Huraian Sheikh Sya’rawi terhadap ayat al-Quran memukau dari sudut gaya bahasa yang digunakan, intonasi suara dan rangkuman makna. Di akhir huraiannya pasti pendengar yang setia berada di hadapan beliau akan menyambut Allahuakbar kerana amat berpuas hati dan memahami kehendak ayat.
Perkara ini sering berlaku setiap kali sesi huraian yang beliau sampaikan. Itulah kelebihan Sheikh Sya’rawi sehinggalah Dr. Yusuf Qaradawi menyifatkan Sheikh Sya’rawi adalah tokoh besar dalam tafsir al-Quran. Kesan tafsirannya akan terus kekal sebagai khidmat kepada agama Islam.
Dalam mentafsir ayat permulaan surah al-Baqarah, Sheikh Sya’rawi telah membawa makna al-kitab dengan huraian yang tuntas dan padat. Allah SWT menyifatkan al-Quran dengan al-kitab.
Kalimah al-Quran dengan makna membaca dan kalimah al-Kitab bermakna bukan sekadar menghafaz di dada sahaja tetapi ia juga ditulis di lembaran dan kekal sehingga hari kiamat. Kitab al-Quran berbeza dengan kitab samawi yang diturunkan sebelumnya.
Al-Quran adalah kitab yang menghimpunkan semua hukum hakam yang diturunkan bagi meninggikan kedudukan Quran, keunggulannya dan menunjukkan ke-Esaan Allah Yang Maha Pencipta.
Sejak fajar menyinsing di alam ini, diturunkan kepada umat-umat terdahulu kitab yang mengandungi manhaj kehidupan. Namun begitu semua manhaj dan peraturan tersebut dihadkan dengan waktu, tempat dan diamalkan oleh kaum tertentu sahaja.
Risalah Nabi Nuh adalah untuk kaumnya sahaja begitu juga dengan Nabi Ibrahim, Nabi Lut, Nabi Syuaib, Nabi Soleh a.s kesemua mereka membawa risalah untuk kaum mereka sahaja dengan waktu yang dihadkan.
Mereka mengamal dakwah tersebut dalam kehidupan sehinggalah datang al-Quran yang menghimpunkan semua manhaj yang Allah turunkan.
Oleh sebab itu, diberikan khabar gembira dalam kitab terdahulu dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul dan pembawa risalah terakhir. Semestinyalah semua pengikut kitab samawi mempercayai dan beriman dengan al-Quran.
Kitab al-Quran tidak boleh diubah nasnya atau ditukar. Semua risalah terdahulu, Allah SWT telah memberi hak menjaganya kepada manusia. Mereka lupa sebahagiannya atau melakukan penyelewengan pada nas yang lain dengan memasukkan kalam manusia dan menasabkan kepada Allah secara zalim dan penipuan. Pemeliharaan al-Quran adalah daripada Allah SWT.
Benarlah firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami yang telah menurunkan al-Quran dan hanyalah Kami pemeliharanya. (al-Hijr: 9)
Penurunan al-Quran kepada hambanya semestinya diucap alhamdulillah. Kandunganya adalah manhaj kehidupan yang penuh dengan kerahmatan daripada Allah kepada hambanya. Diterangkan khabar gembira dengan syurga dan jalan untuk mendapatkannya.
Begitu juga ada amaran neraka dan segala yang membawa kepadanya yang perlu dijauhi. Segala amaran yang dijelaskan ini juga adalah rahmat Allah kepada hambanya. Jika tidak dijelaskan nescaya mereka lakukan perkara yang dilarang dan dikenakan azab yang kekal sifatnya.
Dalam surah al-Kahfi, ada satu ayat yang menguatkan fakta penjagaan Allah terhadap al-Quran di mana manusia tidak mampu menukar walau satu kalimah. Firman Allah SWT: Bacalah apa yang telah diwahyukan daripada kitab Tuhanmu. Tiada yang dapat mengubah kalimah-kalimah-Nya. Kamu sama sekali tidak akan temui tempat berlindung selain daripada-Nya. (al-Kahfi: 27)
Allah SWT menerangkan bahawa kitab ini datang untuk memberi manfaat kepada manusia dan manfaat kepada hamba-Nya. Allah sama sekali tidak berhajat kepada makhluk-Nya. Tidak mungkin mana-mana makhluk keluar daripada alam yang Allah cipta. Allah SWT bersumpah yang mengambil perhatian kita semua bahawa semua kalimah dalam al-Quran datang daripada Allah SWT.
