang yang bergelar jururawat.
Gambarkan Into Taqwa Malaysia pada lima tahun akan datang?
Into Taqwa Malaysia dan ITaqwa Care kedua-dua daripada hasil usaha saya sendiri. Saya berharap, dapat bekerjasama dengan hospital-hospital besar suatu hari nanti. Jika diberi pilihan saya juga mahu bekerjasama dengan organisasi atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memberi banyak bantuan dari segi perubatan.
Kami adalah merupakan entiti yang kecil, sekarang saya hanya boleh buat apa yang ada depan mata sahaja dahulu. Saya memegang prinsip ini, biar kecil tetapi usahakan sehingga nampak hasil, itu paling penting.
Saya juga berharap, program-program sedia ada ini berterusan tanpa henti. Insyallah. Into Taqwa Malaysia dan ITaqwa Care juga bukan sahaja aktif di Malaysia tetapi ia turut bergerak di beberapa buah negara seperti Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Palestin dan United Kingdom (UK).
Adakah populariti sangat penting ketika ini?
Untuk dikenali bukanlah perkara utama bagi saya. Apa yang saya tahu, saya tidak perlu membayar pengikut atau penyokong. Saya percaya, apa sahaja yang saya kongsi di media sosial, itu adalah apa yang saya benar-benar lakukan.
Saya bersyukur jika ilmu yang saya kongsikan itu dapat mengubah orang lain. Terutama dalam ingin mengetahui mengenai program Into Al-Aqsa, Into Umrah dan Into Hajj. Saya suka untuk galakkan orang-orang muda atau generasi baharu simpan duit untuk tunaikan umrah atau haji dahulu.

Apakah perancangan lain yang ingin dilakukan Fara?
Selain Itaqwa Care, saya juga bergiat aktif sebagai pemandi jenazah secara sambilan di Masjid Putrajaya. Saya juga dalam perancangan untuk menubuhkan Skuad Mandi Jenazah di ITaqwa Care untuk wanita. Sangat penting untuk kita belajar fardu kifayah dalam menguruskan jenazah. Terutamanya saat-saat akhir kita yang uruskan jenazah ibu bapa sendiri. Saya juga selalu berpesan kepada anak-anak untuk membiasakan diri dan jangan takut.
Siapa yang memberi sokongan dalam menubuhkan Into Taqwa Malaysia dan ITaqwa Care?
Restu keluarga sangat penting. Mereka sentiasa ada dengan saya. Tanpa mereka, saya tidak akan buat apa yang saya mahu. Saya berkecimpung dalam dunia korporat bertahun-tahun lamanya.
Jadi, saya rasa hidup saya sudah seimbang. Bila ada staf bertanya, bila saya mahu rehat? Saya jawab, saya nak rehat di kubur sahajalah. Lebih-lebih lagi apabila kita bekerja dengan membuat program haji, lagilah Allah SWT tunjukkan bahawa kehidupan itu singkat untuk kita buat yang terbaik selagi boleh. Contohnya, saya ada program al-Quran reunion untuk wanita sahaja. Bagi saya, me time paling seronok adalah membuat kumpulan kecil untuk wanita sahaja bagi mempelajari al-Quran atau melakukan umrah bersama-sama.
Saya lihat, pandemik Covid-19 ini memberi peringatan bahawa kita adalah sama. Tak kiralah siapa pun kita dan apa yang kita ada. Kita perlu sentiasa merendah diri.
Ciri-ciri yang ada pada Fara Othman?
Saya seorang yang tegas, bertolak-ansur dan boleh berbudi bicara serta penyayang serta kuat semangat. Saya nampak sahaja garang tetapi tidak sampai hati untuk marah. Ciri lain yang ramai tidak tahu adalah saya sangat kelakar sebenarnya dan suka ketawa.
Siapakah Fara Othman sebelum ini?
Sebelum berhijab, saya bekerja dalam bidang korporat dan selalu berada di UK dan Hong Kong bersama rakan kongsi seorang non-Muslim. Tetapi apabila saya mendalami dan faham agama Islam, baharulah sedar terutama dalam kiraan zakat dan tertib. Saya masih Fara yang dahulu tetapi apa yang saya buat sekarang adalah mesti patuh syariah.
Saya juga mempunyai pengalaman sebagai medical supplier atau pembekal perubatan. Jadi, apabila banyak kita timba ilmu, barulah sedar yang dulu hanya fikir duit kerana melihat pada margin tetapi kini saya lebih meminati penjagaan kesihatan sekarang dan ia lebih penting.
Bagi pengurusan kerja sekarang pula, pasukan perubatan, staf dan pesakit semuanya adalah wanita. Ini adalah business method saya iaitu hanya untuk muslimah.










