Lemang sushi disukai ramai - Utusan Malaysia

Lemang sushi disukai ramai

Zuriati bersama produk lemang inovasi, lemang sushi pelbagai perisa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Lemang dan rendang sememangnya makanan wajib ketika sambutan hari raya. Tak lengkap rasanya juadah raya jika tiada kedua-dua hidangan enak itu.

Melalui pelbagai revolusi, lemang kini turut mengalami perubahan sesuai dengan peredaran masa dan kecanggihan teknologi.

Seperti percubaan berani yang dilakukan oleh usahawan, Zuriati Sulaiman, 52, menerusi syarikat miliknya, Awie Enterprise memasarkan produk inovasi lemang sushi.

Mungkin kedengaran agak pelik dengan gabungan nama makanan tradisi melayu dan negara Jepun, namun ia masih mengekalkan keaslian rasa lemang.

Dipasarkan sejak tahun 2017, lemang sushi merupakan produk lemang moden yang didatangkan sekali bersama inti di bahagian tengah.

Menurut Zuriati, idea berkenaan diilhamkan oleh suami, Azizi Abd Muin, 59, yang mencari kaedah mudah untuk menikmati lemang bersama pencicah yang kebiasaannya merupakan rendang.

“Suami saya usulkan idea untuk menghasilkan lemang yang siap dibakar bersama inti di tengahnya supaya dapat memudahkan ia dimakan begitu sahaja.

“Tidak sangka selepas dilancarkan produk ini mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan-pelanggan kami, malah mereka turut memberi maklum balas positif seperti lebih mudah dinikmati,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada awal pembabitannya dalam bidang perniagaan makanan, anak kelahiran Kuala Pilah itu merupakan pengeluar dan pembekal makanan tradisional serunding ayam, daging dan ikan bilis.

Dia kemudiannya mendapat bantuan mesin ketuhar daripada Jabatan Pertanian Negeri Sembilan (JPNS) yang seterusnya membuka peluang kepadanya untuk meluaskan perniagaan miliknya itu.

Sepanjang tempoh itu, beberapa varieti lemang sushi telah dihasilkan iaitu antaranya berintikan serunding, rendang ayam dan daging serta yang mencipta kelainan tersendiri, lemang berinti durian.

Tambah Zuriati, lemang sushi durian mempunyai peminatnya yang tersendiri terutamanya bagi pelanggan yang terletak di sebelah utara.

“Rasanya yang seakan pulut durian memang menjadi kegemaran bagi pembeli dari sebelah sana (utara). Kebanyakan pelanggan kami akan mengulang tempahan kerana rasanya yang enak,” jelasnya.

Teknik tersendiri

Kaedah penyediaan lemang sushi berkenaan sama sekali berbeza dengan kaedah tradisional kerana tidak menggunakan buluh, namun masih mengekalkan santan dan beras pulut sebagai bahan asli.

Proses penghasilan pula memakan masa sekitar enam jam dan satu hari kapasiti pengeluaran mencecah 140 batang menggunakan mesin yang diubahsuai bagi memudahkan inti dimasukkan di bahagian tengah.

“Kami tetap menggunakan daun pisang untuk membalut lemang. Oleh itu, rasa dan aromanya tidak terjejas meskipun tidak menggunakan buluh seperti kaedah tradisional.

“Mesin ketuhar pula telah kami ubahsuai dengan kos sekitar RM10,000 untuk memasukkan inti di bahagian tengah. Bagaimanapun, setakat ini hanya suami saya dan anak yang mahir untuk memasukkan inti kerana prosesnya yang agak rumit,” katanya yang memberitahu lemang bersaiz sembilan inci itu dijual dengan harga RM20 hingga RM28 sebatang.

Tak menang tangan

Memasuki musim perayaan sudah semestinya usahawan berkenaan tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan yang berlipat-ganda.

Tahun ini sahaja, kilangnya terpaksa beroperasi 24 jam untuk menyiapkan tempahan 5,000 lemang sempena Aidilfitri lalu.

Antara yang mendapat permintaan tinggi sudah semestinya rendang serunding yang menjadi kegemaran ramai.

Tambah Zuriati, produk lemang sushi satu-satunya di Malaysia itu kini telah mendapat permintaan seluruh negara dan pihaknya turut mengeluarkan produk lemang bagi tujuan ‘Original Equipment Manufacturer (OEM)’ dengan beberapa jenama.

“Semoga lemang sushi terus mendapat sambutan baik daripada semua pihak dan diterima seperti makanan tradisi lainnya” akhirinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×