Jibril AS menyampaikannya kepada Nabi Muhammad SAW. Firman Allah: lalu aku bersumpah dengan tempat peredaran bintang-bintang. Dan sesungguhnya ia adalah sumpah yang sangat besar sekiranya kamu mengetahuinya. Bahawa sesungguhnya yang dibacarkan itu ialah al-Quran yang mulia. Tersimpan di Lauh Mahfuz. Ia tidak disentuh melainkan mereka yang suci. Diturunkan daripada Tuhan sekalian alam. (al-Waqiah: 75-80)
Tidak ada keraguan terhadap al-Quran bahawa ia diturunkan daripada Allah dan ia adalah kitab manhaj untuk manusia di muka bumi ini. Al-Quran membetulkan kitab terdahulu seperti taurat dan injil.
Perkara utama yang dibawa al-Quran adalah keimanan bahawa tidak ada tuhan yang berhak disembah kecuali Allah Yang Satu dan Esa. Menguatkan lagi bahawa Allah adalah Esa tidak ada syirik bagi-Nya.
PEMISAH HAK DAN BATIL
Selain itu, al-Quran datang untuk memisahkan antara kebenaran dengan kebatilan. Allah menentukan amanah kepada kita untuk menyampaikan kepada manusia keseluruhanya.
Firman Allah SWT: Alif, Lam, Mim, Sod. Al-Quran ini sebuah kitab yang diturunkan kepada mu wahai Muhamad daripada Tuhanmu. Oleh itu janganlah ada perasaan terbeban atau syak mengenainya agar engkau dapat memberi amaran kepada orang-orang yang ingkar dan agar ia juga menjadi peringatan kepada orang-orang yang beriman. (al-‘Araf: 1-2)
Khitab yang ditujukan kepada Nabi Muhammad SAW dalam al-Quran dituju juga kepada umatnya. Rasul ditaklifkan menyampaikan al-kitab kepada manusia seluruhnya dan kita ditaklifkan untuk mengikut manhaj tersebut dan menyampaikan kandungannya kepada manusia.
Kalimah hudan di akhir ayat adalah bermaksud petunjuk. Petunjuk jalan bermaksud sesuatu yang boleh kamu sampai kepada perkara yang kamu mahukan. Petunjuk kepada musafir ialah memberi maklumat berkenaan jalan yang dilalui sehingga sampai ke destinasi.
Jika di sana tidak ada penghabisan yang hendak dicapai maka tidak ada makna wujudnya petunjuk kerana kamu tidak mahu sampai kepada tempat yang dituju. Serentak itu kamu juga tidak mahu orang yang menunjukkan kepada jalan yang betul. Oleh kerana itu semestinya kita mewujudkan dahulu perkara yang hendak dicapai dan kemudian mencari jalan untuk sampai kepadanya.
Apabila kita melihat kepada manusia hari ini, setiap mereka meletakkan hala tuju dan menggariskan jalan yang betul untuk mencapai objektif tersebut. Contohnya, mereka yang mahu membina rumah akan mendapatkan pereka pelan untuk melukis sebuah rumah yang lengkap.
Mungkin lukisan itu ada kekurangan yang harus diubah sesuai dengan kehendak. Justeru perlu kepada pereka pelan yang lebih mahir. Begitulah objektif boleh berubah dan ia tidak tetap. Objektif manusia selalu berubah mengikut keadaan kehidupan mereka dan kemampuan.
Kita semua perlukan kepada Yang Maha Mengetahui untuk menggariskan jalan kehidupan kita. Firman Allah SWT: Katakanlah; Sesungguhnya hidayah Allah itu adalah hidayah yang benar. (al-Baqarah: 120).
- PM Dr. Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.










