Ketika pandemik Covid-19 mula menyerang negara sejak setahun lalu ramai yang mengharapkan ia agar segera berakhir.
Namun kini, apabila vaksin diperkenalkan sebagai salah satu inisiatif mengurangkan penularan, muncul pula golongan yang menolak. Antaranya kemunculan Mak Teh yang menakut-nakutkan orang ramai dengan keburukan mengambil vaksin yang sekaligus menjejaskan kepercayaan awam terhadap program imunisasi negara.
SERI berbicara dengan Perunding Psikologi (Kesihatan) Dr. Hariyati Shahrima Abdul Majid mengenai senario ini dan penyelesaiannya.
SERI: Bagaimana yang dikatakan sebagai golongan anti vaksin?
Dr. Hariyati Shahrima Abdul Majid: Anti Vaksin merupakan mereka yang menolak sekeras-kerasnya terhadap vaksin. Bukan saja mempunyai pandangan negatif malah mempunyai kepercayaan sangat kuat terhadap keburukan vaksin. Malah mereka turut menolak dunia sains, perubatan mahupun penemuan saintifik.
Namun, bukan semua yang menolak vaksin adalah anti vaksin. Ada antaranya ialah vaksin hesitant. Mereka tidak menolak kebaikan vaksin namun masih ragu-ragu.
Puncanya kerana golongan ini tidak faham hubungkait antara vaksin dan penyakit. Walaupun telah banyak maklumat diberikan namun ramai tidak cakna dan masih belum pasti dengan keberkesanan vaksin. Ada juga yang bimbang dengan kesan sampingan pengambilan vaksin sehingga menjurus kepada rasa takut, sekali gus menyukarkan mereka untuk membuat keputusan.
Bagaimana Dr. melihat pemikiran anti vaksin daripada aspek psikologi sebab vaksin itu salah satu usaha menangani pandemik?
Mereka ini adalah golongan yang taksub dengan pemikiran sendiri. Dalam isu ini mereka yakin bahawa vaksin memudaratkan masyarakat. Mereka juga mempunyai cognitive bias, fikiran tidak fleksibel dalam melihat dunia. Mereka fikir mereka sahaja betul, tidak kiralah pandangan mereka itu sebenarnya salah atau betul.
Justeru mereka cenderung merasa betul dan yang lain adalah salah. Justeru, mereka juga akan mencari maklumat yang selari dengan pandangan atau pendapat mereka dan mengabaikan yang kontra sedangkan bukan hanya ada satu pandangan dalam dunia.
Jika duduk sekali berbicara bersama mereka ini mereka sebenarnya rasa mereka tahu lebih daripada ilmu yang mereka ada. Dalam pemikiran mereka, mereka rasa tahu mengenai vaksin tapi sebenarnya mereka tidak ada ilmu sedalam itu mengenai vaksin, apa yang kita panggil Dunning Kruger Effect.
Golongan ini bukan dilahirkan dengan sifat demikian, tetapi mungkin disebabkan oleh pengalaman menyebabkan terbentuknya pemikiran sebegitu.
Kenapa mereka suka mewar-warkan dakyah mereka kepada orang lain?
Golongan ini apabila mereka berkumpul akan mewujudkan fenomena pemikiran kelompok atau groupthink. Mereka mahukan keserasian dalam pandangan mereka terhadap sesuatu isu. Oleh itu, mereka cenderung untuk mencari pengikut agar menjadi lebih kuat.
Mereka menyasarkan orang yang sangsi dengan kebaikan vaksin kerana lebih mudah untuk dipengaruhi sekaligus melebarkan kelompok pemikiran mereka.
Melalui platform media sosial yang bersifat lebih peribadi mereka boleh membina kepercayaan individu dengan berkongsi pengalaman supaya orang simpati atau tertarik dengan mereka.
Kebanyakan sasaran juga adalah golongan lebih berusia. Mak Teh antara contoh naratif yang digunakan untuk menjadikan pengalaman itu lebih dekat dengan orang tua yang merasakan seolah-olah apa yang diceritakan itu memang benar.
Pendekatan menangani anti vaksin?
JAWAPAN: Pendekatan terhadap antivaksin dan vaksin hesistant berbeza. Agak susah untuk menangani antivaksin namun vaksin hesistant dapat diyakinkan melalui beberapa usaha.
Antaranya mengajak mereka berbincang mengenai pandangan dan perasaan mereka mengenai vaksin, dan berikan mereka peluang dan ruang untuk luahkan kesangsian mereka terhadap vaksin. Cara itu membolehkan kesangsian dapat diurus dengan fakta yang tepat termasuklah maklumat daripada portal kesihatan, dan naratif dari individual yang mereka percayai.
Saya harap masyarakat tidak memperlekehkan ketidakpercayaan seseorang terhadap vaksin sebaliknya kita perlu bersedia untuk memberi ruang, mendengar pandangan mereka. Penjelasan kita pula perlu memberi makna yang signifikan pada diri mereka.
Tetapi, kita perlu terima bahawa memang ada di antara mereka yang amat tegar dan akan terus taksub dengan pendirian mereka.
Apa yang boleh dilakukan oleh masyarakat agar tidak terpengaruh dengan dakyah di bawakan?
Setiap orang perlu memainkan peranan membuat keputusan betul dalam membantu masyarakat.
Jangan terlalu bergantung kepada pengamal perubatan sahaja untuk melakukannya, malah ketua-ketua setiap organisasi, ketua-ketua masyarakat, perlu memainkan peranan berterusan dalam menggalakkan pemahaman awam mengenai vaksin.
Pengguna media sosial juga harus belajar untuk tidak terlalu cepat percaya dengan kenyataan tular sebaliknya ambil pendekatan mencari sejauh mana kebenaran dan kesahihan sumber. Jangan kongsikan maklumat tular tanpa kesahihan sehingga maklumat itu menjadi satu virus atau penyakit pula dalam masyarakat.
Suntikan vaksin mungkin ada kesan sampingan buat setiap individu, tetapi kebaikannya mengatasi kesan sampingan.










